Thursday, November 18, 2010

MEDIA : DEPA TAK PAKAI DACING TU SEBAB BERAT SEBELAH?

Ini bukan isu baru.Bagi orang suratkhabar memang dah lali bab kena tuduh berat sebelah segala macam.

Sebab tu masa sembang-sembang dengan geng ada yang gelak saja tengok tindakan kerajaan negeri Kedah blok sesetengah media buat liputan sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.

Ada yang kata nak blok terus pun ikut suka hampa lah.Macam kata orang Kedah…Tak rugi seduit pun.

Seronok juga baca Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Tantawi taruk sakan sokong tindakan kerajaan negeri Kedah tu.

Katanya memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah.

Kawan sendiri tak suka nak bersyarah panjang bab ni.Sebabnya macam kata seorang kawan lain yang dok sembang sekali bab laporan berat sebelah ni adalah sesuatu yang subjektif.

Ustaz Nasrudin kena tau dalam dunia ni jarang ada makhluk yang suka kena kritik @kena hentam apa lagi parti politik.

Bukan saja PAS,begitu juga DAP,PKR,UMNO,MCA,MIC dan lain-lain parti yang ada di muka bumi Malaysia ni.

Jangan cakap bab media yang pro pembangkang atau yang pro BN segala macam.

Tak payah pi jauh.Selak dalam rumah tangga sendiri dulu.kalau Ustaz Nasrudin ada lebih sikit masa lapang cuba ambil semua naskah akhbar Harakah.
Renung dan baca satu persatu setiap muka surat yang ada.

Untuk feedback Ustaz Nasrudin ramai kawan-kawan kata kalau baca Harakah terasa macam Malaysia ni macam duduk dibawah rejim Idi Amin di Uganda dulu ataupun Pol Pot di Kemboja dulu.

Mungkin dalam situasi semasa boleh ambil contoh Burma kot.

Depa punya tibai dan balon macam tak ada satu benda pun yang bagus.Sana seleweng,sini rasuah,situ kejam,tindas….blah…blah…blah…

Juga kalau-kalau Ustaz Nasrudin ada masa lapang lagi tinjau pula Roket dan Suara Keadilan.

Juga tolong jenguk perhati stail laman-laman web yang mendakwa kononnya mereka bebas dok main isu perkauman cara yang cukup halus dan licik.

Kawan-kawan pun dah cukup sedar misi depa memang nak bagi orang bukan Melayu benci habis pada orang Melayu dan kerajaan.

Mungkin dalam sibuk-sibuk berpolitik Ustaz Nasrudin tak sedar ada saja bab melibatkan orang bukan Melayu…sebesar kuman pun depa akan highlight macam nak meletup satu negara.

Tengok macam hari tu..depa punyalah usaha…sampai seludup masuk menyamar ke dalam forum tertutup Puteri UMNO nak cari kesalahan orang Melayu.

Cuba tanya pasal apa depa tak curi masuk forum anjuran bukan Melayu…intai tengok apa yang tak betul depa cakap.

Motifnya jelas…nak pastikan undi bukan Melayu terus memihak pada pembangkang.

Bunyi depa punya laporan macam orang bukan Melayu hidup tertindas dan merempat di Malaysia.

Sedangkan Ustaz Nasrudin punya tahu majoriti depa yang hidup paling senang lenang,kuasai perniagaan,hartanah segala macam.

Baguslah PAS dan orang-orang Melayu dalam PKR jadi tukang sorak depa.Harap-harap kampong tak tergadai nanti.

Itu semua bukan berat sebelah...laporan seimbang...tak gitu Ustaz.

Juga cuba Ustaz Nasrudin tumpang tanya bos-bos PKR ada depa syok dak dengan laporan media mengenai lintang pukang pemilihan dalam parti itu..kerusi terbang,bergaduh,bertengkar dan protes.

Mesti bos-bos PKR kata media yang saja besar-besarkan isu sedangkan satu dunia tengok dengan mata kepala sendiri kecoh sana…kecoh sini masa pemilihan cabang-cabang PKR tu.

Ni kontroversi terus dalam pemilihan jawatan utama PKR.Cakap bab demokrasi dan ketelusan bukan main melambong tapi bila nampak Datuk Zaid Ibrahim boleh jadi ancaman depa tibai dia kiri kanan.

