Tuesday, November 16, 2010

"SENJATA SULIT MAKAN TUAN"

Anwar juga kuda trojan'

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima satu lagi tamparan hebat apabila 'senjata sulitnya' yang selama ini digunakan untuk memfitnah kerajaan mula 'makan tuan'.

Ini kerana Raja Petra Kamaruddin yang selama ini menjadi 'senjata sulit' beliau, mula melepaskan 'peluru' ke arah Anwar sendiri apabila mendakwa, ketua pembangkang itu juga merupakan pengacau dan 'kuda trojan' dalam UMNO suatu ketika dahulu.

Raja Petra yang kini melarikan diri ke London berkata, jika Anwar boleh mengingatkan ahli PKR supaya berhati-hati dengan 'kuda trojan' yang dipercayai dirujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim, beliau juga layak dilabelkan dengan gelaran yang sama.

"Jika kesetiaan Zaid dipersoal kerana mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden sehingga digelar pengacau, 'kuda trojan' serta dilabel cuba memecahbelahkan parti, bagai manapula dengan tindakan Anwar sewaktu dalam UMNO dahulu?

"Anwar mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandang (Datuk) Suhaimi Kamaruddin pada 1982, iaitu tahun pertama menyertai UMNO. Ketika itu kesetiaannya juga belum terbukti dan boleh dianggap sebagai 'kuda trojan'," katanya.

Beliau berkata demikian dalam artikelnya di Malaysia Today mengulas tuduhan dilemparkan Anwar terhadap Zaid selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan bertanding Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, Selasa lalu Zaid telah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding dan melepas semua jawatannya dalam parti malah dijangka bertindak keluar parti pada Jumaat ini.

Katanya, Anwar perlu jujur dan bukannya bersikap mementingkan diri apabila menghalalkan segala pendekatan jika ia berkait dengan dirinya tetapi mengharamkan pendekatan yang sama jika boleh memberi keuntungan kepada orang lain.

Dalam pada itu, Raja Petra menyelar tuduhan Anwar kononnya Zaid menggunakan pihak luar untuk berkempen bagi dirinya sedangkan semasa bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dahulu, beliau juga menggunakan pendekatan sama.

"Kami berkempen untuk Anwar tiga kali berturut-turut sehingga beiau berjaya mengalahkan Suhaimi walaupun kami bukan ahli UMNO. Ini kerana jika mengharapkan ahli UMNO, Anwar akan ditendang keluar.

"Pada masa itu, Anwar masih terlalu baru dalam UMNO. Dia dianggap sebagai pengacau, 'kuda trojan' dan bakal memecahbelahkan parti, sama seperti apa yang beliau label terhadap Zaid hari ini," katanya.

Dedahkan 'wajah' sebenar Anwar

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pas dicabar supaya menerima pelawaan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pemimpin parti itu bagi mendedahkan 'wajah' sebenar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd. Nazmi Rosli berkata, sebagai sebuah parti Islam, Pas perlu bersikap adil dengan mendengar daripada semua pihak mengenai sikap Anwar dan tidak lena dibuai 'lagu' yang dinyanyikan Ketua Pembangkang itu sahaja.

"Penipuan Anwar telah banyak didedahkan oleh bekas ahli PKR seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, namun pimpinan Pas hanya memekakkan telinga dan membutakan mata.

"Inilah peluang untuk pimpinan Pas yang selama ini menjulang Anwar sebagai 'bos besar' mereka untuk mendengar penjelasan Nallakaruppan yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama 30 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nallakaruppan semalam yang beliau malu apabila melihat pucuk pimpinan Pas masih taksub kepada Anwar walaupun pelbagai tembelang Ketua Pembangkang itu telah terdedah.

Sehubungan itu, bekas rakan karib Anwar itu bersedia untuk bertemu pemimpin Pas jika mereka berminat untuk mengetahui 'wajah' sebenar Ketua Pembangkang tersebut.

Mohd. Nazmi berkata, pimpinan Pas seharusnya menghormati pelawaan itu berikutan Nallakaruppan menyebut bahawa pertemuan tersebut adalah sebagai dasar hormat kepada Pas yang dianggotai oleh orang alim.

"Secara peribadi saya berpendapat maruah Pas tercabar apabila Nallakaruppan melahirkan rasa malu beliau kerana pimpinan parti itu yang dipimpin oleh alim ulama boleh taksub dengan Anwar sedangkan mereka (Pas) tidak pernah tahu kelakuan Anwar yang sebenar.

"Pimpinan Pas harus memberi peluang kepada diri mereka untuk mendengar kisah benar yang banyak disimpan oleh Nallakaruppan seterusnya tidak lagi taksub kepada Ketua Pembangkang itu," katanya.

Pemilihan PKR wajar diadakan semula

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Beberapa penganalisis politik berpendapat pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar diadakan semula apabila wujud bantahan daripada pelbagai pihak di dalam parti itu terutama oleh akar umbi sendiri.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, PKR jelas bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi seperti yang dilaungkan sekiranya pemilihan yang dikatakan tidak telus dan adil itu diteruskan.

"Kita nampak perkembangan ini terutama apabila wujud bantahan akar umbi. Ini membuktikan pemilihan yang dibuat tidak sistematik kerana dikatakan banyak penipuan dan sebagainya.

"Sehubungan itu, pemilihan pemimpinnya wajar dinilai semula dan wajar diadakan semula bagi membolehkan pemimpin yang dipilih benar-benar yang dimahukan ahli," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas senario pemilihan PKR yang kini semakin kecoh apabila ada di kalangan pemimpin dan juga ahlinya tidak berpuas hati dengan cara ia dilaksanakan, malah ada yang mendakwa ia bukan pemilihan parti yang bersih dan mahu ia diadakan semula.

Perkara itu jelas apabila semakin ramai penyokong parti itu kini membantah proses pemilihan pucuk pimpinan PKR yang didakwa tidak telus dan adil kepada calon-calon yang bertanding.

Penganalisis politik, Datuk Zainal Kling pula berkata, pucuk pimpinan PKR wajar melihat dan mengkaji tuntutan peringkat akar umbi yang mahu pemilihan parti itu dibatalkan kerana dikatakan dilaksana secara tidak telus dan tidak demokrasi.

Beliau berkata, ini kerana sebarang tentangan yang bangkit daripada akar umbi hanya akan menyebabkan parti itu berhadapan dengan kejatuhan.

"Pemilihan PKR kini menjadi perkembangan yang menarik kerana bukan sahaja ada peringkat kepimpinan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku malah sudah turun kepada akar umbi. Perasaan tidak puas hati dalam proses pemilihan ini sudah menjadi masalah akar umbi dan boleh memberi padah besar kepada PKR.

"Barangkali pemimpin PKR wajar mengkaji sejauh mana ketidakpuasan hati akar umbi kerana jika tidak ia boleh menyebabkan keruntuhan parti itu," katanya.

Dalam pada itu, Profesor Tamu Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof. Madya Mohd. Abdad Mohd. Zain berkata, perkembangan yang berlaku dalam parti itu menunjukkan bahawa masih banyak perkara yang perlu dipelajari pemimpinnya.

Katanya, proses melengkapkan infrastruktur PKR seperti memilih pucuk pimpinan yang benar-benar baik akan memakan masa.

"Ia seperti mencari ubat yang mujarab, akan memakan masa. Sebagai parti baru sudah tentu akan wujud pelbagai masalah terutama ketika memilih pemimpin. Ia akan memakan masa untuk membangunkan parti,'' jelasnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]