Wednesday, October 13, 2010

PRU 13 : PENGUNDI MUDA 21 - 35 TAHUN BERJUMLAH 49.7 %

Memenangi imaginasi pengundi muda

UMNO mengadakan Perhimpunan Agungnya pada 19-23 Oktober ini. Perhimpunan ini amat penting. Ini kerana, pertama, ia diadakan sebaik-baik sahaja melintasi tarikh separuh penggal Parlimen kedua belas ini, iaitu 8 September lalu. Justeru perhimpunan ini perlu bermuhasabah tentang prestasinya sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang dimenangi dengan keputusan paling tipis dalam sejarahnya.

Kedua, ia berlangsung ketika ramai meramalkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berkemungkinan diadakan lebih awal. Justeru perhimpunan ini dianggap memberi petunjuk tentang persiapan menghadapinya.

Ketiga, ia bersidang sejurus sebelum Konvensyen BN yang akan membincangkan piagam BN dan keahlian secara terus. Perhimpunan ini diharap membentuk pandangan UMNO terhadap perkara-perkara tersebut yang bakal merubah wajah dan kaedah BN.

Dan keempat, ia diadakan beberapa hari selepas majlis sambutan Jubli Emas Parlimen Malaysia. Apakah pengisian UMNO untuk meningkatkan martabat Parlimen dan melahirkan masyarakat demokratik yang matang, iaitu seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020, dan dalam konteks gagasan 1Malaysia serta transformasi kerajaan dan ekonomi.

Ini antara yang dianggap penting oleh sebahagian daripada rakyat. Mereka tidak hanya melihat sekadar PRU13 sahaja. Sebaliknya, mereka melihat masa depan yang lebih jauh.

Mereka bukan sahaja melihat kemampuan parti memenangi Dewan Rakyat. Sebaliknya, mereka melihat kemampuan parti memenangkan rakyat. Sebahagian daripada mereka tidak pun melihat parti, tetapi lebih kepada individu dalam parti.

UMNO punya rekod cemerlang dalam memenuhi keempat-empat keperluan tersebut. Tetapi, untuk masa sekarang dan akan datang, UMNO perlu lebih artikulasi dan bijaksana.

Sebahagian daripada mereka yang mengharapkan politik yang lebih besar dan segar ialah belia.

Masalahnya ialah sebahagian besar daripada pengundi muda berumur 21-35 tahun tidak mengundi UMNO/BN dalam PRU12. Ketika itu, mereka 40 peratus daripada pemilih. Bagi PRU13, mereka meningkat kepada 49.7 peratus.

Selepas PRU12, UMNO bangkit dan memberi lebih tumpuan kepada belia. Satu daripada gelanggang yang diterjuninya lebih bersungguh-sungguh, iaitu yang dulunya amat lemah, ialah dunia maya. Namun, ia masih perlu banyak penambahbaikan, terutamanya dari segi kandungan dan pendekatan perbincangan.

Perbincangan politik belia amat bergantung kepada pandangan alam kita terhadapnya.

Analoginya ialah, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah sebuah permukaan yang rata dan mempunyai hujung yang bertebing curam, maka, kita tidak akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak akan belayar jauh di lautan sebab takut akan terjatuh di hujung dunia.

Tetapi, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah bulat, maka, kita akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak lagi berasa takut terjatuh di tebing dunia. Sebaliknya kita berasa berani, berkeinginan, belajar dan bersedia untuk belayar ke tempat yang paling jauh.

Begitu jugalah pandangan alam terhadap dunia belia. Ia akan mempengaruhi sama ada kita melihat partisipasinya dalam politik adalah canggih atau sebaliknya.

Jika kita melihat politik belia adalah canggih, maka, pertama, kita akan berusaha untuk menyelami minda politiknya. Contohnya, hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi; bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik; mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik; dan kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi beliawanis.

Kedua, kita akan berusaha mewujudkan politik baru yang berasaskan integriti dan governans baru. Integriti menekankan idealisme perjuangan yang diamalkan melalui politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Rakyat, termasuk belia, menolak politik kotor.

Manakala governans baru menekankan sinergi ketiga-tiga sektor pembangunan, iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil. Belia sebahagian daripada masyarakat sivil.

Ketiga, berusaha mengadakan inovasi demokrasi yang melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang meningkatkan dan meluaskan partisipasi belia dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Lima teori itu ialah:

* "demokrasi partisipatif" yang menekankan nilai intrinsik partisipasi itu sendiri, iaitu ia bersifat mendidik dan membina rakyat;

* "demokrasi deliberatif" yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana sesuatu keputusan dibuat;

* "demokrasi langsung" yang menekankan tentang saat membuat keputusan;

* "demokrasi kelainan" yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik; dan

* "demokrasi kosmopolitan" yang mempersoalkan kedudukan legitimasi keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional sedangkan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

Dan keempat, berusaha menggalakkan warga IPT terlibat dalam politik. Kita akan mengikis mentaliti negatif seperti tidak percaya kepadanya; memperlekehkannya; menggunakan teknik menakut-nakutkan; dan sindrom anti-pemikiran atau anti-intelektual yang menolak idea-idea didebatkan secara terbuka, rasional dan bijaksana.

Tetapi, usaha-usaha ini tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak memahami dan menghayati pendekatan utama dan terpenting dalam pembangunan belia, iaitu "penghakupayaan belia."

Definisi penghakupayaan belia ialah membenarkan belia berfikir dan bertindak sendiri atas semua perkara yang melibatkan diri dan persekitarannya kini dan akan datang.

Penghakupayaan belia adalah lanjutan kepada konsep "partisipasi belia" yang mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya.

Sedekad kemudian, ia diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa "partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan".

Konsep yang sama termaktub dalam Deklarasi Menteri-menteri Belia Komanwel (1998), Deklarasi Persidangan Menteri-menteri Belia Sedunia Pertama PBB (1998) dan pengisytiharan 2010 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia (yang kedua).

Semangat ini turut termaktub dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) yang menggantikan Dasar Belia Negara (1985).

Penghakupayaan belia melibatkan beberapa pendekatan dan pemikiran pembangunan belia yang progresif. Pertama, memahami bahawa terdapat "tiga permintaan utama belia", iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi-belia.

Kedua, mengiktiraf bahawa belia bukan hanya pemimpin hari esok, tetapi adalah juga "pemimpin hari ini" dalam tiga kategori, iaitu pemimpin bagi mereka yang lebih muda daripadanya, bagi yang seangkatan dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan dengan pemimpin hari ini, termasuk kerajaan.

Ketiga, kedudukan belia bukan hanya sebagai "penerima" pembangunan, tetapi juga sebagai "penyumbang" terhadap pembangunan.

Dan keempat, program pembangunan belia melibatkan tiga orientasi utama, iaitu "aktiviti", "bakti" dan "advokasi".

Di samping semua itu, dan sambil meneruskan perjuangan terasnya, UMNO juga perlu menangani persoalan-persoalan seperti umur 18 tahun layak mengundi; budaya ilmu dan peradaban tauhidik; pembinaan masyarakat baik berasaskan keadilan sosial, partisipasi demokratik serta kelestarian ekonomi dan alam sekitar; langkah afirmatif melalui keusahawanan sosial; keterangkuman tulin belia dalam arus perdana negara; dan melahirkan idea-idea pembangunan yang progresif.

Pokoknya, UMNO perlu benar-benar pro- belia.

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

PANDANGAN PENULIS : JUMLAH BEGINI BESAR BAKAL MENENTUKAN KEMENANGAN PRU 13, APA LANGKAH PEMUDA & PUTERA & PUTERI UMNO ?

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]