Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Malaysia sesi 2009/2010, Khairul Anuar Abu Kasim berkata, dia menyokong cadangan tersebut kerana mahasiswa hakikatnya tidak boleh lari daripada berpolitik kerana mereka masih berpolitik dalam kampus.
"Fenomena berpolitik di kampus adalah hampir sama seperti di luar. Cuma suasana berpolitik di luar berbeza dengan suasana di dalam kampus.
"Kalau mereka matang berpolitik, ia adalah tiada masalah," katanya kepada mStar Online.
Khairul Anuar diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri bahawa mahasiswa sepatutnya dibenarkan menyertai parti politik atau berkempen apabila berada di luar kampus.
Mohamed Nazri berkata, mereka harus diberi kebebasan untuk mengembangkan minda dan universiti perlu menyifatkannya sebagai suatu proses pembangunan dan bukannya satu kesalahan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Bagaimanapun, Khairul Anuar berpendapat, pihak berkenaan perlu memastikan tidak wujudnya unsur negatif dalam aktiviti berpolitik.
"Keduanya, mahasiswa mestilah mempunyai pendirian untuk lebih mengutamakan pengajian di universiti daripada berpolitik. Mereka juga harus tidak mengganggu status atau kedudukan mereka sebagai penuntut universiti serta mencemarkan nama baik universiti apabila berpolitik," jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ridhwan Mat Salleh memberitahu, sekiranya mahasiswa dibenarkan berpolitik menerusi pindaan AUKU, kerajaan perlu mengkaji semula sama ada langkah tersebut mampu memberikan kesan kepada keputusan akademik mahasiswa.
"Mereka yang sepatutnya mengulangkaji pelajaran masing-masing pada Sabtu dan Ahad pula sebaliknya menggunakan waktu belajar itu untuk berkempen," katanya.
Tambah Muhammad Ridhwan, mahasiswa kurang sesuai melibatkan diri dalam kancah politik semasa.
Sementara itu, Exco MPM Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Izzat Ismail menyifatkan cadangan tersebut kurang sesuai dipraktikkan kerana keutamaan mahasiswa adalah belajar dan bukannya berpolitik.
Katanya, dia bimbang mereka yang taksub berpolitik akan hilang fokus pada pengajian lebih-lebih lagi universiti adalah tempat mereka mempersiapkan diri sebelum memasuki pasaran kerja kelak.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment