Selera Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menawan Putrajaya sekaligus jadi Perdana Menteri masih membuak-buak walaupun PKR nampak hampir rebah dengan macam-macam perkara ekoran perebutan jawatan dalam parti itu sekarang.
Ketua Pembangkang itu juga seolah buat-buat lupa beliau sedang berdepan kes liwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di mahkamah yang boleh bikin impiannya padam jika didapati bersalah.
Anwar barangkali merasakan hanya kerusi Perdana Menteri itu akan ‘ menyelamatkannya’ dari segalanya.
Sebab itu ketika berceramah di kempen bagi calon PKR, Ansari Abdullah di Sanbay Hotel di Sandakan petang Ahad beliau dengan nada untuk menggambarkan keyakinannya kepada hadirin berkata lima negeri yang sudah ditawan pembangkang pada pilihan raya umum lalu tidak akan terlepas semula kepada Barisan Nasional (BN) .
Malah katanya, pakatan rakyat akan menawan Negeri Sembilan kerana ketika ini mereka hanya kekurangan tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri.
Sasaran seterusnya pembangkang adalah Johor yang merupakan kubu kuat UMNO di Semenanjung ketika ini.
“Lima negeri kita sudah tewaskan dan tidak boleh kalah dah. Lepas ini kita tembus Negeri Sembilan kerana kita hanya kurang tiga kerusi Dewan Undangan Negeri. Lepas itu kita tembus Johor pula,” ujarnya.
Lebih 1,000 hadir mendengar ceramah tersebut yang turut disertai Tan Sri Khalid Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Mahfuz Omar serta Ansari.
Ambil kira apa dicakapkan Anwar ini, nampak ia tidak jauh dengan apa didedahkan ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu Zulkifli Noordin mengenai pakatan sulit PKR-DAP mahu tawan Negeri Sembilan dan Perak dengan membelakangkan PAS.
Bagaimanapun, kerana apa didedahkan Zulkfli itu boleh buat sesetengah pemimpin PAS boleh naik angin, Anwar seperti biasa cuba tutup silap matanya itu dengan memuji Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin yang jujur.
Katanya, Azizan dan Nik Aziz tidak ambil walau seincipun tanah atau balak di negeri Kedah atau Kelantan.
Malah beliau turut menasihatkan Khalid sebagai menteri besar PKR di Selangor mencontohi kedua-dua pemimpin PAS itu.
Sementara itu, Kit Siang pula terus memainkan isu kematian Teoh Beng Hock, Amirul Rasyid dan K. Kugan dengan menggambarkan kematian mereka sebagai kezaliman di negara ini.
Beliau sengaja menimbulkan kes itu yang dianggap boleh menghina mahkamah kerana ingkues Beng Hock masih berjalan manakala kes kematian remaja akibat terkena tembakan polis itu masih belum selesai.
Penasihat DAP serta ahli parlimen Ipoh Timur itu turut meminta pengundi-pengundi di Batu Sapi memberi kemenangan kepada PKR bagi meneruskan perjuangan pembangkang ke Putrajaya.
Katanya, kalau PKR menang di Batu Sapi, ia ibarat sudah separuh perjalanan ke Putrajaya.
Walaupun beberapa pemimpin pakatan rakyat sibuk berkempen tetapi ramai melihat pertembungan sebenar dalam pilihan raya kecil di Batu Sapi ini antara BN dan SAPP.
PKR dikatakan meletakkan Ansari hanya bertujuan memecahkan undi khususnya membabitkan pengundi-pengundi Melayu dan Bumiputera Melayu di Sabah. -31/10/2010