Kawan juga teringat kisah gambar Tok Guru Nik Aziz dok bagi duit kat saudara baru Orang Asli masa kempen pilihanraya kecil Galas baru ni.

Pemimpin PAS cepat nak cover line kata itu zakat.

Cubalah PAS dapat gambar pemimpin UMNO dok bagi duit macam tu...tentu hilang bab zakat terus jadi rasuah nak beli...kita boleh bayang sendiri depa punya gamat dan heboh satu Malaya.

Dalam bab banjir di Kedah ni mungkin Ustaz Nasrudin tak begitu sedar dari awal musibah itu lagi kawan-kawan orang suratkhabar dah dapat feedback kerajaan negeri Kedah lembab dalam hulur bantuan di tempat-tempat yang kena.

Feedback ini bukan dari orang UMNO dan BN yang nak tibai PAS tapi dari orang-orang kampong yang bercempera bila kena banjir yang teruk tu.

Kawan-kawan orang suratkhabar pun ada ramai kawan dan adik beradik di Kedah.

Depa tulis dari feedback yang dapat dari serata tempat.Depa sendiri kata kata agensi-agensi kerajaan pusat dan pimpinan UMNO dan BN tempatan tak bergerak pantas tolong depa…memang lagi demam.

Ini bukan bab politik..tapi bab orang dalam kesusahan ditimpa bencana.

Sebagai parti politik wajiblah Ustaz Nasrudin apalagi Datuk Azizan Razak kena nafi cepat dan terus tuduh media lapor berat sebelah.

Rasa macam selalu pernah dengar.

Akhbar dan tanggungjawab
Oleh Rejal Arbee

2010/11/18
Pengharaman buat liputan bukti pembangkang nafi kebebasan bersuara

DUA kerajaan negeri Pakatan Pembangkang bertindak melulu terhadap beberapa stesen TV dan akhbar tanpa menghiraukan apa yang mereka laungkan selama ini mahu menegakkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.
Parti gabungan pakatan itu sering saja menuduh bagaimana kebebasan akhbar tidak wujud dalam negara dengan adanya beberapa akta seperti Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi yang ditohmah sebagai penghalang kepada media memikul tanggungjawab memberi maklumat kepada rakyat.
Tetapi, kini ketua kerajaan dua negeri itu, Lim Guan Eng daripada DAP di Pulau Pinang dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dari PAS di Kedah mengharamkan beberapa akhbar arus perdana daripada membuat liputan acara rasmi kerajaan mereka.

Pengharaman itu adalah kerana mereka tidak menyenangi apa yang dilaporkan media terbabit.

Pengharaman di Pulau Pinang berkuat kuasa sejak tahun lalu lagi ke atas akhbar The New Straits Times dan Utusan Malaysia, manakala di Kedah ia merangkumi semua media dalam kumpulan Media Prima serta ketiga-tiga akhbar dalam Kumpulan The New Straits Times, akhbar Kumpulan Utusan Melayu dan juga RTM.

Mulanya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) juga dikenakan larangan itu, tetapi ditarik balik sehari kemudian.
Alasan pengharaman kerajaan PAS itu ialah kerana liputan mengenai bencana banjir yang melanda Kedah awal bulan ini dikatakan memberi gambaran buruk ke atas kerajaan negeri kerana menyiarkan tuduhan mangsa bahawa kerajaan lambat bertindak memberi bantuan.

Apakah menyiarkan luahan mangsa banjir yang tertekan dan menzahirkan kesalan tidak mendapat bantuan segera pun dituduh memutar belitkan fakta?

Begitu menyeluruhnya pengharaman kerajaan PAS Kedah ini hinggakan acara pembukaan rasmi Persidangan bajet di Dewan Undangan Negeri itu oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah juga dilarang daripada dibuat liputan oleh media terbabit.

Apakah tindakan melulu begini tidak menunjukkan kerajaan PAS Kedah tidak menghormati Sultannya sendiri?

Dalam pada itu, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP baru-baru ini menuduh akhbar Utusan Malaysia sebagai suatu akhbar rasis kerana sering persoalkan tindakan kerajaan negeri itu terhadap rakyatnya berketurunan Melayu.

