Wednesday, October 20, 2010

Golongan muda harus berani luah pandangan perkasa perjuangan parti

Golongan muda harus berani luah pandangan perkasa perjuangan parti


2010/10/20
PERHIMPUNAN Agung UMNO kali ini amat penting bagi memastikan kelangsungan kuasa Melayu sebagai parti tonggak dalam Barisan nasional (BN) yang menerajui pemerintahan negara. Perhimpunan ke-61 selama empat hari bermula hari ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), berlangsung pada tempoh separuh penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

Ia membawa mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sudah semakin hampir. Perhimpunan kali ini juga menjadi medan penting setiap perwakilan dan kepemimpinan UMNO mempersiapkan diri bagi menghadapi PRU13. Justeru, seharusnya ia menjadi wadah untuk UMNO merangka dan menentukan hala tuju parti agar terus relevan.

UMNO perlu sedia berubah, seiring dengan perubahan suasana dan landskap politik semasa. Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, wajar menjadi pencetus semangat kepada setiap perwakilan dan ahli UMNO semua peringkat untuk memperkasakan parti keramat ini. Kita yakin ucapan dasar Presiden amat dinantikan bukan saja oleh perwakilan dan ahli UMNO, malah setiap pemimpin parti komponen BN, rakyat berbilang kaum dan tidak terkecuali pembangkang. Perdana Menteri sentiasa hadir dengan idea segar dalam merangsang minda rakyat, termasuk yang terbaru mahu melaksanakan Model Politik Baru (MPB) yang dilihat mampu memperkuatkan UMNO dan BN.

Ucapan dasar beliau bakal menjadi penunjuk hala tuju UMNO selepas ini. Ketika banyak pihak melihat Perhimpunan Agung UMNO secara kebiasaannya hanya membincangkan masa depan dan agenda Melayu, pembahas usul perlu melangkaui kebiasaan itu dengan membicarakan isu secara lebih meluas membabitkan agenda nasional, termasuk soal ekonomi tanpa mengabaikan hak Bumiputera. Dalam menjayakan gagasan 1Malaysia yang mengutamakan ‘kesamaan’ semua kaum, UMNO perlu memastikan hak dan keistimewaan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan tidak tergugat dan mesti dipertahankan.

Sudah menjadi tanggungjawab setiap perwakilan mengemukakan idea bernas sebagai input kepada parti dan kerajaan untuk merangka hala tuju perjuangan parti demi bangsa Melayu. Setiap perwakilan yang membahaskan usul sama ada ekonomi, agama dan pendidikan wajar memberikan pendapat bernas, tidak sekadar retorik dan membuat jenaka kosong. Jenaka berlebihan akan menghilangkan tumpuan daripada permasalahan sebenar dihadapi parti dan rakyat.

Lebih penting adalah tindakan susulan dan meneliti secara serius terhadap semua isu yang dibangkitkan, bagi memastikan ia tidak hanya tinggal di atas kertas. Perhimpunan kali ini juga perlu memberi ruang seluas-luasnya kepada generasi muda khususnya kalangan Pemuda dan Puteri menyuarakan pandangan mereka. Golongan muda adalah generasi pelapis yang bakal menentukan kelangsungan perjuangan UMNO.

Kita bukan mahu menafikan jasa pemimpin dan ahli lama dalam UMNO, namun sudah tiba masanya UMNO memberi ruang untuk kepemimpinan muda menyatakan pendirian, apa yang patut dilakukan UMNO untuk kekal relevan dalam suasana politik semasa. Idea dan input yang dikemukakan generasi baru UMNO diharapkan dapat menepati aspirasi baru golongan pelapis. Kita percaya, langkah ini mampu menarik intelektual dan profesional muda menyertai UMNO. Hakikatnya, golongan muda membentuk hampir separuh daripada jumlah pengundi pada PRU13. Selamat bersidang.

PENULIS : JANGAN JADI GOLONGAN PENGAMPU DAN PEMBODEK SAHAJA .....

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]