Tuesday, November 16, 2010

MANA YANG WAJAR DIBUBARKAN DBP ATAU DAWAMA?

DBP terbit, Dawama simpan buku

Pandangan Penulis : Dua-duanya nyanyi lagu bangau oh bangau...........Sayang sekali institusi yang begini baik akhirnya jadi..................


2010/11/16

Sampai bila karya bermutu dapat dibaca rakyat jika banyak tersadai di stor daripada dipasarkan?

PENULIS menerima surat daripada Ketua Bahagian Harta Intelek, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Asiah Daud yang memaklumkan ‘tidak dapat membuat sebarang bayaran pada kali ini’ kerana ‘jumlah royalti kurang daripada RM982.80.’

Surat bertarikh 29 Oktober 2010 merujuk kepada kumpulan puisi Khalayak Sejagat yang menghimpunkan 100 sajak dihasilkan dalam tempoh 25 tahun (1980-2005). Sudah beberapa tahun penulis menerima surat yang hampir sama dan tidak terperanjat apabila ada di kalangan sasterawan tempatan merungut mengenai proses pengedaran buku DBP.
Buku itu sudah empat tahun diterbitkan, tetapi anehnya tiada di kedai buku. Kecuali seketika terselit di rak buku di tingkat bawah bangunan DBP, kemudian ia lenyap tanpa alasan.
Beberapa puisi dalam Khalayak Sejagat pernah dinilai dan meraih hadiah ternama termasuk Hadiah Sastera Malaysia (1988/89), Hadiah Utusan-Public Bank, Hadiah Puisi DBKL dan beberapa sayembara lain.

Buku itu juga mendapat reaksi baik daripada beberapa sarjana dan pengkritik sastera sejak diterbitkan DBP pada 2006. Pelajar beberapa pusat pengajian tinggi juga pernah merujuk buku itu untuk menilai proses kreatif penulis tempatan. Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda dan Perpustakaan Nasional di Australia juga menempatkan Khalayak Sejagat di rak karya Melayu Nusantara.

Bagaimanapun aneh, kenapa buku tidak dijual? Apakah kerana minat masyarakat kepada puisi dan karya Melayu makin lemah, atau proses pemasaran buku terbitan DBP yang terencat?

Setiap tahun DBP menyediakan bajet yang besar untuk membayar penulis, panel penilai karya dan pegawai yang menyelenggara urusan penerbitan. Tetapi kenapa urusan pengedaran karya diabaikan? Apakah DBP sekadar menerbitkan buku dan pihak lain menyimpan di dalam stor?
Pada 2009, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Saleeh Rahamad juga merungut isu yang sama di dalam blognya kerana tidak menerima royalti daripada DBP sejak beberapa tahun.

Beliau merungut banyak buku terbitan DBP tersadai di stor Dawama di Hulu Klang, tanpa sebarang pengedaran yang lengkap.

Sasterawan Marsli NO juga menyuarakan isu sama kerana ada karya beliau yang tidak dibayar royalti kerana masalah pemasaran.

Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said pula mengambil daya usaha sendiri menerbitkan karya besar beliau kerana tidak sanggup melihat novel dan kumpulan puisinya tersadai dan tanpa usaha memasarkannya.

Samad pernah melancarkan mogok seni pada dekad 80-an kerana kesal dengan birokrat seni yang ‘kurang rasa, kurang reti dan kurang visi’. Kini beliau terpaksa menubuhkan Syarikat Wira Bukit untuk menerbit dan memasarkan buku sendiri.

Penulis pernah ke kedai buku DBP untuk mendapatkan karya sendiri namun malangnya diberi alasan ‘karya encik tiada dalam stok simpanan. Barangkali sudah habis dijual!’. Bagaimanapun apabila menjenguk ke gudang Dawama di Hulu Klang, keadaan sebaliknya yang berlaku. Banyak karya penulis ternama tersadai di sana.

Kita rasa aneh, kenapa buku terbitan DBP terlalu lesu pengedarannya? Kenapa karya penulis tempatan termasuk Sasterawan Negara tersadai sedangkan ia sebahagian daripada proses membentuk nilai intelektual bangsa menjelang 2020?
Rungutan penulis tempatan sudah beberapa kali tersiar di media dan pernah diajukan ke peringkat tertinggi, tetapi malangnya tiada tindakan susulan. DBP perlu bertindak tegas kerana industri buku negara sudah mencatat RM1.5 bilion setahun.

Mengikut statistik, negara menerbitkan 6,500 judul buku setahun membabitkan 200 penerbit. Angka ini terlalu kecil kalau dinisbahkan dengan jumlah penduduk ketika ini.

Masyarakat tentunya mengharapkan DBP untuk menerbit dan memasarkan karya bermutu kerana sektor swasta lazimnya dikaitkan dengan karya popular yang mutunya boleh dipersoalkan. Banyak karya tidak bermutu memenuhi pasaran. Banyak juga novel picisan, cabul dan popular menjadi wadah pembacaan generasi muda sedangkan Malaysia sudah memiliki prasarana pembangunan setanding negara maju.

Jika ada buku agama pun, banyak karya yang boleh dipersoalkan diterbitkan pihak swasta. Cerita jin, pedoman malam pertama dan panduan jimak cara Islam lebih diutamakan syarikat kecil untuk meraih laba segera.

Justeru, masyarakat mengharapkan DBP sebagai lambang penerbitan karya bermutu. DBP perlu aktif memasarkan karya terbaik, bukannya sekadar menerbitkan buku dan membiarkan berlapuk di dalam gudang.

Jika China sudah berjaya menerbitkan 181,000 judul buku setahun dan Korea Selatan 42,000 judul buku, kita sepatutnya sudah berjaya menerbitkan 20,000 judul buku setahun. Tentunya DBP diharapkan lebih cergas agar budaya membaca seiring proses pembacaan karya yang baik.

Di kalangan penulis pula tentunya berharap, DBP terbit buku, sila pasarkan kepada masyarakat, jangan tersadai di dalam gudang!

PANDANGAN PENULIS : ISU INI KENA TANYA PADA BOS DBP?

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]