Monday, October 11, 2010

PRU 13 : BN mahu kemenangan besar




KUALA LUMPUR 10 Okt. – Barisan Nasional (BN) memerlukan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program transformasi yang bertujuan menjadikan Malaysia negara kelas pertama pada abad ke-21.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu menyokong program berkenaan kerana ia telah dirancang secara teliti dan mendalam sehingga ramai pemimpin dunia memuji Malaysia kerana mempunyai perancangan yang progresif dan futuristik.

‘‘Impian saya untuk Malaysia adalah untuk menjadikan ia sebagai negara bertaraf dunia pada abad ke-21 dan bukannya negara kelas kedua yang pencapaiannya tidak berapa baik.

‘‘Sebab itulah saya hendak sangat kemenangan. Ini bukan semata-mata untuk menang tapi kerana ia adalah satu-satunya cara bagi membolehkan kita mentransformasikan Malaysia menjadi antara negara terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-57 yang dihadiri 1,764 perwakilan di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.

Ini merupakan kali pertama Najib merasmikan perhimpunan itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

Beliau tidak menghadiri perhimpunan itu tahun lalu berikutan krisis dalaman parti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Najib memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman setelah siasatan menyeluruh selesai dilakukan.

Beliau berkata, siasatan itu perlu dibuat terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya berikutan terdapat sesetengah pihak yang cenderung menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memperbesarkan isu perkauman.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan kaum Cina di Malaysia tidak seharusnya disifatkan sebagai kaum pendatang.

“Ya, kamu (kaum Cina) datang ke sini pada satu ketika dahulu, tetapi itu adalah tiga, empat atau lima generasi dahulu.

“Kaum Cina sekarang adalah warganegara Malaysia yang taat setia kepada negara dan ini adalah pendirian saya,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tidak dapat menerima sama sekali hujah beberapa pihak yang mendakwa gagasan 1Malaysia telah gagal berikutan masih ada individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa beliau baru menjadi Perdana Menteri untuk tempoh setahun enam bulan sedangkan untuk mengubah sikap rakyat ia memerlukan masa yang lama.

‘‘Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengakui antara kegagalan beliau adalah untuk mengubah sikap rakyat walaupun setelah memegang jawatan ini selama 22 tahun. Oleh itu, semua pihak perlu realistik dan memberikan masa kepada saya,” ujarnya.


Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]