Zaid Ibrahim Presiden baru AKIM…jelas kenapa tak tubuh parti baru Muktamar Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) 2010 meluluskan sebulat suara untuk menukar nama parti itu kepada 'Parti Kesejahteraan Insan Tanahair' (KITA) dan memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai Presiden parti itu pagi Rabu di Tropicana Golf Resort, Petaling Jaya. Lebih 200 orang ahli yang hadir pada muktamar itu juga memutuskan beberapa perubahan seperti struktur jawatan dan lambang parti yang akan dihantar untuk mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan. Sementara itu Zaid semasa menyampaikan ucapan sulongnya sebagai Presiden AKIM memberitahu parti itu akan mengadakan satu persidangan khas pada 19 Januari 2011 bagi pamerkan sepenuhnya lambang baru parti KITA, matlamat, ciri-ciri dan mungkin ada orang-orang tertentu yang akan menyertai parti itu. Menurutnya, segala pengulungan, kupasan, luahan, perlembagaan baru dan simbol baru akan dijelaskan secara terperinci setelah mendapat kelulusan pendaftar pertubuhan disamping perlantikan beberapa jawatan penting. Parti KITA akan mempunyai seorang Pengerusi Persidangan Perwakilan Pusat yang akan dilantik dari kalangan orang yang ternama, dihormati, boleh memberi nasihat untuk memajukan parti dan tidak begitu aktif berpolitik. Seorang Ketua Parti yang aktif berpolitik dan barisan Jawatankuasa Eksekutif Parti (JEP) disamping akan dilantik seorang Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari. Zaid yang mengadakan sidang media selepas muktamar itu memberitahu tindakannya tidak menubuhkan parti baru tetapi memilih sebuah parti yang sediada kerana ingin mengelakkan proses yang agak lama. "Saya dan Presiden AKIM sudah ada persepakatan, kebetulan dan persetujuan maka kita mendapatkan mandat dari ahli-ahli pada hari ini, ianya lebih mudah dan cepat," katanya. Menjawab soalan kenapa memilih untuk menjadikan parti itu 'multiracial', Zaid berkata, "itulah cara terdekat parti politik yang ingin maju di negara ini mestilah parti berbilang kaum dan itu secocok dengan pandangan kami." Parti AKIM ditubuhkan pada 1994 dan merupakan serpihan parti PAS dan kini mempunyai hampir 300 orang ahli . Zaid juga meminta diberikan masa untuk membuat perancangan lebih baik pada parti itu dan tidak menafikan memang ada perancangan besar yang tidak mahu didedahkan. Beliau berkata, "prinsip KITA adalah menghormati hak-hak semua kaum, semua agama, akan pertahankan demokrasi, keluhuran undang-undang, keutamaan pada semangat membawa kejayaan pada negara, perpaduan adalah penting dalam perjuangan parti dan diharapkan akan dapat kepercayaan pada semua kaum." Ditanya samada akan sertai pakatan pembangkang, Zaid berkata,"saya tidak akan menyertai sesiapa, kita bebas, ada ideologi sendiri, pandangan dan dasar tetapi kalau kebetulan perkara yang berlaku memerlukan sokongan dan sekiranya wajar serta secocok dengan perjuangan parti, kita akan beri sokongan, kita tidak partism dari segi itu." Soal keahlian pula, Zaid menjelaskan bahawa parti itu bersedia menerima sesiapa sahaja bekas ahli parti lain yang mempercayai dan yakin tentang perjuangan parti KITA. Parti itu akan beribupejabat di satu premis dekat Ara Damansara. Sebelum ituketika berucap Zaid menegaskan bahawa politik negara ini memerlukan perubahan, bukan sahaja perubahan carta tetapi dari kegiatan dan praktiknya serta nilai politik itu juga perlu berubah. Katanya, "hari ini kita melihat mereka yang ada kuasa menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya, kes-kes penyalahgunaan kuasa, rasuah berleluasa, rakyat bosan dengan perebutan kuasa." "Kita orang Melayu, orang Islam ada bahasa, budi, sejarah dan nilai...inilah parti politik yang akan kita bawa bersama-sama" Sambil menyatakan penghargaan atas pengorbanan bekas Presiden AKIM Zakaria Salleh, seluruh Jawatankuasa dan ahli-ahli, Zaid berkata, "saya menghargai pengorbanan semua dan tidak perlu bimbang kerana kita mahu ambil sokongan yang lebih luas pada parti ini." "Kita mahu parti ini berbilang kaum, parti yang boleh menghormati hak semua kaum, mahu membantu kesejahteraan rakyat, inilah perjuangan kita. Parti ini mahu menghormati demokrasi dengan sebenar-benarnya, kita mahu memberi pengertian baru tentang apa itu keluhuran undang-undang, kebebasan, ekonomi yang adil kepada semua rakyat", tambahnya. Menurutnya, "kita parti kecil tetapi wawasan kita besar, jumlah ahli kita kecil tetapi matlamat perjuangan kita ialah untuk memberi sumbangan besar pada rakyat negara ini, kita jangan bimbang dengan kritikan dan tohmahan" "Saya sendiri sudah melalui pelbagai cabaran dalam politik tetapi bila kita ada kepercayaan mahu benar-benar membela rakyat dan membela orang yang perlu kita bela, insyaallah kita akan mendapat sokongan yang sebenarnya" Kata Zaid, "apa yang penting ialah orang yang bersama-sama kita percaya pada perjuangan kita dan mahu melihat sistem pentadbiran yang lebih sesuai serta secocok dengan kehendak rakyat." Zaid berkata, "kita yakin Malaysia ada potensi besar, kita bersetuju bahawa negara ini mesti ditahap yang lebih tinggi dan maju tetapi bukan untuk golongan dan pemimpin tertentu tetapi kemajuan itu mestilah meliputi rakyat jelata, petani, nelayan, orang kampung dan orang yang kurang berkemampuan." Beliau menambah, "kita akan berusaha kearah itu, kita akan cuba mencari pemimpin yang akan bersama kita, kita tidak perlu pada orang-orang yang masyhur, orang jahat pun masyhur juga, orang yang ada skandal pun masyhur...kita akan terima orang yang ikhlas untuk memimpin negara ini." Zaid dengan tegas memberi jaminan bahawa parti itu akan menjadi parti yang penting di negara ini. Katanya, "ada orang bertanya apakah parti ini akan pro pembangkang atau menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), saya jawab parti ini akan menyokong kebenaran dan perjuangan untuk rakyat. Apa yang betul mesti betul. Kita menentang bukan semata-mata untuk jadi jaguh, kita sokong kerana prinsip kita." Bercakap tentang pilihan raya, Zaid berkata, "bila sampai masa pilihan raya, dengan kekuatan apa yang kita ada, kita akan bertanding di mana-mana di kawasan pilihan raya yang kita rasa kita ada peluang untuk menang." "Kita bukan parti pengacau untuk pecahkan undi, bukan kerja nak mengacau, kita akan jadi parti politik yang penting...itu janji saya," tegas beliau. Katanya, "rakyat perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku di negara ini, kita akan bekerja bersungguh-sungguh, kita juga boleh jadi parti terkuat di negara ini." "Saya ingin memberi jaminan, apapun hasilnya, saya tidak mengharapkan kejayaan dalam masa yang singkat tetapi kejayaan bukan untuk saya dan bukan untuk kita tetapi untuk anak cucu kita. Kita bukan masuk parti politik untuk terus jadi Perdana Menteri, kita juga bukan parti politik yang hendak kejarkan kuasa apa jua sekalipun seperti yang dikatakan oleh sesetengah pemimpin parti politik" "Kita parti yang hormat kuasa rakyat, kita hormat pada demokrasi, kita hormat pada keputusan rakyat, kita akur pada rakyat, kita berikanlah objektif kita dan peluang pada rakyat untuk membuat perhitungan, ketetapan dan keputusan" "Hasrat parti KITA kepada satu tahap baru yang dapat isihati orangramai, mendapat keyakinan mereka dan menyuarakan hasrat mereka supaya negara lebih baik, pencapaian lebih baik, ekonomi lebih selamat, rasuah negara akan berkurangan, penyalahgunaan kuasa akan berkurangan dan peluang pada rakyat akan lebih, inilah perjuangan kita," ujarnya. -15/12/2010 Biar betul Zaid… Pada ketika semua orang menanti nak tahu apakah parti baru yang bakal diterajui oleh Datuk Zaid Ibrahim tiba-tiba muncul berita mengatakan beliau sudah menyertai parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM). Agak mengejutkan juga mengenangkan AKIM dilihat oleh kebanyakan pemerhati politik tidak lebih dari parti ‘pak lawak’ yang antaranya pernah menyertai pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak lama dulu. Zaid sendiri belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya namun Presiden Akim, Zakaria Salleh Isnin dilaporkan mengesahkan bekas calon Timbalan Presiden PKR sudah rasmi menjadi ahli AKIM sejak pertengahan bulan November lalu. “Beliau sah sebagai ahli AKIM, beliau telah serahkan borang keahlian pada bulan lalu.Jadi status beliau adalah ahli kita yang sah dan rasmi,” kata Zakaria. Jika benar yang pasti orang akan bertanya apakah Zaid akan diberi laluan menerajui parti itu? Zakaria berkata beliau menyerahkan kepada kepada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menentukannya. Semasa mengumumkan hendak menubuhkan parti baru dalam sidang akhbar baru-baru ini ,Zaid menafikan desas desus beliau hendak menyertai AKIM. Selain menyertai pilihanraya kecil Permatang Pauh,AKIM juga gempak hendak menyertai beberapa pilihanraya kecil lain termasuk Kuala Terengganu tetapi tidak muncul. Semasa kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh,ramai yang tertawa melihat AKIM hanya mendirikan sebuah pondok di tepi jalan besar menuju ke Bukit Mertajam dan jarang kelihatan sesiapa ada di situ.- 13/12/2010 |
Friday, December 17, 2010
TAHNIAH ZAID DARI TIMBALAN NAIK KEPADA PRESIDEN !
Label:
KITA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment