Saturday, December 25, 2010

ANTARA HELAH POLITIK DAN NIAT IKHLAS.....

Apco: Rakyat menanti penjelasan Anwar

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar menafikan fakta serta surat rasmi yang dikeluarkan Apco Worldwide bahawa firma itu tidak terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia dan One Israel.

Yang Dipertua Pertubuhan Kesejahteraan Ummah, Senator Datuk Akhbar Ali berkata, rakyat menanti penjelasan secara terbuka oleh Anwar mengenai surat penafian yang dikeluarkan oleh firma itu.

"Anwar tidak seharusnya hanya ke pasar malam, mengadakan siri jelajah untuk terus menuduh gagasan 1Malaysia mempunyai kaitan dengan Apco dan One Israel. Beliau perlu jelaskan mengenai surat penafian Apco kerana rakyat sedang menanti keterangannya.

"Dia perlu adil kepada semua pihak, perlu adil kepada rakyat. Kalau dia kata teraniaya, sebenarnya dia belum teraniaya tetapi dia yang menganiaya dirinya sendiri sekiranya tidak tampil memberi penjelasan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin mendedahkan surat yang diterimanya daripada Apco yang menafikan firma itu terlibat dalam pembentukan gagasan 1Malaysia.

Selain itu, beliau turut mengemukakan akuan bersumpah penasihat politik yang pernah bertugas dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Barak iaitu Robert M. Shrum.

Dalam akuan bersumpah itu, Robert yang juga terlibat dalam mencipta slogan One Israel menafikan Apco mempunyai kaitan dengan slogan yang digunakan negara Yahudi itu.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad pula berkata, Anwar bukan seorang pemimpin yang hebat sebaliknya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya pandai mencari salah orang lain.

Dalam isu Apco katanya, beliau dilihat sengaja memutar belit isu dan mencari salah kerajaan bertujuan menutup kelemahan dirinya sebagai seorang pemimpin dan mengalih pandangan rakyat daripada memberi tumpuan kepada perbicaraan kes liwatnya.

"Anwar bukan seorang pemimpin. Dia hanya aktivis yang pandai cari kesalahan orang lain sahaja. Untuk menutup kelemahan dirinya dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun dia tahu perkara itu salah di sisi undang-undang," katanya.

Beliau juga yakin Anwar tidak akan menjawab pendedahan Mohamed Nazri sebaliknya akan terus bersandiwara kerana sememangnya itu wajah sebenar beliau dalam kerakusan untuk meraih kuasa dan sokongan rakyat.

"Dia akan terus bersandiwara bukan sahaja dalam isu Apco malah dalam kes liwat yang dihadapinya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, tindakan Anwar mengaitkan 1Malaysia dengan Apco hanya helah politik ketua pembangkang itu dan bukan cetusan murni untuk membaik pulih kelemahan dalam kerajaan.

"Tindakan Anwar bertujuan menimbulkan keraguan supaya rakyat membenci kerajaan. Pemikirannya juga hanya berorientasi agenda politik pilihan raya, bukan untuk pembangunan negara," katanya.

Menurutnya, Dewan Rakyat telah membuat keputusan tepat menggantung kehadiran Anwar selama enam bulan kerana tindakannya menuduh 1Malaysia mempunyai kaitan dengan Apco dan One Israel adalah berniat jahat yang mahu rakyat melihat Barisan Nasional (BN) bersifat seperti rejim Zionis.

"Tindakan Anwar itu cukup berbahaya dan subversif kerana dia cuba melakukan provokasi terhadap pemikiran rakyat untuk menolak gagasan 1Malaysia," katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]