Tuesday, November 9, 2010

KISAH CALON 3 TIMBALAN PKR.....

Letak jawatan, tarik diri bertanding keputusan peribadi - Azmin

SHAH ALAM 8 Nov. - Keputusan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatannya dan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR merupakan keputusan peribadi beliau.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang mendakwa baru mengetahui keputusan Zaid itu hari ini berkata, ia merupakan satu tindakan yang harus dihormati semua pihak.

Katanya, semua pihak dalam PKR harus menerima pemilihan yang telah dibuat oleh ahli dalam menentukan pucuk kepimpinan parti itu.

"Jika benar Zaid meletakkan jawatan, itu adalah keputusan peribadinya. Mengenai pemilihan PKR, ia satu proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding.

"Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ia sebagai satu proses demokrasi," katanya ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Zaid yang mahu meletak semua jawatannya dalam PKR termasuk menarik diri daripada bertanding pemilihan parti itu menerusi laman blognya, www.zaiduntukrakyat.com.

Zaid mendakwa dirinya telah tersilap apabila menawarkan diri untuk bertanding kerana menganggap PKR sebagai sebuah parti yang membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.

Beliau juga mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Bagaimanapun, difahamkan Zaid sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang surat rasmi mengenai keputusannya itu kepada pimpinan tertinggi parti pembangkang berkenaan.

Dalam pada itu, Azmin melahirkan rasa gembira ketika ditanya mengenai sokongan yang diterimanya dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Beliau menyatakan, dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, sokongan ahli PKR yang mahukan beliau menduduki jawatan nombor dua parti itu begitu menggalakkan terutama dari Sabah.

Dalam masa sama, beliau menyalahkan pihak media sekiranya isu pengunduran Zaid tersebut menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat mahupun ahli parti itu.

Katanya, persepsi sedemikian boleh berlaku sekiranya media memutar-belitkan isu berkenaan menerusi laporannya khususnya melibatkan media arus perdana.

"Ia (persepsi negatif) bergantung jika Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 memutar belitkan perkara ini.

"Tetapi jika Utusan dan Berita Harian mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa ini adalah satu proses demokrasi, saya kira tidak akan timbul persepsi negatif," ujarnya.

Ketika ini Azmin mendahului pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR apabila mendapat 6,525 undi, Zaid (3,905 undi) dan Mustaffa Kamil Ayub (1,215 undi).

Tarik diri, lepas jawatan

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.

Bagaimanapun, Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik.

Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.

“Saya menarik diri sebagai calon daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya juga melepaskan semua jawatan dalam parti kerana pucuk pimpinan secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti berlaku.

“Keputusan ini diambil kerana tiada usaha pucuk pimpinan parti untuk menangani manipulasi; amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan meskipun ia telah dibangkitkan berulang kali,” kata beliau dalam blog http://www.zaiduntukrakyat.com, hari ini.

Dakwaan penyelewengan dalam pemilihan PKR semakin bertiup kencang apabila beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Kemudian, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, juga mendesak supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihan, Azmin kini jauh mendahului dengan majoriti 2,620 undi selepas mengumpul 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 undi manakala Mustaffa pula sekadar meraih 1,215 undi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

“Saya menyertai PKR atas kepercayaan saya boleh mengembangkan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini, tetapi saya sebenarnya tersilap.

“Saya berharap peminat Anwar tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ (pengacau) yang akan menghalang usaha mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Janapala dakwa Anwar seleweng, tipu dalam pemilihan

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bertanggungjawab merancang penyelewengan dan penipuan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya di Sabah yang menyaksikan 'anak emasnya', Azmin Ali menang besar.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, P. S. Janapala mendakwa, Ketua Umum PKR itu menggunakan kedudukannya bagi mendesak ketua-ketua cabang parti supaya memastikan pengundian di Sabah berpihak kepada Azmin.

Sambil mencabar Anwar supaya mendakwanya di mahkamah jika dakwaan itu tidak benar, beliau berkata, satu petisyen bagi membatalkan pemilihan yang sedang berlangsung akan difailkan dalam masa terdekat.

"Anwar bukan lagi 'tangan ghaib' di sebalik kemenangan besar Azmin di Sabah tetapi beliau adalah 'tangan terbuka' yang mengatur dan mendesak ketua-ketua cabang supaya memastikan undi diberi kepada anak emasnya itu.

"Inilah proses pemilihan paling paling teruk dan paling tidak telus. PKR bercakap mengenai keadilan tetapi dalam pemilihan, segala penyelewengan dihalalkan demi memastikan kemenangan Azmin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas penarikan diri Datuk Zaid Ibrahim daripada terus bertanding Timbalan Presiden kerana dikatakan kecewa dengan penyelewengan dan penipuan undi pada pemilihan PKR, terutamanya di Sabah.

Selain menarik diri, Zaid juga melepaskan semua jawatannya selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dalam parti.

Dakwa Janapala, Anwar menghubungi Ketua Cabang Kota Merudu, Anthony Mandiau, supaya memastikan ahli PKR cabang itu tidak mengundi Zaid mahupun anaknya sendiri, Nurul Izzah semata-mata kerana Azmin.

Dalam pada itu, Janapala mendakwa, pemilihan di Sandakan, adalah bukti penyelewengan dan penipuan undi apabila Azmin memperoleh 415 undi meninggalkan Zaid (25 undi), sedangkan, ahli yang keluar mengundi dikatakan hanya 81 orang.

Saya di sebalik segala-galanya, acah Azmin
Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
3:11pm
Kongsi 9
Naib presiden PKR Azmin Ali enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau terlibat dalam proses pemilihan parti itu yang sedang berlangsung sehingga menyebabkan pencabarnya Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut, beliau secara berjenaka berkata "malangnya saya adalah (dalang) di sebalik segala-galanya."

Bercakap selepas sesi pembentangan bajet 2011 di bangunan DUN Selangor hari ini, Azmin berkata beliau menyerahkan dakwaan-dakwaan berkenaan supaya disiasat oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat.

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk membuat apa-apa komen berkenaan hal itu, dan saya percaya setiausaha agung telah membuat satu kenyataan keras semalam untuk menjelaskan keadaan itu.

"Demi kebaikan keseluruhan proses (pemilihan) ini, saya rasa kita patut benarkan setuausaha agung dan JPP untuk menyiasat aduan ini dan bertindak sewajarnya," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan keputusan Datuk Zaid Ibrahim untuk mengundurkan diri daripada pemilihan timbalan presiden PKR sebagai satu "keputusan peribadi."

"Itu keputusan dia, daripada awal saya melihat ini adalah satu persaingan sihat di dalam parti dan merupakan satu pertandingan persahabatan di kalangan pimpinan untuk menawarkan khidmat.

"Dan sekiranya benar beliau mengambil keputusan (menarik diri), itu adalah keputudsan peribadinya walaupun saya melihat daripada awal penglibatan Datuk Zaid dalam parti adalah untuk bersama untuk membawa perubahan," katanya lagi.

Azmin yang kini mendahului pencabar lain dengan majoriti sebanyak 2,620 undi setakat ini juga berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh anggota parti, khususnya di negeri sabah dalam dua hari semalam.

"Saya berasa gembira untuk menyatakan bahawa sokongan terhadap saya sejak dua minggu lalu adalah amat memberansangkan.

"Ini adalah proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding dalam pemilihan parti.

Ditanya sekiranya tindakan Zaid mengundurkan diri daripada bertanding hari ini akan memberi kemenangan kepadanya, Azmin berkata beliau tidak mahu membuat apa-apa spekulasi.

"Sebab ada lagi beberapa negeri yang akan menjalankan pemilihan pada hujung minggu ini dan hujung minggu depan.

"Kita akan tunggu sehingga cabang yang terakhir bermesyuarat pada 21 November sebelum kita buat rumusan mengenai proses ini,

"Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ini sebagai satu proses demokrasi dalam parti.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihannya, Azmin - kini naib presiden - di depan dengan 6,525 undi, manakala Zaid mendapat 3,905 diikuti Mustaffa Kamil Ayub dengan 1,215 undi

"Di Libaran pula seramai 898 ahli dikatakan mengundi tetapi pada Perhimpunan Agung Tahunan hanya 99 sahaja yang mengundi, adalah mengejutkan apabila Azmin memperoleh 881 undi sementara Zaid hanya enam undi.

"Ini sesuatu yang pelik kerana peratusan keluar mengundi dalam pemilihan PKR adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja, tetapi di Sandakan dan Libaran, peratusannya mencecah 43 dan 60 peratus," dakwanya.

Ditanya, sama ada kemenangan Azmin wajar diiktiraf atau tidak jika pemilihan diteruskan, Janapala berkata, akan berlaku migrasi besar-besaran jika anak emas Anwar itu berjaya menduduki jawatan nombor dua parti.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Anwar belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Zaid berhubung tindakannya menarik diri dan melepas semua jawatan dalam parti.

"Kalau saya boleh bagi pandangan, saya kata ini hanya pertandingan biasa... persahabatan, tidak perlu menjejaskan komitmen perjuangan parti," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar berkata, PKR belum bercadang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula menyifatkan, keputusan Zaid itu sebagai kebenaran terhadap kenyataannya sebelum ini bahawa parti itu hanya menanti masa untuk berkubur.

