Friday, December 24, 2010

PRU 13 : PR TUMBANG ?

Berbicara tentang Reformasi PKR...

Ngeow Chow Bing | Dec 21, 2010 03:51:28 pm

 
PKR dan Barisan Nasinal telah mengadakan kongres/konvensyen-nya baru-baru ini.  Tidak kurang juga peristiwa yang menimpa PKR kebelakangan ini.  Sesungguhnya PKR boleh mempersalahkan media arus perdana kerana memperbesarkan "kekecohan" yang berlaku dalam partinya, namun pada hakikatnya, kemegahan dan semangat PKR telah luntur berbanding dua tahun yang lalu.
Secara perbandingannya, semangat BN pula dipacu dengan kemenangan dua PRK yang terdekat.  Malah, BN yang kini semakin stabil dari pimpinan atasannya, sering menyindir PR dengan nada yang sinis.  Seandainya PRU diadakan sekarang juga, PR tidak semestinya mengulangi kegemilangan yang dicapainya pada tahun 2008.
Mengapa kekuatan PR, terutamanya PKR luntur dalam tempoh dua tahun?  Meskipun tidaklah sampai tahap meranap, namun seandainya tidak bermuhasabah, ia bakal menyusut.  Situasi sedemikian sememangnya menjejaskan sistem dua parti yang baru muncul pada tahun 2008.  PKR wajar mengkaji kelemahannya dari segi kualiti anggota, struktur organisasi, pimpinan, strategi dan sebagainya.
Memperbaiki kualiti anggota PKR
Bukan sesuatu yang baru bahawa anggota PKR berasal dari latar belakang yang berbeza, malah memperlihatkan kualiti yang jauh berbeza.  Masalah ini juga dihadapi parti lain, tetapi nampaknya lebih ketara dalam PKR.  Punca masalahnya adalah penerimaan keanggotaan secara sewenang-wenangnya.  Ini kerana mobilisasi diperlukan semasa berkempen, maka parti politik di Malaysia perlu menarik sebanyak anggota yang mungkin untuk memperkasa organisasi dalam parti dan mengerah sokongan.
Namun, seandainya sebilangan besar anggota parti itu sekadar "gerombolan", maka ia akan membebankan parti.  "Pendidikan politik" perlu dimantapkan agar anggotanya dipandu ideologi, lantas partinya berideologi.  Namun, inilah yang paling kekurangan dalam aktiviti parti setakat ini.
Organisasi tidak cerminkan keperluan
PKR meniru struktur organisasi parti lain dalam negara, terutamanya musuh politiknya UMNO.  Kritikan ini pernah dibangkitkan sebelum ini.  Cuma, pernahkan PKR memikirkan, apakah kekurangannya yang sebenar?  Apa yang paling diperlukannya?  Dan apakah struktur organisasi yang mampu mencerminkan keperluan ini?
Saya yang bukan anggota parti memang tidak tahu jawapannya.  Tetapi adalah kurang bijak untuk PKR jika sekadar meniru struktur organisasi musuh politiknya tanpa mempertimbangkan keperluan diri yang sebenarnya.  Misalnya, pengkhususan peranan dalam struktur pimpinan tertinggi PKR agak mudah, hanya diwujudkan beberapa jawatan seperti Ketua Penerangan, Pengarah Strategi dan sebagainya.  Apakah ia mencerminkan keperluan dalam parti?  Apakah masih ada peranan yang perlu dikhususkan kepada pemimpin tertentu untuk menjalankan fungsinya?
Pada masa yang sama, terdapat institusi yang pada hakikatnya tidak diperlukan, tetapi diwujudkan untuk memenuhi ego sesetengah orang.  Tetapi kewujudan institusi ini hanya membazir sumber dan menambah perselisihan dalaman.  Apakah benar perlunya sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita?  Atau ia diwujudkan kerana ia wujud dalam organisasi dalam negara?
Kekurangan bakat mentadbir
Saya terasa Anwar Ibrahim tidak lagi "gagah" sebagaimana yang dahulu selepas "Kes Sodomi II".  Hujah ucapannya berulangan, dan tidak menunjukkan prestasi yang terserlah setelah dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.  Kemampuannya untuk menyatukan parti, mengawal situasi turut dilemahkan.  Jelas, kes ini telah banyak melunturkan dayanya dan membazir masanya - strategi BN yang cukup tajam untuk melemahkan musuhnya.
BN menyasar pada Anwar - bahagian yang paling kuat dan pada masa yang sama paling lemah untuk PKR.  Setelah penat lelah Anwar dibuatnya, kekuatan parti berjaya dilemahkan.  Di kalangan pemimpin PKR, ramai yang berimejkan "akar umbi" atau "politik", tetapi terlalu kurang "pakar/profesional".
Ketika pemimpin PKR berucap, saya sering merasakan - jikapun halatuju mereka betul, tetapi mereka gagal meneliti soal dasar, pentadbiran secara terperinci.  Bahasa yang cukup molek tetapi tidak bernas - semuanya "syiok sendiri", langsung tidak masak dengan soal pentadbiran.
PKR seharusnya menarik dan melahirkan lebih banyak pemimpin seperti Tony Pua, Liew Chin Tong dari DAP, yang tahu berbicara tentang soal dasar.  Mereka yang hanya pandai beretorik - pemimpin kononnya inilah hanya akan menjadikan kemelut PKR dari segi pimpinan semakin ketara.
Strategi kurang tepat
Satu lagi masalah PKR, tidak membezakan keutamaan dalam percaturan strategi.  Selepas PRU 2008, PKR dengan megah dan yakin bahawa dirinya mampu menawan Putrajaya, menguasai kerajaan peringkat persekutuan.  Namun, keyakinan ini tidak lagi sekukuh dua tahun yang lalu.  Prestasi PKR baru-baru ini memberi persepsi bahawa parti ini tidak mempunyai halatuju yang jelas.
PKR haru jelas dengan halatuju dalam percaturan strateginya.  "Mempertahankan Selangor, kemudian berperang (dengan BN) untuk jangka panjang", atau terus "menuju ke Pusat"?  Sesungguhnya, kedua-dua ini bukan pilihan yang saling berkontradiksi.  Tetapi dalam keadaan di mana sumber terbatas, adalah penting untuk mendahulukan dan mengemudiankan tugas-tugas - agar tidak memecah-belahkan sumber sehingga tidak kesampaian dua-dua matlamatnya.  Misalnya, pemilihan langsung PKR, bukannya tidak baik, tetapi apakah ia wajar diadakan pada peringkat ini?  Ini soalan yang dipertikaikan.
Diharapkan PKR meneliti kelemahan diri sebaik-baiknya.
*Ngeow Chow Bing ialah pengkaji politik dan kolumnis di MerdekaReview.  Diterjemah dan disunting daripada teks asal yang disiarkan pada pada 14 Disember 2010.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]