Dilihat sebagai kemenangan yang cukup sentimental dan manis buat calon BN Datin Linda Tsen, yang baru kehilangan suami, penyandang kerusi parlimen Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya 9 Okt lepas, parti pemerintah membuktikan bahawa BN sentiasa menjadi "pilihan nombor satu" rakyat Sabah.
Berdepan dengan segala kemungkinan, Tsen menumpaskan dua calon pembangkang - presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah dalam pilihan raya kecil itu dengan itu mengekalkan kerusi di tangan BN.
Tsen, dari Parti Bersatu Sabah (PBS), memenangi kerusi itu dengan majoriti bertambah 6,359 undi.
Beliau meraih 9,773 undi sementara Ansari dan Yong, masing-masing mendapat 3,414 dan 2,031 undi.
"Kemenangan ini adalah sokongan begitu jelas dan ketara terhadap konsep 1Malaysia Najib serta sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah.
"Ia juga membuktikan Sabah memang sebenarnya "fixed deposit" atau simpanan tetap buat BN," kata timbalan pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak kepada Bernama.
Salleh berkata kemenangan BN menunjukkan bahawa rakyat Batu Sapi mahukan politik pembangunan menerusi hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Pusat.
"Penduduk Batu Sapi mengetahui dengan pasti bahawa hanya Barisan Nasional boleh membawa pembangunan untuk mereka. Mereka juga berharap konsep 1Malaysia untuk mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.
"Mereka tahu bawa mereka mempunyai masa depan lebih cerah dalam BN," kata beliau.
Salleh, bekas Ketua Menteri, berkata majoriti besar yang tidak dijangkakan itu membuktikan penolakan terhadap stail politik konfrontasional dan kedaerahan (Sabah untuk rakyat Sabah) yang diamal oleh SAPP dan jenama politik pembangkang.
"Ini adalah permulaan baru buat BN untuk meraih kembali keyakinan rakyat selepas tsunami politik 2008, terutama di Semenanjung Malaysia.
"Pengundi Batu Sapi termasuk masyarakat Cina memperakui bahawa BN adalah juga untuk rakyat Sabah. Kita harap rakyat Sabah akan terus menyokong Barisan Nasional dan menentukan Sabah terus menjadi simpanan tetap untuk parti gabungan yang memerintah," kata beliau.
Salleh berkata keputusan itu juga menunjukkan sentuhan ajaib Musa, selaku pengarah pilihan raya kecil BN.
Musa, yang mengemudi BN negeri kepada kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2008, membuktikan kecekalannya untuk memenangi hati dan fikiran pengundi Batu Sapi.
BN negeri hampir menyapu bersih dengan memenangi 24 daripada 25 kerusi parlimen dan 59 daripada 60 kerusi negeri yang dipertaruhkan pada piliha raya umum itu.
Para penganalisis politik melihat kekalahan yang cukup mengaibkan buat "Taiko" SAPP Yong dan Ansari, sebagai satu panggilan untuk mengejutkan parti-parti pembangkang agar mendengar gesaan penyokong supaya mereka membentuk satu gabungan dalam berdepan dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Mereka berkata kekalahan ini satu pelajaran pahit buat mereka.
"Kita tidak menjangka SAPP dan PKR kalah begitu teruk dalam pilihan kecil Batu Sapi," kata seorang daripada penganalisis itu
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment