NUJ jumpa MB Kedah bincang larangan liputan sidang DUN
Pandangan Penulis : Nak lihat dan dengar Presiden NUJ yang hebat tu........
2010/11/16
ALOR SETAR: Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari akan berjumpa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung tindakan kerajaan negeri menyekat beberapa organisasi media arus perdana daripada membuat liputan sidang Dewan Undang Negeri (DUN) selama tiga hari sejak kelmarin.
Hata berkata, ketika ini pihaknya tidak pasti sama ada tindakan kerajaan negeri melarang liputan media arus perdana berpilih itu hanya membabitkan persidangan DUN atau semua majlis anjuran kerajaan negeri pada masa depan.
“Kita akan berjumpa Menteri Besar untuk membincangkan mengenai perkara itu (larangan kepada liputan media arus perdana) kerana kita bimbang larangan itu akan diperluaskan kepada majlis rasmi kerajaan negeri yang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan PAS Kedah yang berkeras semalam tidak membenarkan wartawan media arus perdana membuat liputan persidangan DUN sejak kelmarin, termasuk pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Hata berkata, kesatuan itu yang amat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan media arus perdana membuat liputan sidang DUN dan sudah menghantar surat bantahan melalui faksimili kepada kerajaan negeri berkenaan.
Surat bantahan sama turut dihantar kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail petang semalam.
Pada Khamis lalu kerajaan PAS Kedah memutuskan untuk melarang beberapa organisasi media arus perdana termasuk kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) untuk membuat liputan dalam Sidang Bajet 2011 bermula kelmarin hingga hari ini.
Turut dilarang ialah Kumpulan Media Prima, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kumpulan Utusan, manakala media yang dibenarkan membuat liputan ialah, Harakah, Sinar Harian, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Yang Siang Pau dan Guang Ming Daily.
Hata juga berkata, NUJ juga akan menghantar wakilnya bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut melarang Kumpulan NSTP dan Kumpulan Utusan membuat liputan majlis rasmi kerajaan negeri itu.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Helmi Mohamad Khalid mengesahkan pihaknya sudah menerima surat bantahan daripada NUJ itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Nawawi Ahmad ketika dihubungi menyifatkan tindakan kerajaan negeri menghalang media arus perdana membuat liputan sidang DUN itu sebagai penakut kerana mungkin sudah menyangka pembangkang akan membangkitkan banyak isu berhubung bantuan banjir.
Yayasan Selangor halang media Oleh Sukhairi Abd Thani
2010/11/16
Arahan dikeluarkan selepas Sultan Selangor batal keberangkatan
KUALA LUMPUR: Yayasan Selangor mengarahkan pengurusan Asrama Tun Dr Ismail Yayasan Selangor di Kampung Pandan, tempat majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu yang sepatutnya diadakan semalam melarang media daripada memasuki premis berkenaan untuk membuat tinjauan.
Seorang warden asrama yang enggan dikenali ketika ditemui semalam, berkata arahan berkuat kuasa sejak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan keberangkatan baginda kerana dukacita dengan kos penganjuran sambutan yang dikatakan melebihi RM300,000.
“Kami mendapat arahan daripada ibu pejabat baru-baru ini yang melarang media memasuki kawasan asrama untuk membuat liputan mengenai perkara ini,” katanya di sini semalam.
Sabtu lalu, akhbar melaporkan Sultan Sharafuddin membatalkan keberangkatan baginda ke majlis berkenaan dan menyifatkan kos penganjuran yang terlalu tinggi itu sebagai membazir dan tidak berfaedah.
Tinjauan juga mendapati, pintu utama asrama dikawal rapat pengawal dan hanya pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan pihak asrama dibenarkan masuk.
Namun, difahamkan khemah yang didirikan di padang asrama berkenaan sejak seminggu lalu mula dirobohkan apabila Sultan Sharafuddin membatalkan hasrat baginda untuk berangkat ke majlis itu
No comments:
Post a Comment