Di mana-mana saja saya pergi, akan ada orang memberitahu bahawa parti politik dan pemimpin politik semuanya sama saja. Selepas PRU12 lalu sehingga kini, suasana politik tidak berubah. Corak permainan politik masih sama, tidak ada banyak yang berbeza. Kita melihat politik pertentangan ini hampir setiap hari — sama ada antara parti-parti politik atau dalam parti politik itu sendiri. Ada yang mengatakan bahawa ia sudah sampai ke tahap yang menjengkelkan! Bukan sedikit yang ilusi dengan agenda perubahan yang dicanangkan oleh parti-parti politik. Malah, saya tidak terperanjat sekiranya jumlah ini semakin bertambah; lantaran politik kuali mengatakan cerek hitam. Sebahagian orang politik kelihatan selesa untuk tidak menjadi baik, cukup sekadar kelihatan baik. Kajian saya sebelum ini, melibatkan 1,383 responden mengesahkannya. Sebanyak 51.6% responden mengatakan pemimpin-pemimpin politik (tanpa mengira apa parti sekali pun) gagal memainkan peranan dengan baik dan seperti yang diharapkan rakyat. Hanya 24.0% responden sahaja yang setuju bahawa Pakatan Rakyat telah memenuhi harapan pengundi. Manakala, sekitar 35.9% bersetuju bahawa UMNO telah berubah menjadi lebih baik. Rakyat mempunyai hanya dua pilihan. Pilihan pertama, terus menjadi pengikut dan berharap pemimpin dan parti politik untuk berubah. Walaupun seperti menunggu buah tidak gugur, maka mereka harus terus menunggu dan menunggu. Atau, mereka boleh mengambil laluan kedua — menjadi pemimpin kepada perubahan; mewujudkan gerakan “suara ketiga” dalam politik di negara ini. Inilah pilihan yang ada di depan kita sekarang. Biar saya sebutkan bahawa “suara ketiga” bukan bermaksud parti politik ketiga untuk bersaing dengan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang cuba mempromosi idea sistem dua parti. “Suara ketiga” juga bukanlah calon Bebas yang bertanding di celah-celah gergasi politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dan, “suara ketiga” tidak semestinya merupakan sebuah NGO untuk mengimbangi suara parti-parti politik. “Suara ketiga” lebih merupakan satu suara kolektif rakyat yang non-partisan khusus dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan mereka. Ia lebih bersifat satu gerakan massa untuk mencorakkan dan mempengaruhi politik negara tanpa perlu terlibat dalam politik partisan. Walaupun begitu, ini bukan bermaksud “suara ketiga” tidak boleh menjadi sebuah NGO, tidak boleh meletakkan calon Bebas atau pun tidak boleh membentuk sebuah parti politik atau menyokong parti politik ketiga. Namun, itu bukanlah keutamaan, atau pun matlamat — sekurang-kurangnya buat masa ini. Keperluan kepada “suara ketiga” semakin mendesak akhir-akhir ini apabila parti-parti politik semakin mengambil pendekatan terlalu kanan atau kiri, sehingga kelompok pertengahan yang merupakan majoriti rakyat negara ini berasa terpinggir. Satu perkara yang pasti, walaupun parti-parti politik mengambil pendekatan ekstrem kanan atau kiri, akhirnya mereka masih memerlukan undi kelompok moderat atau pertengahan sekiranya parti-parti politik itu ingin menang PRU13 akan datang. Maka, di sinilah letaknya “nilai” kelompok yang kita namakan “suara ketiga” itu. “Suara ketiga” boleh mengadakan manifesto politik sendiri – membuat tuntutan kepada parti-parti politik untuk berubah; beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat; dan, dari politik emosi kepada politik fakta. Di Amerika Syarikat, “tea party” telah berjaya mempengaruhi parti-parti politik untuk menerima agenda mereka. Dalam konteks di Malaysia, “suara ketiga” tidak semestinya bertindak dan bekerja seperti “tea party.” Malah, seperti yang pernah disebutkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kita mesti membangunkan acuan sendiri – termasuklah dalam soal ini. Kehadiran media sosial memudahkan kita untuk melakukan mobilisasi. Saya tidak mengatakan ialah adalah sesuatu yang mudah, namun ia boleh “facilitate” proses ini dengan lebih berkesan. Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin mendengar pandangan anda dalam soal ini. Sila berikan pandangan anda dan kemukakan cadangan bagi mewujudkan satu proses demokrasi yang sihat; untuk semua rakyat Malaysia! |
Saturday, October 2, 2010
WAJIB BACA : SUARA KETIGA POLITIK MALAYSIA?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment