Friday, December 24, 2010

Desperado dan politik

Desperado dan politik

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditadbirkan oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim anak beranak baru-baru ini menampakkan pelbagai warna menarik keluarga ini. Bagi orang banyak, ia tidak lebih daripada pernyataan-pernyataan politik sebuah parti pembangkang yang amat bernafsu untuk menawan Putrajaya.
Tetapi kepada penganalisis politik-sosia-budaya ia mempamerkan kenyataan politik (bukan pernyataan politik atau political statements) yang amat menakutkan. Cetusan emosi, psikologi, dendam, marah dan crudities beyond comprehension yang terhambur menampakkan lebih banyak ciri emotif dan sentimen daripada kematangan dan kebijakan berpolitik dalam parti ini.
Kepada orang yang pernah menggunakan perkataan bahlul kepada orang lain, mungkin ketololan adalah perkataan paling tepat untuk mengungkap segalanya tentang PKR.
Daripada kata-kata yang memaparkan 'pendewaan' kepada seorang suami (jika itulah sebenarnya) atau pemameran cult peringkat tertinggi kepada seorang manusia adalah tidak menghairankan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata suaminya adalah anugerah Allah paling berharga untuk Malaysia.
Wan Azizah perlu menyedari bahawa hubungan suami-isteri antara beliau dan Anwar tidak memerlukan rasionalisasi dan apa juga yang dilakukan oleh suaminya perlu diterima, dimaafkan dan hidup berkeluarga perlu diteruskan dengan cara yang cukup sivil.
Pun begitu, sebagai pemimpin PKR beliau perlu berdiri di luar perkahwinan mereka dan menganalisis Anwar sebagai seorang pemimpin politik.
Wan Azizah perlu sedar beliau mempunyai tanggungjawab politik, sosial, budaya dan spiritual yang maha tinggi dalam menilai Anwar, kerana apa juga endorsement beliau kepada suaminya bukan sahaja akan dijawab di akhirat kelak tetapi boleh menjadi liabiliti politik yang tidak tergambar seriusnya kepada agama, bangsa dan negara ini.
Pembinaan dinasti politik tidak salah dari segi undang-undang negara mana pun tetapi ia sering kali tidak cukup telus dan beretika dan tidak lebih daripada satu lagi elemen 'realpolitik' sahaja (dari bahasa Jerman yang bermaksud realiti dalam politik).
Sebelum ini, PKR dan semua parti pembangkang sibuk menuding jari kepada Barisan Nasional dengan isu kronisme, nepotisme dan segala macam isme lagi tetapi tiba-tiba perkataan tersebut lenyap dan tidak kedengaran lagi dan adalah 'ok' dan tidak jijik jika parti dipimpin oleh kaum keluarga sendiri!
Hitler adalah contoh seorang cult figure paling klasik dalam sejarah dunia moden kerana kepetahan beliau berpidato dan berjaya mengaburi mata orang Jerman dengan meyakinkan mereka bahawa apa yang dikatakannya adalah betul belaka dan perlu dituruti dan tidak boleh dipersoalkan.
Walau pun mempunyai gaya hidup yang boleh dipersoalkan dan tidak mementingkan akhlak dan moral tinggi, Hitler pengamal otokrasi paling efisien memastikan jentera kerajaannya mempamerkan kehidupannya yang amat baik dan bermoral.
Beberapa tahun lalu The History Channel menayangkan filem tentang hari-hari akhir Hitler sebelum kejatuhan Berlin ke tangan tentera Rusia di dalam kubu bawah tanah di tengah-tengah bandar tersebut. Antara yang dipamerkan ialah hanya beberapa jam sebelum membunuh diri pemimpin The Third Reich ini berkahwin dengan Eva Braun perempuan simpanannya.
Semua pegawai tentera atasan dan orang di sekelilingnya mengetahui status hubungan Hitler dengan Eva tetapi semua itu diterima dan tidak dipersoalkan kerana dalam fasisme, kedudukan pemimpin adalah sebagai seorang bapa yang mengetahui segalanya dan tidak boleh dipersoalkan apa juga kata-kata dan perlakuannya.
Hitler didewakan sebegitu rupa dan kata-kata Wan Azizah dalam ucapannya baru-baru ini mungkin menyebabkan ramai orang merasakan peluh sejuk mula mengalir dari tulang belakang mereka.
Cult leadership sedang mengambil tempat di dalam PKR rasanya dan jika ini yang berlaku parti ini semakin hampir kepada otokrasi dan bukannya demokrasi seperti yang dilaung-laungkan selama ini.
The Economist majalah antarabangsa tersohor dan antara yang paling berpengaruh di dunia sudah pun mengesahkan pendapat bahawa demokrasi tidak wujud lagi di dalam PKR.
Beberapa bulan lalu, Anwar sibuk menyelar negara-negara besar yang pernah menjadi sekutu kuatnya seperti Amerika Syarikat dan Britain kerana situasi hari ini sudah berubah.
Suatu ketika dulu Anwar menerima simpati paling istimewa daripada pemimpin Parti Demokrat Amerika Syarikat tetapi seperti kata pepatah Inggeris 'kita hanya boleh berbohong pada satu ketika atau kepada seseorang tetapi kita tidak boleh berbohong setiap masa dan kepada setiap orang.' Anwar semakin kecil pengaruhnya di luar negara dan semakin terpinggir kerana 'warna' sebenarnya semakin kelihatan.
Sekutu beliau selama ini melihat Anwar sebagai mangsa yang perlu diberi bantuan tetapi apabila segala idealismenya dihancurkan oleh realpolitik beliau sendiri, lalang sehelai bukanlah tempat terbaik untuk berlindung diri. Beliau sudah lama melanggar perkara-perkara prinsip yang dipegangnya selama ini demi menawan Putrjaya.
Dan ini adalah kesilapan besar dan segala tindak-tanduknya lebih memperlihatkan beliau seorang desperado politik yang mengamalkan membujur lalu melintang patah untuk berkuasa.
Mempertikai Ketuanan Melayu dan Institusi Kesultanan Melayu yang telah meletakkan beliau sebagai seorang yang terpelajar dan pemimpin politik yang cukup memukau suatu ketika dahulu mungkin kesilapan terbesar pemimpin de facto PKR ini.
Apabila seorang desperado yang memimpin sebuah parti politik yang sedang diapit dan juga dihimpit oleh pemimpin lain yang mengamalkan kesongsangan (Malaysian Malaysia dan republikan) apa-apa saja boleh dijanjikan dan diuar-uarkan untuk mendapatkan kuasa dan mengesahkan legitimasi mereka sebagai pembela rakyat.
Saya kurang pasti Anwar Ibrahim telah cukup belajar daripada semua pemimpin Melayu sebelum ini bahawa ada 'peraturan tidak bertulis' dalam politik Malaysia bahawa sesiapa juga yang membelakangkan agenda Melayu dan memperlekeh kedaulatan Melayu (bukan Ketuanan Melayu) sedang menempah jalan menghancurkan diri sendiri.
Kehadiran majoriti senyap yang amat dirasakan tetapi tidak kelihatan jangan diambil mudah oleh sesiapa pun dan perkiraan ke mana wang pembayar cukai dibelanjakan bukanlah satu-satunya isu yang perlu diambil kira.
Apalagi dengan 'crudities beyond comprehension'' yang semakin memperlihatkan ketidak-warasan mempergunakan agama dan al-Quran dengan sewenang-wenangnya termasuk oleh orang bukan Islam menjadikan pemimpin-pemimpin parti pembangkang semakin tidak berprinsip, tidak beretika dan jauh daripada idealisme yang mereka laung dan perjuangkan selama ini.
Dan Barisan Nasional menjadi semakin menarik, elegan dan waras serta realistik dalam berpolitik yang mempamerkan kematangan dan 'refinement' yang tidak sedikit.
Saya yakin senario sosio-ekonomi-politik sekarang dan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin banyak berubah dan PKR serta parti pembangkang semakin terdesak untuk meraih kuasa dan mengekalkan momentum mereka. Tetapi sesiapa pun boleh melihat bahawa politik membujur lalu melintang patah ini akan memakan diri orang yang mengamalkannya. Masa akan membuktikan segala-galanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]