Apakah usaha pertahankan kedudukan Melayu supaya mereka bukan saja tidak terpinggir, tetapi tidak terus terhakis pun dianggap melampau? Apakah bila berlaku usaha yang menjejaskan kedudukan Melayu khususnya di pulau negeri itu pun tidak boleh dipersoalkan?

Kalau demikian halnya bagaimana pula dengan akhbar Cina terdiri akhbar utamanya Sin Chew Jit Poh, China Press dan Nanyang Siang Pau yang sering saja menimbulkan persoalan kedudukan orang Cina yang ditohmah sebagai sentiasa ditekan dan tidak mendapat apa-apa?

Tulisan yang berbaur perkauman penuh sindiran berterusan saja dimuatkan. Tetapi Kerajaan Pusat tidak pula mengharamkan akhbar itu membuat liputan acara rasminya.

Pandangan mengenai kedudukan Cina yang kononnya tidak dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan dengan setimpal dan mereka juga sering saja dianaktirikan seperti kedudukan sekolah Cina, mereka tidak diberikan biasiswa, tempat terhad untuk mereka di institut pengajian tinggi awam (IPTA), peluang tipis bagi mereka menyertai perkhidmatan awam mahu pun mendapat kontrak awam. Juga ditimbulkan soal pengiktirafan sijil sekolah Cina.

Tuduhan mengenai persoalan itu berterusan saja ditimbulkan hingga ada yang menganggap bahawa akhbar Cina tidak berminat menimbulkan soal perpaduan dan menghormati kaum lain.

Maka itu tentunya tidak menghairankan kiranya majoriti rakyat berketurunan Cina dalam negara ini beranggapan semua yang ditohmah itu adalah benar bahawa mereka berterusan dianaktirikan, malah dalam kegiatan ekonomi pun.

Anehnya dalam pada itu ekonomi negara berterusan dikuasai kaum Cina walaupun nisbah keseluruhan rakyat berketurunan Cina tidak sampai 30 peratus. Misalnya dalam industri makanan pun Cina menguasai sehingga 80 peratus daripada keseluruhannya.

Berikutan itu, dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mewujudkan perpaduan kukuh di kalangan rakyat berbilang kaum melalui slogan 1Malaysianya ditafsirkan sebagai usaha menukarkan dasar ‘tidak adil’ yang dilaksanakan selama ini kepada dasar yang adil untuk semua rakyat.

Dan adil ini tentunya berbeza pula bila dilihat daripada kaca mata pelbagai kaum. Apakah adil bermakna bilangan untuk mendapat biasiswa atau tempat di IPTA dan mengikut pelbagai jurusan pelajaran pula harus saksama tanpa menghiraukan nisbah jumlah sebenar kedudukan kaum atau tahap prasarana dan peluang yang boleh diharapkan antara mereka di bandar dan luar bandar.

Anehnya mereka tidak pula menimbulkan bagaimana Melayu/Bumiputera yang berkelayakan tidak mendapat tempat sewajarnya dalam syarikat swasta, hatta syarikat multinasional sekali pun yang mana pengurusannya dipegang orang Cina atau India.

Demikian juga akhbar itu berterusan memburukkan kerajaan. Terakhir ialah keputusan untuk menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran yang wajib lulus untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipaparkan dengan begitu sinis sekali.

Penulis itu bertanya kenapa Perdana Menteri tidak mensyaratkan semua jemaah menteri perlu lulus mata pelajaran itu. Menteri yang gagal hendaklah meletakkan jawatan mereka. Demikian juga mereka yang hendak menjadi wakil rakyat, semua kakitangan IPTA, kolej dan sekolah menengah kerajaan pun perlu lulus mata pelajaran sejarah.

Demikianlah pandangan yang begini sinis sekali yang dimuatkan akhbar China Press ini. Dalam pada itu seperti biasa mereka akan membuat kenyataan kononnya apa yang dinyatakan bukanlah pandangan akhbar itu. Begitu mudah sekali akhbar itu mahu melepaskan tangan kononnya mereka tidak bertanggungjawab terhadap apa ditulis.

Sebenarnya akhbar boleh memutus untuk tidak menyiarkan penulisan yang memberi pandangan yang begitu sinis dan ekstrem. Tetapi apabila memutus untuk menyiarkan penulisan begini, akhbar itu sebenarnya juga bertanggung jawab terhadap apa yang diutarakan. Inilah namanya akhbar yang bertanggungjawab.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]