Guan Eng Setiausaha Agung baru DAP, Karpal Singh Pengerusi Bekas anggota parlimen Kota Melaka Lim Guan Eng, yang pernah dikenakan hukuman penjara kerana membuat tuduhan palsu, Sabtu dipilih sebagai setiausaha agung DAP, jawatan yang pernah disandang bapanya, Lim Kit Siang. Pada Kongres Kebangsaan DAP ke-14 di sebuah hotel di sini, parti itu juga menyaksikan perubahan besar barisan kepimpinannya sejak ditubuhkan 38 tahun lepas apabila Kit Siang melepaskan jawatan sebagai pengerusi untuk memberi laluan kepada timbalannya, Karpal Singh dipilih sebagai pengerusi ketiga DAP. Dr Chen Man Hin merupakan pengerusi pertama parti ini sebelum jawatan itu diambil alih Kit Siang pada 1999 setelah beliau melepaskan jawatan setiausaha agung yang disandangnya sejak 1969. Anggota parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw pula dipilih sebagai timbalan pengerusi manakala anggota parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Zulkifli MD Noor, Chow Kon Yeow dan Richard Wong memenangi jawatan naib presiden. Dalam pertandingan merebut kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), setiausaha pengelola kebangsaan, yang juga anggota parlimen Cheras, Tan Kok Wai mendapat undi terbanyak iaitu 337 daripada 381 anggota perwakilan yang menghadiri kongres tersebut dengan diikuti anggota parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan (334 undi) dan Chow Kon Yeow (333 undi). Guan Eng menduduki tempat ke-12 dengan 276 undi manakala Karpal Singh mendapat 309 undi dan Kit Siang 264 untuk membolehkan mereka menduduki tempat ke-10 dan ke-14 daripada 34 calon. Pada sidang media kemudiannya, Guan Eng menolak dakwaan bahawa pemilihannya sebagai setiausaha agung DAP menunjukkan wujudnya nepotisme dalam parti itu. "Baru jadi setiausaha agung sudah mula (tuduhan nepotisme). Saya dipilih oleh 19 anggota CEC dan menerima sokongan semua perwakilan. Saya bukan dipilih oleh satu orang," kata beliau. Guang Eng mengambil alih jawatan itu daripada Kerk Kim Hock yang melepaskan jawatannya selepas pilihan raya umum lepas. Katanya dengan menyandang jawatan setiausaha agung, beliau tidak akan menjadi hartawan. "Terpulanglah kepada musuh DAP untuk mengambil kesempatan daripada isu ini. Apa yang penting ialah anggota DAP tahu bahawa saya bekerja untuk parti tanpa mengharapkan ganjaran," katanya. Guan Eng juga mengumumkan Kit Siang akan mengetuai Jawatankuasa Perancangan Strategik dan Dasar DAP yang akan menasihati parti itu tentang pelbagai isu dan dasar. Sementara itu, Karpal Singh berkata pemilihannya menunjukkan bahawa DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum dengan setiap orang mempunyai peluang untuk dilantik memegang jawatan. "Tapi, apa yang menyedihkan ialah saya mengambil alih daripadanya (Kit Siang). Bukan mudah untuk menyamai beliau...dengan pengalaman dan tahap intelektualnya," kata anggota parlimen Bukit Gelugor itu. Calon bukan Melayu lain yang turut dipilih menganggotai CEC ialah Ahmad Ton dan Zulkifli Md Noor. |
Friday, December 17, 2010
DAP KETANDUSAN PEMIMPIN......
Label:
DAP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment