Sunday, October 17, 2010

Model politik baru Umno perlukan pemikiran progresif, kata anggota MT


October 17, 2010

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Model politik baru Umno yang hendak dibawa Datuk Seri Najib Razak perlu berasaskan pemikiran progresif supaya ia memberi impak besar kepda rakyat setiap lapisan masyarakat, kata anggota Majlis Tertingginya Datuk Saifuddin Abdullah. “Pada saya model ini, antara lain perlu mengandungi dua komponen utama iaitu pendekatan dan pemikiran,” kata penulis buku berjudul “Politik Baru” ini ketika dihubungi The Malaysian Insider. Buku itu dilancarkan oleh Najib awal tahun lalu.

Najib yang juga Presiden Umno semalam mengusulkan kemungkinan diwujudkan model politik baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

“Bukan sahaja kita perlu Model Ekonomi Baru, kita mungkin perlu model politik baru,” kata Najib.

Najib berkata strategi seperti “politik pembangunan” tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

“Saya kira mengapa orang menolak parti-parti yang banyak berjasa dahulu kerana parti itu tidak berubah. Parti itu dilihat sebagai kaku dan tidak dinamik. Mereka tidak berubah mengikut masa.

“Tetapi sebaliknya kalau kita berubah dan kita dilihat sebagai parti yang dinamik dan segar, InsyaAllah sokongan rakyat pada kita akan berterusan pada masa-masa akan datang,” kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Menurut Saifuddin, pemikiran merujuk kepada keperluan mencetuskan idea-idea pembangunan yang progresif dan berdasarkan falsafah, konsep dan pengisian bernas, budaya ilmu dan berimpak besar kepada rakyat di setiap lapisan dan bagi setiap golongan.

“Antara idea progresif yang diperlukan ialah tentang mewujudkan masyarakat baik yang berteraskan penghayatan budaya ilmu, keadilan sosial, pembinaan tamadun insaniah, partisipasi demokratik, serta kelestarian ekonomi dan alam sekitar,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini.

“Saya anggap cadangan Datuk Seri Najib tentang perlunya diadakan model politik baru amat tepat dengan realiti politik semasa dan pengharapan rakyat kini.

“Ia bukan sahaja penting untuk Umno, tetapi untuk mewujudkan budaya politik negara yang lebih sihat dan segar di negara ini,” kata beliau.

Namun tegas beliau, ia perlu dimulakan oleh Umno sebagai parti tunggak BN.

“Justeru, amat sesuai bagi perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno minggu depan untuk mengupas perkara ini.

Menjelaskan hujahnya, Ahli Parlimen dari Pahang ini menambah, aspek pendekatan merujuk dua perkara iaitu amalan politik integriti yang mesti berasaskan idealisme perjuangan parti yang kukuh.

“Dalam Umno, tidak cukup sekadar menjadi ‘ahli Umno’ iaitu bayar yuran. Ia perlu menjadi ‘orang Umno’ yang masuk Umno benar-benar demi perjuangan, bukan dengan niat lain.

“Di samping itu, ia perlu memastikan Umno menghakis masalah-masalah seperti politik wang.

“Amalan urus tadbir baru iaitu meningkatkan kerjasama dan sinergi antara ketiga-tiga sektor pembangunan iaitu kerajaan-politik, perniagaan dan masyarakat sivil dalam struktur dan proses membuat keputusan.

“Amalan ini satu langkah penting dalam mematangkan demokrasi negara kerana ia akan meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat dalam membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyokong cadangan Najib berhubung usaha mewujudkan model politik baru bagi menjadikan Umno parti yang lebih dinamik dan diterima umum.

Beliau yakin model baru dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk menjadikan Umno sebagai satu parti politik yang dinamik akan diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Katanya, hakikat landskap politik di negara sudah banyak berubah jika dibandingkan beberapa tahun lalu dan keadaannya sudah tidak sama seperti dahulu.

“Jika dahulu kita memperkatakan mengenai politik kemerdekaan dan politik pembangunan dan seterusnya politik kemajuan dan hari ini pendekatan yang akan diperkenalkan oleh beliau (Najib) akan menjadikan parti politik lebih dinamik dan tidak kaku,” katanya di Ipoh.

Dipetik Bernama, Zambry berkata, cadangan berkenaan sangat bertepatan kerana generasi kini tidak sama seperti dahulu dan pendekatan politik juga harus berbeza mengikut suasana global.

Katanya, pendekatan politik baru itu mungkin berasaskan nilai-nilai yang ada dalam politik itu sendiri seperti menjadikan pemimpin politik itu sendiri sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Menurutnya, matlamat perjuangan Umno tidak akan berubah tetapi yang berubah hanya metodologi dan persekitarannya sahaja agar menjadi lebih dinamik.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]