"Daripada apa yang berlaku sekarang saya tidak akan terkejut kalau ada lagi beberapa pemimpin kanan yang akan mengikut langkah Datuk Zaid," katanya.


Anwar: Keputusan Zaid kerana kekalahan di Sabah
Nov 8, 10 11:36am
Kongsi 36
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Zaid Ibrahim mungkin telah membuat keputusannya untuk mengundurkan diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden parti itu berikutan prestasi yang mengecewakan pada pemilihan di Sabah pada hujung minggu lalu.

Namun beliau tidak mahu menglas lanjut status Zaid sehingga membaca apa yang ditulis oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di blognya.

"Saya tidak mahu ulas lanjut hingga saya baca apa yang ditulis oleh Zaid kerana bimbang mungkin salah tafsirnya.”

Berhubung dakwaan Zaid, beliau menarik diri kerana PKR membenarkan penyelewengan dan penipuan pada pemilihan itu bagi mencapai tujuan mereka, Anwar berkata isu berkenaan telah ditangani oleh setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, Saifuddin telah menjelaskan secara panjang lebar berhubung dakwaan penipuan undi oleh penulis blog, Haris Ibrahim dengan menjelaskan bahawa kertas undi yang berlainan warna dikeluarkan setiap minggu.

"Saya sendiri tidak tahu (warna kertas undi itu). Ia langkah bijak oleh pihak parti,” katanya.

Turut mengiringi Anwar adalah presiden PKR yang juga adalah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata Zaid tetap mempunyai peranan dalam PKR di sebalik hasratnya untuk melepaskan semua jawatan dalam parti.

Beliau ditemui selepas memfailkan beberapa pindaan berhubung notis rayuan qazaf supaya pihak pendakwaan mengenakan tindakan ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perebutan jawatan timbalan presiden PKR menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Zaid, dua naib presiden PKR - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Sabah, sebelum ini disebut sebagai kubu kuat Zaid bagi mendapatkan undi setelah ketinggalan hampir 700 undi pada minggu lalu.

Namun perkara itu tidak menjadi kenyataan tetapi sebaliknya, selepas lebih satu pertiga daripada kira-kira 200 cabang PKR melangsungkan pemilihannya, Azmin terus mengungguli jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihannya, Azmin - di depan dengan majoriti 2,620 undi.

Beliau secara keseluruhan mendapat 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 manakala Mustaffa pula mendapat 1,215 undi.

Isu kesetiaan: PKR belum matang, kata Zaid
Salhan K Ahmad & Joseph Sipalan
Sep 27, 10
4:34pm
Kongsi 64
Perkembangan yang berlaku dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu menunjukkan PKR masih belum matang dalam mengamalkan ideologi yang didukungnya, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Keadaan itu, kata beliau yang juga ketua PKR Wilayah Persekutuan, antara lain, boleh dilihat apabila terdapat kalangan pemimpin yang bergabung untuk menentang beliau dalam kempen kali ini.

"Jika anda kata ini adalah parti terbuka (dengan) proses yang demokratik, kenapa ada pemimpin yang berkempen menentang saya?

"Dan inilah orang yang mendakwa mereka mahukan perpaduan (tapi kata) jangan cabar kepemimpinan. Tapi mereka masih bergabung, mereka adakan sidang akhbar, mereka kata 'orang ini tidak setia, kesetiaan mereka dipertikai.'

"Adakah saya persoalkan kesetiaan sesiapa? (Isu) kesetiaan telah ditimbulkan, jadi saya pula bertanya, kesetiaan kepada siapa? Jika anda setia kepada reformasi, perubahan dan menegakkan keadilan, saya rasa ianya satu persoalan yang penting.

"Adakah mereka setia kepada perkara ini juga?" soalnya lagi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Jangan tekan cabang

Jelasnya, tindakan sesetengah cabang untuk mencabar status quo parti juga tidak seharusnya dihalang kerana ia adalah sebahagian daripada proses kematangan parti itu.

"PKR berpura-pura sebagai parti yang progresif, tapi sebenarnya tidak. Kita perlu bergerak ke peringkat yang lebih tinggi dan parti ini dalam proses pembelajaran. Kita perlu hormati ketua cabang dan jangan tekan mereka.

"Kalau mereka mahu calonkan Tian Chua, Gobalakrishnan, Zaid, biarkan. Anda kena percaya bahawa anggota parti anda tahu bagaimana untuk membuat keputusan. Inilah masalah dalam Umno dulu.

"Saya rasa kita tidak patut contohi sebab dalam Umno sejak sekian lama barisan pemimpin telah ditetapkan supaya orang tertentu saja boleh masuk dan orang tertentu saja boleh naik.

