Monday, November 15, 2010

Syarat PAS kemudi pembangkang

Link artikel: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SyaratPASkemudipembangkang/Article


KUALA LUMPUR: PAS sedia mengemudi pakatan pembangkang dengan syarat parti itu menunjukkan prestasi cemerlang dan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Ahli Lajnah Politik PAS Pusat, Khalid Samad, berkata prestasi itu akan menjadi ukuran sokongan rakyat kepada PAS untuk mengemudi perjuangan pakatan DAP-PKR-PAS.

"Kalau nak pimpin pakatan pembangkang kena menang semua kerusi ditandingi, kena tunjuk kemampuan dan ia bukan berasas kepada pandangan individu (Datuk Zaid Ibrahim) tetapi pandangan dan sokongan masyarakat.

"PAS perlu menang lebih kerusi dari PKR dan DAP. Buat masa ini misi itu belum tercapai lagi," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam itu mengulas pandangan Zaid yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan supaya pemimpin PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang daripada PKR disebabkan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin menyimpang dari perjuangan asal parti.

Zaid menamakan lima pemimpin PAS berpotensi menerajui pembangkang iaitu exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan empat Ahli Parlimen, iaitu Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Mujahid Yusuf Rawa (Parit Buntar), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) serta Khalid.

Khalid turut menegaskan, peralihan kepimpinan dalam pakatan bergantung kepada kehendak rakyat dan akan mengambil masa.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pula berkata, parti itu perlu mempunyai majoriti kerusi seperti UMNO ketika menunjangi Barisan Nasional (BN) jika ia mahu mengetuai pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata Anwar akan mengetuai pakatan pembangkang seperti mana diputuskan sebelum ini.

Dalam temubual dengan akhbar New Sunday Times, Zaid berkata beliau tidak percaya calon Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali boleh menjadi pemimpin PKR hanya kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.
"Seseorang itu boleh menjadi pemimpin jika dia mampu melihat sesuatu perkara dalam perspektif berbeza," katanya.

Mengulas hubungannya dengan Anwar, Zaid berkata, beliau mengakui tidak pernah mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Pembangkang itu sama ada ketika di dalam UMNO atau sekarang.

Katanya, hubungan beliau dan Anwar adalah sekadar membincangkan hala tuju dan membuat keputusan parti.

"Tidak lama selepas menyertai PKR, saya mula melihat agak sukar bekerja dengan beliau kerana Anwar sering mengubah keputusan. Sebenarnya PKR itu sendiri adalah Anwar. Maka jika mengharap untuk melihat kemajuan, kita tidak akan dapat melihatnya. Ia terlalu sukar bagi saya untuk menerimanya.

"Ramai yang menyertai PKR bukan kerana Anwar tetapi mereka mahu melihat perubahan dalam negara. Sebab itu saya mempunyai ramai penyokong. Jika semua menyertai PKR disebabkan Anwar, saya tidak akan mendapat sokongan," katanya.

Mengulas hala tuju PKR jika Anwar dan Mohamed Azmin terus berada dalam parti, Zaid berkata, PKR bukan sebuah parti yang kuat dan sokongan terhadapnya juga semakin merosot selepas pilihan raya umum 2008.

"Itu sebabnya saya menawarkan diri (bertanding)... untuk melakukan sesuatu. Jika kita melihat jumlah keahlian PKR, mereka mendakwa mempunyai hampir 400,000 ahli, akan tetapi kita melihat jumlah ahli keluar mengundi terlalu kecil, kemungkinan sekitar 9,000 saja," katanya
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]