Sunday, November 7, 2010

Ketepi fahaman politik bantu mangsa banjir

Ketepi fahaman politik bantu mangsa banjir


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun bertanya khabar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 6 Nov. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dukacita dengan nasib rakyat negeri itu yang dilanda banjir terburuk dalam sejarah Kedah dan meminta semua pihak mengetepikan fahaman politik bagi membantu mangsa menghadapi bencana itu.
Baginda berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri, Kerajaan Pusat, korporat serta individu agar menyampaikan bantuan dalam apa jua bentuk bagi membantu meringankan beban mangsa.
"Beta berasa dukacita di atas kejadian banjir yang melanda negeri Kedah khususnya kepada rakyat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bersama-sama Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun mendengar taklimat mengenai banjir di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan puteri baginda yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
Sultan Kedah juga berkenan menyerahkan sumbangan RM500,000 daripada kutipan zakat negeri Kedah dan bantuan peribadi RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk dimanfaatkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri.
Pada majlis sama, YSB menerima sumbangan RM200,000 daripada seorang individu untuk digunakan bagi membantu mangsa banjir.
Terdahulu, Sultan Kedah berkenan melawat mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti di sini.
Baginda dan Sultanah Kedah meluangkan masa selama 45 minit bertanyakan khabar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

Banjir: TPM minta Kedah jangan lepas tangan
Nov 6, 10 12:56pm
Kongsi 20
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS supaya tidak melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu kepada kerajaan pusat semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan negeri perlu meningkatkan koordinasi dalam usaha melicinkan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bekalan air bersih kepada mangsa banjir.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab. Dia tidak boleh serah kepada (kerajaan) pusat. Jikalau beban besar, kerajaan negeri perlu bersama melaksanakan tanggungjawab.

"Bidang kuasa negeri seperti bekalan air bersih terletak dalam bidang kuasa negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Kolej-Kolej Komuniti Wilayah Johor di Pagoh hari ini.

Semalam, ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung yang juga Anggota Parlimen Alor Setar, berkata kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS kurang bersedia untuk menghadapi bencana banjir.

Timbalan Perdana Menteri, yang akan melawat Kedah esok bagi meninjau keadaan terkini bencana banjir di negeri itu, berharap usaha pemberian bantuan kepada mangsa ketika ini yang tidak tersusun, akan menjadi bertambah baik.

Katanya kerajaan negeri perlu mengukuhkan persediaan logistik terutamanya operasi lori dan bot untuk memindahkan mangsa bagi melicinkan operasi menyelamat.

Mengenai pemberian bantuan kepada golongan petani dan pesawah yang terjejas dengan bencana banjir, Muhyiddin berkata kerajaan akan memaklumkan mengenai bentuk bantuan selepas keadaan bencana itu reda.

"Kita (kerajaan) sememangnya memandang berat masalah yang ditanggung oleh petani dan pesawah dan kita akan mencari jalan untuk membantu mereka," katanya.

Tentang persiapan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian berharap bencana banjir itu akan reda sebelum bermulanya peperiksaan terbabit dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kita akan lihat situasi dan berharap keadaan (banjir) akan reda, tetapi kita bimbang akan ada gelombang kedua. Kita kena ambil perhatian, tetapi walau apapun kita kena kekalkan persiapan," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Muhyiddin meminta setiap rakyat memiliki sekurang-kurangnya satu bentuk kemahiran dan mempraktikkan pembelajaran seumur hidup sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara maju.

Dengan 80 peratus daripada tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ke bawah, beliau berkata usaha 'upskilling' atau 'multiskilling' pekerja negara ini perlu diperhebatkan.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kelulusan akademik sahaja, tetapi soal kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat juga penting dalam usaha kita untuk menjadi negara maju," kata Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Prof Madya Dr Kamaruddin Kasim.

--Bernama

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]