Wednesday, October 13, 2010

Politik Sarawak, hanya rakyat Sarawak sahaja yang memahami dan mengerti.

Sabtu, 2010 Oktober 02

SIAPA ZAINI HASSAN DAN POLITIK SARAWAK?

Ribuan rakyat Sarawak yang dianggarkan berjumlah lebih 7,000 orang dari pelbagai daerah dan pelusuk kawasan di Sarawak datang secara sukarela ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 25 September 2010 untuk menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Setelah berfikir panjang dan berbincang dengan kaum keluarga, Pehin Sri telah mengambil keputusan untuk terus memimpin Sarawak dalam Pilihan Raya DUN Sarawak akan datang. Banyak perancangan yang sedang menanti untuk dilaksanakan khusus mengenai pembangunan Sarawak terutama Projek SCORE yang akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Sarawak.

Tulisan Zaini Hassan mengenai Kisah Wan Mokhtar, Taib Mahmud, samakah? dalam Utusan Malaysia bertarikh 29 September 2010 banyak yang perlu diperbetulkan. Agaknya Zaini Hassan ini tidak mengetahui suasana dan keadaan politik Sarawak dan hanya bersumberkan fakta sekunder atau orang tengah.

Saya menerima mesej ringkas daripada beberapa sahabat berasal dari Sarawak. Pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Abdul Taib Mahmud akan terus bertanding pada pilihan raya amat mengusarkan mereka?

Disimpulkan sendiri Zaini Hassan dengan menyatakan bau dan bunyi mesej itu, ia membawa maksud mereka mahu (kalau boleh) meminta Tan Sri Abdul Taib Mahmud berehatlah. Atau jangan lagi bercita-cita mahu menjadi Ketua Menteri Sarawak (cukuplah kata mereka) atau mungkin, bolehlah bertanding dalam kawasan DUN pilihan raya di Balingian dan kemudian duduk diam-diam.

Dan, persoalannya siapakah orang tengah? Berapakah ‘orang tengah’ yang memberi info kepada Zaini Hassan? 10 orang, 100 orang atau 1000 orang?

Kepelbagian kaum di Sarawak meliputi lebih kurang 29 etnik dan rakyatnya hidup dalam aman harmoni serta kenikmatan pembangunan yang berterusan telah menunjukkan kejayaan Ketua Menteri memerintah Sarawak. Dan, yang paling penting tiada rungutan daripada rakyat Sarawak mengenai kepimpinannya kecuali pembangkang.

Aspek pembangunan, pembinaan Empangan Bakun yang suatu ketika dahulu mendapat tentangan terutama pembangkang sambil menyatakan projek itu sia-sia dan mengancam kehidupan alam fauna dan flora sekarang ini mengakui bahawa projek itu berfaedah dan lebih-lebih lagi ia akan berfungsi tidak lama lagi (sebelum hujung tahun 2010). Baru-baru kenyataan Ketua Menteri Sarawak mahu membeli Empangan Bakun ini menunjukkan bahawa keprihatinan beliau untuk menyalurkan seluruh penduduk di Sarawak termasuk di luar bandar dengan bekalan elektrik. Projek SCORE yang merupakan salah satu projek dalam menggerakkan Wawasan 2020 telapuh mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelabur-pelabur luar negara. Kejayaan Sarawak mempromosikan SOCRE ini adalah datangnya usaha Ketua Menteri Sarawak yang berjaya meyakinkan pelabur-pelabur luar negara. Berbeza dengan pembankang hanya tahu mengkritik dan menghentam kerajaan walaupun mereka mengakui projek ini berjaya.

Persoalan menjadi mentor seperti Lee Kuan Yew (Singapura) dalam artikel yang dikemukakan Zaini Hassan tidak sesuai ketika ini. Politik Sarawak dengan politik Semenanjung Malaysia sangat berbeza. Sekarang ini, tumpuan utama Ketua Menteri Sarawak adalah kepada mendapatkan sokongan rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan yang sedang dan akan dibangunkan.

Selain politik, banyak lagi perbezaan yang sangat ketara terutama mengenai adat dan budaya. Justeru, jawatan mentor seperti yang dicadangkan Zaini Hassan tiada dalam kamus politik Sarawak ketika ini.

Bagaimana Zaini Hassan boleh merujuk kepada ‘suara-suara rakyat Sarawak’ dengan menyatakan mahu Ketua Menteri Sarawak berundur? Apakah ‘suara-suara’ ini datangnya dari rakyat Sarawak atau sengaja digunapakai Zaini Hassan bagi membuktikan faktanya?

Kisah Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu adalah cerita berbeza dengan Pehin Seri Abdul Taib Mahmud. Persamaan mereka hanya satu, iaitu tempoh masa pemerintahan. Persaraan Tun Dr Mahathir adalah atas kehendak sendiri dan berasakan sudah tiba masanya beliau menyerahkan tampuk pemerintahan kepada penggantinya. Tumbangnya BN Terengganu sehingga menamatkan pemerintahan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad bukanlah disebabkan beliau, malah keseluruhan calon BN Terengganu ketika itu bertanggungjawab. Berbeza dengan Pehin Seri Abdul Taib Mahmud yang persaraannya mendapat ‘bantahan’ daripada penduduk Sarawak termasuk ahli-ahli parti PBB dan parti kompenan lain dari akar umbi.

Zaini Hassan tidak seharusnya menyamakan keadaan yang telah berlaku di Terengganu pada tahun 1999 dengan Sarawak sekarang yang akan menghadapi pilihan raya negeri. Ini memandangkan rakyat Sarawak masih mengingati dan merasai kenikmatan pembangunan yang dicetuskan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Rakyat Sarawak masih ingat bagaimana keadaaan pembangunan Sarawak suatu ketika dahulu agak mundur berbanding apa yang dikecapi Sarawak sekarang. Sangat jauh perbezaannya dan ini yang menyebabkan rakyat Sarawak menyanjung tinggi pemerintahan Ketua Menteri Sarawak.

Rakyat Sarawak sangat taat dan patuh terhadap undang-undang dan ketuanya. Berbeza dengan pembangkang yang sering menggunakan perkataan kasar sehingga sanggup melanggar undang-undang. Pemimpin-pemimpin BN Sarawak sangat menghormati kepimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Atas sebab itu, keharmonian dalam BN Sarawak yang dianggotai pelbagai kaum sentiasa dipelihara.

Jawapan kepada Zaini Hassan, rakyat Sarawak ketika ini masih memerlukan kepimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Andai kata Pehin Sri mengambil keputusan untuk bersara selepas Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 nanti, rakyat Sarawak akan menerimanya dengan hati terbuka, tetapi bukan masa sekarang.

Tiada istilah mencipta rekod mahupun meletakkan nama dalam Guinness Book of World Record. Ingatlah Zaini Hassan, seseorang pemimpin memegang jawatan sebagai pemimpin bukan untuk mencipta nama, tetapi lebih kepada berusaha membantu rakyat. Jawatan pemimpin ini adalah satu ibadah dan bukannya untuk mendapatkan nama. Atau, mungkin Zaini Hassan sendiri yang mahukan 'nama' maka dengan itu menulis cerita kontroversi bagi melayakkan diri sebaris nama penulis kontroversi yang lain.

Dalam suasana politik Sarawak yang sedang dalam pemulihan, adalah lebih baik Zaini Hassan tidak usah mencampuri politik Sarawak. Tumpukan sahaja kepada politik Semenanjung terutama Pemilihan PKR yang sedang rancak berlangsung dengan penuh kontroversi.

Politik Sarawak, hanya rakyat Sarawak sahaja yang memahami dan mengerti.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]