Monday, October 11, 2010

Pusat tidak pernah anggap Kelantan sebagai musuh - Ibrahim



KOTA BHARU 10 Okt. - Kerajaan Pusat tidak pernah menganggap Kelantan sebagai musuh seperti mana yang didakwa oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai wakil rakyat Bebas, beliau melihat Kerajaan Pusat telah memberikan layanan yang baik kepada negeri ini.

Beliau berkata, kenyataan tersebut mungkin dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz kerana tidak berpuas hati disebabkan peruntukan tidak disalurkan melalui kerajaan negeri.

"Sebagai ahli Parlimen Bebas, saya rasa bertanggungjawab membetulkan hakikat sebenar. Mungkin maksud dianggap musuh kerana Kerajaan Pusat melaksanakan projek-projek di Kelantan secara terus melalui kementerian atau Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

"Dari segi layanan untuk rakyat dan pembangunan, Kerajaan Pusat tidak anak tirikan Kelantan malah ia sama dengan negeri-negeri lain di bawah Barisan Nasional (BN), kita dapat saksikan hampir 20 tahun Pas mentadbir Kelantan, saya kira 80 peratus pembangunan Kelantan adalah dari Kerajaan Pusat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, Kerajaan Pusat seolah-olah menganggap negeri ini sebagai musuh kerana ia diperintah oleh Pas sehingga menyebabkan pelbagai permohonan projek pembangunan ditolak.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, tindakan Kerajaan Pusat tidak perlu dipertikaikan kerana ia perkara biasa dan dilakukan tanpa melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Jika Pas atau pakatan pembangkang mentadbir Kerajaan Pusat, mereka juga akan lakukan perkara sama.

"Contohnya, ahli Parlimen pakatan pembangkang merungut disebabkan tidak diberi peruntukan, persoalannya adakah kerajaan negeri pembangkang atau Pas akan memberi peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN," katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]