Seruan menerusi Twitter dan sebagainya agar penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di jalan depan bangunan Parlimen untuk bantah pengantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat sambutan.

Cuma 20 orang muncul diketuai Shamsul Iskandar Md Akin,Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR

Pada jam 1.30 tengahari mereka cuba berarak dari situ ke pejabat SUHAKAM di Jalan Raja Laut namun dihalang polis.
Dua orang ditahan kerana engkar arahan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis telah memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai kerana mereka berarak tanpa permit tetapi mereka enggan menyebabkan dua daripada mereka ditahan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata perhimpunan bermula tengah hari apabila kumpulan itu cuba mengadakan perarakan untuk menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai bantahan terhadap penggantungan Anwar dan tiga anggota Parlimen pembangkang yang lain daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.



Polis kemudian memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai dan hanya membenarkan dua atau tiga orang sahaja untuk ke Suhakam tanpa mengganggu lalu lintas.

Memorandum itu kemudian dihantar oleh Anggota Parlimen Balik Pulau daripada PKR, Yusmadi Yusof, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin serta Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ke pejabat Suhakam pada 2.30 petang.-16/12/2010