Wednesday, October 20, 2010

UMNO perkasakan perjuangan agenda Melayu

UMNO perkasakan perjuangan agenda Melayu
Oleh Kamal Ahmad
news@bharian.com.my
2010/10/20
Perwakilan perlu yakini visi, kesungguhan pucuk pimpinan demi masa depan bangsa

PERJUANGAN membela kepentingan Melayu, mempertahankan Raja-Raja Melayu serta meninggikan syiar Islam akan terus 'digenggam' UMNO dan ketika agenda itu dilaksanakan, ia tidak akan mengambil hak atau menafikan kaum lain.
Ketegasan ini bakal terserlah pada Perhimpunan Agung UMNO ke-61 kali ini yang akan menjadi medan memperjelaskan beberapa isu pokok, termasuk mengenai kedudukan Melayu dan hala tuju mereka ketika kerajaan dan ekonomi negara sedang melalui proses transformasi, selain menjayakan agenda pembangunan.
Click Here
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Dewan Merdeka akan dijadikan medan meyakinkan, malah memperjelaskan kepada akar umbi UMNO mengenai kedudukan orang Melayu yang sama sekali tidak akan terpinggir dan agenda perjuangannya akan diperhebat serta diperkasakan.

“Kita akan tunjukkan kepada perwakilan bahawa pembelaan dan agenda kita untuk memastikan orang Melayu tidak terpinggir. Kita akan kekalkan dari segi apa yang sudah dilakukan dulu dengan memberi jaminan dalam konteks hari ini dan menyediakan perancangan untuk masa depan.

“Yang penting, perwakilan kena yakin dengan visi, keikhlasan dan kesungguhan pucuk pimpinan yang memahami landskap politik yang ada,” katanya dalam satu wawancara semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul UMNO sebaliknya berkata, yang menghakis kedudukan orang Melayu bukan parti itu, sebaliknya pembangkanglah yang mempertikaikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, bercadang membuka UiTM kepada pelajar bukan Melayu, tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat, membenarkan pemimpin politik bukan Islam berceramah dalam masjid, serta bersikap liberal dalam isu kalimah Allah.
Hishammuddin berkata, perhimpunan kali ini penting untuk ahli menilai pemimpin yang akan membawa kepemimpinan UMNO ke era yang menuntut kepada perubahan dan pada masa sama berada di bumi nyata dari segi perjuangan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta agama Islam.

Beliau percaya perwakilan dapat melihat hasrat dan kesungguhan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak melakukan transformasi di peringkat kerajaan dan ekonomi iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), selain Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Bajet 2011, baru-baru ini yang jelas menunjukkan kehendak rakyat diberi tumpuan.

Perhimpunan Agung UMNO adalah perkumpulan Melayu terbesar setiap tahun. Dari wadah itu terzahirlah mandat perhimpunan yang menghimpunkan pemimpin Melayu semua peringkat dan semua itu sesuatu yang cukup penting kepada mana-mana pemimpin dalam kerajaan dan parti.

Tetapi ada sesetengah pihak melihat UMNO lemah dan akhirnya ada parti komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan hak Melayu, selain diserang parti pembangkang. Ini yang menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli dan orang Melayu.

Menjawab senario itu, Hishammuddin berkata: “Saya setuju. Itu menimbulkan rasa ‘tak kena’. Kita lihat parti komponen berada dalam keadaan agak kritikal dan kalau kita terlalu desak, akhirnya akan terkubur parti komponen ini.”

Hishamuddin berkata, buat pertama kali, Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera akan dibahaskan dan akan dikupas oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek ketika membawa usul ekonomi. Dalam soal pendidikan, UMNO akan melihat dari segi pendidikan teknikal dan vokasional.

“Kita akan tengok satu usaha (daripada perhimpunan ini) untuk meyakinkan perwakilan bahawa kita memahami keresahan mereka. Tetapi jangan bimbang, agenda Melayu ini tetap dalam jiwa kita sambil kita memahami landskap hari ini yang memerlukan pendekatan baru dan perubahan,” katanya.

Kesan daripada perhimpunan ini akan diuji ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Gua Musang, Kelantan, 4 November ini.

Mandat dan ketetapan dari Dewan Merdeka ini akan dipanjangkan ke Konvensyen BN 2010 yang dijadualkan hujung tahun ini dengan membawa mesej supaya parti komponen lain juga perlu melakukan transformasi sama seperti UMNO supaya suara dan tindakan BN akan lebih senada dan seirama.

Ujian sebenar kepada kesan transformasi kerajaan, ekonomi dan politik ini ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka diadakan bila-bila masa akhir tahun ini atau pada 2011.

Mengulas rentetan ini, Hishammuddin berkata: “Kalau momentum arus ini dapat kita teruskan, saya percaya apa yang kita kupas daripada perhimpunan agung ini menjadi sejarah kepada segala-galanya yang mungkin boleh mencorakkan survival parti kita untuk 50 atau 60 tahun akan datang.”

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]