Autonomi Sarawak, Azmin Cuba Perbodoh Rakyat Atau Tidak Faham Perundangan? Oleh : Ropikah Ahmad KUALA LUMPUR, 14 Dis. – Gimik politik pakatan pembangkang mula terserlah dengan janji-janji palsu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kononnya akan memberikan ‘autonomi penuh’ kepada rakyat Sarawak sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang. Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menganggap bahawa apa yang dilakukan oleh Azmin adalah ‘pemanis mulut’ bagi meraih undi dan perhatian dari masyarakat tempatan menjelangnya pilihan raya. “Azmin adalah pemimpin pembangkang yang tidak mempunyai kerajaan jadi dia boleh menjanjikan apa saja kepada rakyat kerana mereka tidak ada kuasa dan tidak tahu bagaimana untuk mentadbir apabila diberi kuasa,” katanya kepada UMNO-Online.com. Azmin menjanjikan kuasa autonomi tersebut ketika bercakap dalam satu majlis makan malam di Bintulu dengan memberikan alasan kononnya menghormati perjanjian 1963 di mana Sabah dan Sarawak menyertai Semenanjung untuk membentuk Malaysia. “Pakatan pembangkang belum ada kuasa, sedang memujuk rayu maka bolehlah menjanjikan bulan bintang atau roket sekalipun. Bulan memang mereka sudah ada pada Pas, roket mereka boleh ambil dari Dap dan bintang ini seperti mimpi-mimpi mereka yang tak mungkin tercapai,” katanya. Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menekankan bahawa ‘autonomi penuh’ yang diperkatakan oleh Azmin ini perlukan penjelasan penuh dan bukannya sekadar bercakap atas pentas politik semata-mata. “Apakah dia ingat semudah itu untuk memberikan kuasa autonomi kepada sesebuah negeri kerana biarpun negeri itu dikuasai oleh pembangkang tetapi mereka masih terikat dengan Kerajaan Persekutuan. “Azmin cuba hendak memperbodohkan rakyat atau mungkin juga sebenarnya dia yang tidak faham dengan perundangan dan Perlembagaan Persekutuan?” soalnya lagi. Tegasnya, kuasa autonomi hanya boleh diberikan sekiranya melalui proses undang-undang sepenuhnya iaitu melibatkan kuasa dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara selain mesti mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja Melayu. “Sebagai wakil rakyat, Azmin perlu faham dengan proses-proses perundangan atau mendalami konteks Perlembagaan. Semua wakil rakyat perlu bijak dan tidak boleh bercakap ikut sedap saja asalkan pandai berucap maka semuanya nampak cantik. “Mungkin juga wakil rakyat sedemikian perlu ambil kelas atau menduduki peperiksaan berkaitan kenegaraan dan prinsip Perlembagaan Malaysia. Jangan mudah memperdaya rakyat dengan menggunakan retorik politik semata-mata,” tegasnya lagi. Tambahnya, lihat saja bagaimana janji-janji politik yang diucapkan oleh pakatan pembangkang ketika mahu berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu termasuklah untuk membela golongan miskin dan lain-lain lagi. “Lihatlah di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang mana penduduknya bukan saja dibiarkan tetapi tempat tinggal mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun pun dirampas sedangkan sebelum pilihan raya mereka janjikan pembelaan. Inilah sebenarnya gimik politik pembangkang dan sekarang ia cuba diaplikasikan di Sarawak pula.” Jelasnya, pakatan pembangkang ini ibarat ‘silat pulut sebelum majlis’ yang menggunakan gimik retorik dan janji-janji palsu sebelum menghadapi pilihan raya untuk meraih undi dari rakyat. “Tak perlulah nak bersuluh kerana sudah terang dan jelas bahawa pembangkang hanya tahu menggunakan impian-impian palsu demi menarik perhatian masyarakat dan mendapatkan sokongan dari mereka. Rakyat tidak perlukan gimik politik sedemikian.” – MediaUMNO. |
Thursday, December 16, 2010
ISU AUTONOMI SARAWAK OLEH PKR.....
Label:
AUTONOMI SARAWAK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment