Saturday, December 18, 2010

Kekecohan di Parlimen langkah terdesak Anwar


Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Suzianah Jiffar, S Anand Kumar, Sukhairi Abd Thani, Mohd Zaky Zainuddin dan Hazwan Faisal Mohamad

2010/12/18
Ketua Pembangkang dianggap liabiliti kepada negara

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilabel liabiliti kepada negara kerana kerap menimbulkan pelbagai konflik termasuk insiden kecoh di Parlimen kelmarin.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata rakyat seharusnya menolak perbuatan Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menggunakan pendekatan demonstrasi, eksploitasi dan berbohong sehingga menyebabkan situasi tegang kepada negara.
“Anwar tidak lagi dilihat sebagai liabiliti kepada orang Melayu atau Pakatan Rakyat sebaliknya liabiliti kepada negara. Cara dia menggunakan pihak asing untuk mencapai cita-citanya, burukkan Malaysia di luar dan terbaru tindakannya di Parlimen sangat berbahaya kepada negara,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.
Seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah, turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan wakil rakyat pembangkang di Parlimen yang disifatkannya perbuatan salah dan tidak mencerminkan kewibawaan sebagai wakil rakyat sehingga sanggup mencemarkan kemuliaan Dewan Rakyat.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antara Universiti Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, semalam, beliau berkata, mana-mana Ahli Parlimen pun yang tidak bersetuju dengan usul dikemukakan, boleh membawa usul persendirian.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, wakil rakyat pembangkang seharusnya bertindak menghormati institusi Parlimen dan bukannya menjadikan Dewan Rakyat tidak ubah seperti ‘sarkas’ politik.

“Apa yang berlaku di Parlimen kelmarin membuktikan pakatan pembangkang semakin terdesak selepas ditimpa pelbagai ‘bencana’ sejak kebelakangan ini terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pula berkata kekecohan dicetuskan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat dan luar bangunan Parlimen jelas menunjukkan sikap tidak profesional pakatan pembangkang dan menunjukkan emosi mereka yang melampau dan keterlaluan.

"Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen digantung daripada sidang Dewan Rakyat, tetapi kekecohan atau penentangan tidak pernah berlaku sehingga memaksa polis berada di sepanjang jalan menuju pintu masuk bangunan Parlimen. Keadaan itu jelas menunjukkan sikap tidak profesional mereka," katanya.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata tindakan pakatan pembangkang menganjurkan perarakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, juga menunjukkan pakatan begitu teliti dalam merancang tindakan mereka untuk menimbulkan kekecohan.

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Suzianah Jiffar, S Anand Kumar, Sukhairi Abd Thani, Mohd Zaky Zainuddin dan Hazwan Faisal Mohamad

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]