Tuesday, November 16, 2010

ISU BANJIR BUKAN PERKARA BARU.

Pelan jangka pendek, panjang persediaan petani hadapi banjir

Pandangan Penulis : Banjir di Kedah dan Perlis bukan kali pertama berlaku. Sama ada pelan jangka pendek atau panjang sewajarnya dah lama dilakukan. 
2010/11/16

KERUGIAN pesawah saja akibat bencana banjir besar di Kedah dan Perlis, minggu lalu dianggarkan RM50 juta. Jumlah diumumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, itu adalah angka konservatif dan jika laporan mengenai kerugian sektor itu diperincikan, mungkin jumlahnya jauh lebih besar.

Dalam bencana banjir pada 2007, 8,500 hektar sawah musnah. Kerajaan ketika itu memperuntukkan bantuan RM27.6 juta kepada pesawah terbabit.

Kali ini, dengan kemusnahan membabitkan 46,000 hektar sawah termasuk 30,000 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), secara kasarnya kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM150 juta bagi tujuan sama, bukan lagi RM573 bagi setiap hektar seperti pada 2007. Sekarang kos input termasuk harga benih padi, racun serangga dan baja semakin mahal. Jadi, kos membantu pesawah kali ini dijangka jauh lebih besar.

Ada 96,558 hektar sawah dalam kawasan MADA di Kedah dan Perlis. Sebanyak 160,000 hektar lagi di luar kawasan itu. Sawah dalam kawasan itu mengeluarkan 523,344 tan padi semusim. Ini bermakna zon itu menghasilkan 1.04 juta tan padi setahun dan kegiatannya di situ membabitkan 100,000 keluarga pesawah. Akibat bencana tempoh hari, sebahagian besar mereka perlu bantuan segera kerana sumber pendapatan mereka musnah.

Sekarang adalah tempoh untuk agensi kerajaan terbabit bertindak, khususnya menyalurkan bantuan asas kepada setiap mangsa. Ini perlu disusuli dengan bantuan memulihkan semula aktiviti mereka. Ini mungkin antara tugas pertama Jawatankuasa Khas Mengurus dan Menyelaraskan Bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kepada mangsa bencana banjir di seluruh negara, termasuk pesawah padi di Kedah dan Perlis.

Oleh kerana kawasan MADA dan sekitarnya antara nadi bekalan beras negara, fokus perlu diberi kepada soal kemusnahan sawah di kawasan itu. Sebagai Jelapang Padi Negara, pemulihan sektor itu perlu dilakukan pada kadar segera, komprehensif dan berjangka. Ia menuntut tindakan segera jangka pendek dan pelaksanaan pelan jangka panjang.

Tindakan jangka pendek pastinya memulihkan bendang dan batas yang terjejas sebelum menanam semula padi. Saliran bekalan air, parit dan terusan juga perlu diselenggara semula. Semua pihak perlu bekerjasama dan menyeragamkan tugasan kerana penanaman padi membabitkan penyelarasan sistem.

Untuk pelan jangka panjang, semua agensi terbabit khususnya Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta MADA perlu menubuhkan makmal untuk melakukan transformasi Jelapang Padi Negara. Input agensi lain juga diperlukan untuk memantapkan transformasi itu. Sektor ini memerlukan pelan induk dan mesti dimasukkan antara elemen dalam program pembangunan kepentingan strategik negara memandangkan graf bekalan menurun berbanding permintaan.

Ternyata, pola cuaca mulai berubah. Fenomena cuaca yang kian cenderung kepada hujan atau kemarau yang ekstrem harus menjadi faktor kritikal dalam melaksanakan kegiatan penanaman di jelapang itu. Pemanasan global turut menyebabkan paras air laut naik dan kawasan rendah seperti bendang, akan terjejas. Memandangkan Jelapang Padi Negara membekalkan 40 peratus bekalan beras nasional dan berada di kawasan rendah, usaha menangani bencana banjir serta meminimumkan kesan fenomena itu perlu dilakukan sekarang.

Bendang dalam dan di luar kawasan MADA perlu bebas banjir pada masa akan datang bagi memastikan pengeluaran padi serta harga beras terus stabil. Kalau kemusnahan berlaku setiap kali musim hujan atau kemarau, kadar pengeluaran padi akan merosot. Akibatnya, harga beras di pasaran melambung. Ini akan membebankan pengguna yang terpaksa membeli bahan makanan itu pada harga mahal. Pada masa sama, kerajaan perlu menambah peruntukan subsidi sektor ini bagi mengimbangi harga.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]