Saturday, December 18, 2010

KONVENSYEN PR UNTUK RAIH SIMPATI PENGUNDI

Percaturan pembangkang hadapi pilihan raya


2010/12/18
Konvensyen PKR, DAP, PAS dikatakan medan cari ‘modal’ untuk pengaruhi pengundi

APAKAH agenda dan pengisian konvensyen pakatan pembangkang di Dewan Milenium dekat Kepala Batas, Pulau Pinang, esok? Ada yang menyifatkan pertemuan kira-kira 1,800 perwakilan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sekadar rutin tahunan. Ada pula berkata ia tidak lebih daripada usaha kononnya bagi mengimbangi impak Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Dewan San Choon, Bangunan MCA pada 5 Disember lalu.

Ada pendapat lebih menarik menyatakan konvensyen kedua pakatan pembangkang ini sekadar mencipta ruang pelarian dan pemesongan umum terhadap pelbagai isu serta kepincangan yang melanda pembangkang terutama PKR serta kepemimpinan tertinggi parti itu.
Senator Ezam Mohd Nor, yakin konvensyen itu tidak melahirkan sesuatu yang baru selain daripada usaha membuat ‘damage control.’
“Akhir-akhir ini memang banyak persoalan timbul yang menampilkan kepincangan mereka, sama ada dari segi parti, sebagai pakatan dan juga peribadi pemimpinnya yang banyak kepincangan.

“Saya rasa, konvensyen ini ialah satu usaha (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk mengalihkan fokus daripada PKR yang sudah rosak ini, yang memang tidak ada kredibiliti untuk memimpin pakatan. Jadi kalau (diletakkan di atas) pakatan nampaklah ramai sikit... ada DAP ada PAS. Jadi, orang akan melupakan masalah PKR dan fokus (kepada) PKR. Jadi itu strategi utama Anwar,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, baru-baru ini.

Ditanya mengenai pakatan pembangkang yang dijangka mengeluarkan manifesto esok, Ezam berkata: “Mereka akan buat macam-macam janji. Tapi pokoknya, mereka tidak ada kredibiliti. PKR tidak ada kredibiliti, jadi dia nak alihkan kepada orang lain. Itu strategi utama.”

Umum juga menanti sama ada isu yang berkaitan dengan Anwar akan dibangkitkan mana-mana daripada 12 perwakilan yang akan membahaskan ucapan tiga presiden ketika majlis pembukaan pagi esok. Walaupun perwakilan terbabit diminta mematuhi peraturan dan batasan tertentu ketika berdiri membahaskan ucapan berkenaan, mungkin ada antara mereka yang ‘terbabas’ dan membangkitkan elemen dilarang atau di luar konsensus ketiga-tiga parti.
Apakah akan berbangkit isu WikiLeaks serta penggantungan Anwar dan tiga lagi wakil rakyat pembangkang iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berkuat kuasa Khamis lalu.

Apakah alternatif yang akan ditawarkan pakatan pembangkang bagi menyaingi Piagam BN yang dizahirkan tempoh hari?

Ditanya mengenai perkara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata dokumen Deklarasi Muafakat Rakyat kali ini memberikan fokus dengan mengambil kira latar belakang politik yang semakin hampir kepada pilihan raya. Ia akan mengandungi empat komponen.

Ini termasuk perakuan atau pernyataan mengenai kedudukan negara dari pandangan pakatan pembangkang di samping tawaran atau penyelesaian pakatan pembangkang mengenai perkara yang berlaku dalam negara.

“Ia adalah komponen yang sangat penting sebab sekiranya konvensyen boleh meluluskan deklarasi ini melalui perbahasan oleh perwakilan, ia kemudian akan diangkat sehingga menjadi satu manifesto,” katanya.

Berikutan fokus konvensyen ialah PRU ke-13, kepemimpinan ketiga-tiga parti itu difahamkan bersepakat dalam beberapa isu termasuk mengenai kedudukan Raja-Raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Bahasa Melayu.

Ditanya mengenai PAS yang dikatakan mahu membangkitkan soal negara Islam, Saifuddin berkata: “Yang disebut oleh PAS dan dibincangkan dalam Majlis Presiden minggu lalu ialah perkara yang disepakati. Misalnya kedudukan Raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta bahasa. Itukan sangat bersifat inklusif dalam konteks topik Islam yang menjadi sebahagian daripada teras utama PAS.

“Yang tidak kita bicarakan ialah topik khusus yang dikaitkan sinonim dengan PAS atau DAP atau PKR. Prinsip yang kita sepakati ialah apa juga tema perbahasan, tajuk perbahasan dan kandungan perbahasan yang akan dibincang dalam konvensyen mestilah berteraskan kepada topik yang telah dicapai bersama,” katanya.

Ditanya sama ada bolehkah wakil PAS membangkitkan soal penubuhan negara Islam dalam perbahasan, beliau berkata: “Perkara itu yang kita anggap sebagai di bawah kawalan PAS. Dia tahu kerangka kerja kita.”

Beliau berkata, konvensyen kali ini mungkin tidak ada perbincangan seperti dokumen Deklarasi Muafakat Rakyat yang pertama, tahun lalu yang meliputi semua perkara daripada isu ekonomi, politik, sosial sehingga isu alam sekitar dan isu gender.

“Oleh kerana latar belakang adalah pilihan raya mungkin esok atau lusa, jadi perkara lain tidak masukkan dalam konvensyen kali ini kerana tumpuan kali ini adalah penyelesaian yang boleh kita laksanakan dalam tempoh masa mungkin dalam dua atau 24 bulan,” katanya.

Ahli Parlimen (PAS-Tumpat), Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata: “PR ini sudah tentu mempunyai ciri-ciri tersendiri mereka. Kalau tidak, tak jadi tiga parti politik, tapi akan jadi satu parti politik. Akan ada persefahaman supaya parti, perjuangan dan ideologi masing-masing dibenarkan untuk diperjuangkan, tetapi tidak akan dijadikan setakat ini sebagai konsep atau ideologi bersama lagi. Jadi ada unsur persefahaman, toleransi dan menghormati perjuangan parti masing-masing.”

Ditanya apa lagi yang belum diselesaikan antara ketiga-tiga parti itu, beliau berkata: “Setakat ini tidak ada lagi menjadi masalah yang boleh dikatakan akan merosakkan hubungan antara tiga parti. PAS juga memahami perkembangan dalaman DAP dan PKR seperti parti yang dua itu memahami perkembangan dalaman PAS.”

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]