Komitmen ubah nasib penduduk luar bandar TIADA alasan, kerajaan perlu mengubah nasib penduduk luar bandar. Kebetulan ramai yang miskin, dan suasana tempat tinggal penduduk di sana masih banyak kekurangan. Kawasan luar bandar yang berwajah mundur, tidak maju dan tidak mempunyai nilai kekayaan, patut ditukar menjadi tempat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa, disertai dengan peluang dalam bidang ekonomi dan industri. Ini tugas kerajaan yang dipilih rakyat. Tanggungjawab yang hendak dipikul ini cukup besar. Majoriti penduduk negara ini masih berada di luar bandar. Adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan masyarakat luar bandar setaraf dengan masyarakat bandar dari aspek kesihatan, pendidikan, sikap dan cara hidup. Komitmen ini telah diberi oleh Perdana Menteri. Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PILB) menjadi komitmen baru kerajaan untuk mengubah wajah kawasan pedalaman serta kampung terutama dari segi pembangunan prasarana serta usaha meningkatkan pendapatan penduduknya. Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri ingin melihat kawasan luar bandar dapat dibangunkan sejajar dengan dasar Model Baru Ekonomi (MBE) sekali gus membawa bersama luar bandar dalam arus pembangunan perdana negara. Untuk menjayakan PILB, tidak cukup bergantung harapan kepada kerajaan sahaja terutama agensi di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah iaitu Mara, Kemas, Infra, Risda, Felcra, Kejora, Keda, Ketengah, Kesedar dan JHEOA. Tugas besar ini perlu juga komitmen ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta JKKK Persekutuan dari seluruh negara. Nasib penduduk luar bandar harus terus dibela. Mereka juga berhak merasai limpahan nikmat secara seimbang dan secara menyeluruh hasil pembangunan negara ini. Syukur, agenda membasmi kemiskinan telah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat. Buktinya penurunan jumlah kemiskinan tegar untuk tempoh hampir dua dekad telah berkurangan daripada 5.2 peratus pada 1990 kepada 1.4 peratus pada tahun 2007. Kerajaan juga berjaya mengurangkan jumlah golongan miskin daripada 58.7 peratus pada tahun 1970 kepada 3.8 peratus pada 2009. Pun begitu kejayaan ini tidak patut melekakan penjawat awam dan pemimpin kerajaan yang diamanahkan. Ini kerana masih banyak laporan dari semasa ke semasa dipaparkan di dalam media massa mengenai golongan miskin yang amat daif dan memerlukan bantuan. Rakyat kadang kala hairan bagaimana sekali-sekala golongan yang berada di luar bandar ini boleh terlepas pandang. Jika ia didakwa kerana tidak termasuk dalam pangkalan data, maka kelemahan ini perlu diatasi. Setiap tahun melalui pembentangan bajet tahunan, peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diberi dengan tumpuan khusus antaranya usaha menghapuskan kemiskinan. Peruntukan bajet itu juga akan digunakan bagi menyediakan projek infrastruktur termasuk membina jalan raya dan kemudahan asas. Kita yakin kerajaan bersungguh-sungguh untuk membasmi kemiskinan di luar bandar. Dengan pendekatan ini juga ia dapat mengelakkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar hingga melahirkan pula kemiskinan di bandar. Dalam jangka masa panjang, kemiskinan di bandar, tidak akan selesai selagi penduduk-penduduk di luar bandar terus berhijrah ke bandar-bandar untuk mendapatkan kehidupan yang selesa. Jadi luar bandar perlu dimajukan. Pandangan Penulis : Jika dilihat bilangan agensi di bawah KPLB iaitu Mara, Kemas, Infra, Risda, Felcra, Kejora, Keda, Ketengah, Kesedar dan JHEOA ternyata sudah cukup untuk melakukan transformasi. Jadi dicadangkan agar kajian dan analisis dilakukan terhadap agensi-agensi tersebut agar dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya dalam membantu YB Menteri untuk menjayakan PILB. Jika dilihat agensi-agensi ini dibina dari peringkat pusat hingga negeri, daerah malah ada yang terdapat di kampung. Ternyata pendekatan yang digunakan untuk menaiktaraf penduduk desa perlukan anjakan baru dari segi idea dan komitmen. Selamat maju jaya. |
Thursday, October 14, 2010
NASIB PENDUDUK LUAR BANDAR : APA PERANAN AGENSI ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment