Friday, December 24, 2010

FAHAMAN PLURALISME.....

Pluralisme agama' keliru lagi mengelirukan

Oleh Mohd. Ayop Abd Razid

Sebelum kita memahami apa yang dimaksudkan dengan pluralisme agama adalah baik kita memahami dua perkataan yang sering disalah faham dalam konteks memahami 'pluralism agama'. Dua perkataan yang saya maksudkan itu ialah plurality(pluralitas) dan 'pluralism'.

Perkara ini dijelaskan oleh Profesor Datuk Dr. Datuk Osman Bakar dalam ucaptamanya di Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah yang bertemakan "Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah".

Menurutnya, plurality adalah sifat sesuatu keadaan yang di dalam bahasa Melayu disebut 'kepelbagaian' atau 'kemajmukan'. Misalnya masyarakat kita adalah masyarakat yang bersifat majmuk dengan pelbagai etnik, kaum, agama, bahasa dan anutan agama.

Konsep kemajmukan ini disebut di dalam al-Quran sebagai masyarakat manusia (bani Adam) yang diciptakan dari pelbagai warna kulit dan keturunan dengan tujuan untuk saling kenal mengenali (al-Hujuraat:13). Sebaliknya apabila disebut pluralism maka ia sudah merupakan satu fahaman atau ideologi tersendiri yang memiliki doktrin-doktrin yang tertentu.

Justeru, apabila disebut pluralisme agama di dalam rencana ini maka ia merujuk kepada satu fahaman atau ideologi yang memiliki doktrin-doktrin tertentu. Apa maksudnya pluralisme agama?

Pluralisme agama adalah fahaman yang mengajar semua agama adalah sama kerana menganggap setiap agama bersifat relatif dan nisbi kebenarannya.

Mereka mendukung kesamarataan agama yang di dalam bahasa Inggeris disebut Transcendent Unity of Religions.

Fahaman ini telah dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar (Pastor Khatolik kelahiran Sepanyol), Wilfred Cantwell Smith (pengasas Institute of Islamic Studies di McGill University Canada), Frithof Schuon (bekas Kristian yang keluar masuk pelbagai agama) dan John Hick (Profesor teologi di Claremont School California AS).

Peter Byrne, Profesor di King's College London menyebut bahawa pluralisme agama adalah adunan tiga tesis iaitu: semua agama besar di dunia adalah sama; semua agama itu menawarkan jalan keselamatan, dan semua agama terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali.

John Hick menganggap bahawa agama-agama besar dunia adalah satu, iaitu "Hakikat Ultimate yang Tunggal" (The Ultimate Reality) dan Tuhan mempunyai pelbagai nama.

Doktrin beliau itu mencerminkan bahawa kewujudan agama yang beragam pada hakikatnya adalah memiliki manhaj yang sama dan autentik untuk membawa manusia ke jalan keselamatan (salvation).

Justeru, semua agama yang ada adalah authentic manifestations of the Real, dan tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya satu-satu yang benar dan satu-satunya jalan menuju keselamatan.

Implikasi dari fahaman ini ialah setiap agama tidak boleh mendakwa bahawa agamanya sahaja yang benar secara mutlak kerana menurut mereka setiap agama berkongsi sebahagian kebenaran (partial truth). Bagi mereka kebenaran yang mutlak hanya ada pada 'Hakikat Ultimate Reality'.

Pendukung fahaman ini mendakwa bahawa pluralisme agama adalah jalan penyelesaian terhadap konflik antara agama.'

Justeru, tokoh seperti Paul Knitter, pakar teologi Kristian Pluralis menyebut, pluralisme berkeinginan untuk melahirkan dialog yang jujur dan terbuka sehingga seluruh pemeluk agama dapat bekerjasama memperbaiki jalan kehidupan manusia.

Di Indonesia, wujud kelompok 'Islam Liberal' yang menerima fahaman 'pluralisme agama' ini. Ia telah berkembang subur melalui pelbagai medium seperti wacana, seminar, dialog, penerbitan buku dan jurnal.

Malah, ada usaha untuk mengubah kurikulum pendidikan Islam ke arah Pendidikan Islam Pluralis.

Apakah pendirian yang harus dipegang oleh kita? Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady dalam wacana tersebut mengingat umat Islam supaya berpegang kepada wacana Sunni (Ahlissunnah) yang merupakan aliran arus perdana yang berpegang kepada al-Quran, Hadis dan Ijmak.

Menurutnya pluralisme agama terletak atas sangkaan pandangan yang bercanggah dengan Quran, Sunah dan Ijmak.

Al-Quran datang sebagai petunjuk kepada manusia dan al-Quran sendiri menegaskan bahawa agama yang diterima di sisi Allah adalah al-Islam, iaitu Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Tidak ada paksaan ke atas manusia kufur untuk memeluk Islam.

Apa yang penting dalam konteks hidup bermasyarakat kita perlu menghormati nilai-nilai yang baik yang ada pada sistem kepercayaan masing-masing sebagaimana Muslim dan Yahudi serta Kristian hidup secara harmoni dalam zaman kemuncak Islam di Andalusia.

Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
Amal pluralisme adalah haram

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 16 Dis. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, orang Islam yang berfahaman pluralisme agama iaitu mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad.

Menurutnya, fahaman seperti itu adalah haram dan jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

''Pluralisme adalah haram. Kita mana boleh kata semua agama sama dengan Islam. Kalau orang Islam kata semua agama adalah sama dengan Islam, mereka yang berkata begitu adalah kafir.

''Dalam kitab dan hukum syarak telah menyebut mereka yang mengamalkan fahaman pluralisme dianggap sebagai kafir dan murtad," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-92 yang berlangsung di Hotel Equatorial, di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti seluruh negeri dan dijadualkan berakhir esok.

Harussani berkata, di Malaysia, semua agama dilayan sama adalah wajar malah tindakan itu turut disarankan oleh agama Islam.

''Di Malaysia, kita wajar menghormati agama lain tetapi kita tidak boleh mengakui agama Islam sama dengan agama lain," tegasnya.

Beliau menambah, fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak oleh semua umat Islam di negara ini kerana ia boleh merosak akidah.

Sehubungan itu, Harussani meminta kerajaan untuk menangani tindakan golongan tertentu yang cuba membawa fahaman pluralisme kerana ia akan membawa kepada kehancuran Islam.

Apa usaha kita banteras gerakan pluralisme agama?

WACANA mengenai pluralisme agama yang berlangsung di Masjid Wilayah Kuala Lumpur kelmarin mendedahkan banyak perkara yang begitu menakutkan bagi umat Islam. Daripada sekian banyak serangan ke atas agama suci Islam sepanjang zaman, gerakan pluralisme agama ini barangkali boleh dikatakan yang paling hebat.

Idea di sebalik konsep pluralisme agama yang menyatakan semua agama adalah sama itu sukar untuk dipatahkan menerusi kefahaman Islam yang asas. Ini kerana ia banyak bergerak dalam kerangka logik akal dan tafsiran individu dalam menentukan apa yang berhak untuk diyakini oleh seseorang tanpa perlu dipaksa oleh sesiapa atau apa-apa jua sekali pun.

Konsep sebegini sebenarnya sangat dekat dengan perjuangan kebebasan, hak asasi dan demokrasi. Ini yang sangat membimbangkan kerana semakin umat Islam bergerak seiring dengan proses globalisasi dunia, semakin ramai yang beranggapan mereka bebas dalam menentukan apa sahaja termasuk dalam keyakinan beragama.

Di sinilah gerakan pluralisme agama memainkan peranan dan tidak hairan golongan muda dan generasi baru yang kononnya lebih moden, terbuka dan liberal dengan mudah terperangkap dalam gerakan agama baru ini.

Kemajmukan masyarakat yang pelbagai agama dan budaya di negara ini juga memudahkan gerakan pluralisme agama menyerang akidah umat Islam.

Menggunakan konsep toleransi dalam agama, gerakan itu akan cuba mempertontonkan bahawa semua agama di negara ini adalah sama apabila ia mengajak kita hidup dalam harmoni dan saling hormat-menghormati.

Keyakinan yang dibina sedikit demi sedikit itu boleh menyebabkan umat Islam di negara ini terpengaruh dan secara tidak sedar mengiktiraf kebenaran agama lain selain agama Islam.

Konsep pluralisme agama ini juga jauh lebih bahaya daripada kumpulan ajaran sesat yang sudah sedia menjadi ancaman umat Islam sejak sekian lama. Ia tidak bergerak dalam bentuk sebuah kumpulan, pertubuhan atau persatuan yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Ia juga tidak mempunyai pemimpin atau individu yang diangkat sebagai rasul baru yang secara terang-terangan bertentangan dengan akidah Islam. Sebaliknya ia menyerang umat Islam secara individu dengan menggoyahkan keyakinan, keimanan dan kefahaman terhadap kesucian agama Islam.

Serangan sebegini boleh mendorong umat Islam menjadi murtad dan lebih menyedihkan, ia berlaku tanpa mereka sedari.

Persoalannya sejauh mana pihak berkuasa dan pertubuhan agama menyedari gerakan pluralisme agama ini? Apa pula tindakan-tindakan yang diambil untuk mengekang gerakan ini seterusnya menyedarkan mengenai bahayanya kepada umat Islam di negara ini?

Apakah kita perlu menunggu sehingga wujudnya sebuah pertubuhan dengan nama pluralisme agama seperti yang wujud di Indonesia untuk pihak-pihak berwajib mengambil tindakan?

Apa yang boleh disimpulkan, umat Islam di negara ini mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang sangat terhad berhubung gerakan agama baru ini. Tidak banyak perbincangan umum dan wacana terbuka yang menyentuh secara langsung mengenainya diadakan dan didedahkan kepada masyarakat.

Ini menyebabkan umat Islam tidak begitu menyedari mengenainya, jauh sekali untuk berhati-hati dengan modus operandi gerakan tersebut. Sesuatu yang malang di kalangan umat Islam dalam isu pluralisme agama ini juga ialah apabila ramai daripada kita yang semakin menjauhi al-Quran.

Sedangkan hujah-hujah yang diketengahkan menerusi konsep pluralisme agama itu boleh dipatahkan dengan mudah sekiranya kita benar-benar memahami dan meyakini apa yang terkandung di dalam al-Quran.

Barangkali selain perlu berhati-hati dengan gerakan kumpulan yang menyebarkan kefahaman pluralisme agama, kita juga perlu berusaha untuk mempertingkatkan keimanan dan kefahaman terhadap Islam.

Ini kerana hanya keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Islam dan Allah SWT sahaja dapat menangkis serangan terhadap kesucian agama yang hakiki ini.

AHMAD ABDULLAH Kota Bharu, Kelantan

Anwar sering bawa mesej fahaman pluralisme agama

Pengasas Muafakat, Ismail Mina Ahmad (tengah) mempengerusikan perbincangan bertajuk 'Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah' bersama pembentang kertas kerja, Dr. Syamsuddin Arif (kiri) dan Dr. Muhammad 'Uthman El-Muhammady pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah Kedua Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad (gambar) berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.

Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.

''IKD amat sinonim dengan Anwar dan institut ini amat rapat dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Hasil hubungan mereka juga tertubuhnya Pusat Graduan Timur (Eastern Graduate Centre) di bawah IKD.

''Pusat ini diterajui oleh seorang graduan lulusan Timur Tengah dan untuk pengetahuan semua melalui pusat tersebut telah diterbitkan beberapa buku yang didapati menyokong fahaman pluralisme," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal' dalam wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.

''Inilah yang berlaku hasil daripada hubungan antara IKD dan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Mereka juga dilihat begitu menyanjung Ulil Absar Abdullah.

''Bagi saya penerbitan buku-buku ini amat berbahaya kepada umat Islam di negara ini kerana isu berkaitan dengan fahaman pluralisme agama amat berkaitan dengan soal akidah,"katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya oleh seorang peserta mengenai seriusnya penglibatan Anwar di dalam fahaman itu beliau berkata, berdasarkan fakta-fakta tersebut kecenderungan Anwar terhadap fahaman berkenaan nampak jelas.

''Anwar juga jika kita lihat ketika memberi komen dalam isu-isu tertentu seperti penggunaan nama Allah di kalangan orang bukan Islam begitu konsisten membenarkan mereka berbuat demikian," katanya.

Dalam isu yang sama beliau turut meminta barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri supaya mengelakkan diri daripada meraikan perayaan agama lain seperti Thaipusam.

''Dalam perkara ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak terkecuali menerima kritikan apabila menyertai satu majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan," katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman pluralisme agama serta amalan yang berkaitan dengannya.

''Saya juga ingin mengesyorkan individu dan kumpulan yang menyebarkan fahaman ini diberi nasihat serta teguran dan jika mereka ingkar tindakan undang-undang perlu dikenakan," tambahnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]