"Mereka mahu kekalkan orang dalam kelas tertentu sahaja. Itulah sebab mengapa (Umno) lemah," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan pencabarnya Azmin Ali sebelum ini yang berkata, anggota baru seperti Zaid tidak sepatutnya menyerang pemimpin lama seperti Syed Husin Ali yang telah teruji dalam perjuangan parti.

"Apa yang dia maksudkan ialah orang baru tidak sepatutnya mengambil peluang (bertanding jawatan). Ahli dalam parti mahu saya naik, seperti yang saya kata, dan oleh itu kita perlu hormati proses ini. Bukan saya (saja), ada ramai ahli dalam PKR yang setuju dengan apa yang saya katakan.

"Jadi siapakah (Azmin) hendak katakan (begitu). Berterus-terang sajalah mengenainya, katalah saya tidak patut ambil peluang (bertanding)," katanya lagi.

Menurut Zaid, isu kesetiaan juga tidak sepatutnya ditimbulkan oleh Azmin sebagai rakan sekerjanya dalam parti.

“Sepertimana anda tidak tanya isteri anda 'adakah anda setia kepada saya' sebab kita dalam satu keluarga, kita tidak tanya perkara seperti itu. Sebaik saja kita tanya, ia akan timbulkan ketegangan. Ia akan memperkenalkan kecurigaan ke dalam parti," katanya lagi.

Anwar, jelaskan 'Kuda Trojan'

Zaid yang juga seorang peminat kuda berkata, ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai Kuda Trojan yang mungkin telah menyelinap ke dalam parti itu.

"Saya tidak tahu dengan pasti (sama ada Anwar memaksudkan dirinya). Tapi saya rasa Anwar tidak patut terus dengan gaya membuat kenyataan kiasan mengenai satu perkara yang sangat serius.

"Sebagai seorang pemimpin anda mesti boleh dipercayai dan bertanggungjawab. Dan bila anda kata perkara penting seperti itu dalam keadaan pemilihan sekarang, saya rasa adil sekiranya dia (bertindak) demikian dan memberi bukti.

"Saya tidak fikir dia maksudkan saya, (tapi) ada yang fikir begitu," katanya yang turut menjelaskan ikrarnya sebelum ini untuk mengukuhkan fungsi penyandang jawatan presiden parti itu Dr Wan Azizah Ismail.

Katanya lagi, beliau tidak tahu mengapa ada orang yang begitu marah apabila beliau berkata bahawa parti tidak perlu mempunyai struktur seperti itu.

"Bila kita ada struktur seperti itu, orang akan bertanya soalan. Saya cuma jelaskan bahawa parti kita tidak perlu buat begitu,” kataya lagi.

"Semua orang tahu Anwar ialah pemimpinnya, kenapa kita perlu berselindung di sebalik topeng? Saya simpati kepada Azizah dalam perkara ini. Saya boleh faham (keperluan jawatan ketua umum) pada 2006 dan 2007, tapi saya tidak faham mengapa kita perlu ada susunan seperti itu.

"Yalah, pada masa itu dia (Anwar) tidak layak bertanding. Itulah sebabnya saya kata masa itu betul, tapi apa penjelasan sekarang? Jadi kalau dia tak mahu jadi presiden, itu terpulang kepadanya,” katanya.

Ilusi, proksi, kronisme

Ketika diminta mengulas kebimbangan di kalangan ahli parti bahawa Anwar mungkin ditahan semula, Zaid berkata, mereka tidak boleh “tinggal dalam dunia ilusi.”

"Kita tidak boleh hidup dengan andaian apa yang mungkin berlaku. Anwar perlu ada keyakinan dalam kes beliau. Bila masalah itu timbul kita akan putuskan dalam masa yang lain, tetapi seperti yang saya kata jika dia tidak mahu jadi presiden itu adalah haknya. Tapi itu tidak memberikan semua kuasa kepada presiden sebenar,” tambahnya.

Jelasnya lagi, struktur seperti itu akan memberi ruang untuk berlakunya kawalan ke atas parti melalui proksi dan kronisme.

"Kita sebagai organisasi politik tidak boleh ditadbir secara proksi. Beginilah kita bentuk kronisme, inilah bagaimana kita mencipta kepercayaan yang kita boleh manipulasi dan kawal.

"Sebab itulah persepsinya, 'saya tidak ada kuasa tapi saya ada kawalan'. Ini tidak baik. Satu hari nanti, anda akan ada seorang presiden, tidak kiralah siapa, tapi dia berada bawah kawalan orang lain. Mungkin bukan Anwar pada masa itu, boleh jadi orang lain sebab kita sudah ada budaya di dalam parti di mana kawalan itu berada di luar (struktur parti).

"Itulah yang saya kata. Saya cuma memperkatakan apa yang semua orang tahu, tapi tentulah orang lain tak akan bercakap (mengenai perkara ini)," katanya lagi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]