“Pakatan Rakyat (PR) ini penipu, dia lupa apa yang dia buat kat kita, gantung Ketua Pembangkang di Selangor, di Pulau Pinang, di Kelantan, kita terima, bila kita buat tak boleh, dia buat tak apa?” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.
“Mereka ini bukan Yang Berhormat tapi Yang Tak Hormat,”katanya.
Beliau mengulas kejadian pembangkang buat kecoh macam nak ‘kiamat’ di Dewan Rakyat pada Khamis gara-gara usul supaya ketua mereka bersama tiga yang lain digantung enam bulan dari menghadiri sesi Parlimen.
Bagi yang kenal Nazri, jarang boleh tengok beliau marah sampai kata orang “penipu”, ‘gila’ “ada tahi lembu di kepala mereka,” “bodoh punya lawyer” tapi kejadian sejam setengah yang tukar dewan yang mulia seperti pertunjukan sarkas buat menteri yang jaga hal ehwal Parlimen itu ‘angin satu badan’.
Hukum Anwar berdasarkan ‘Standing Order’
Dalam sidang media petang Khamis, kata Nazri, sebagai orang yang bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen, beliau sudah pastikan semua prosuder untuk gantung Anwar dan tiga yang lain ikut ‘Standing Order’.
“Tidak ada kecacatan dari segi prosuder, saya sudah pastikan semuanya berjalan dengan baik,”kata beliau.

Katanya, kekecohan yang timbul hanyalah ‘dibuat-buat’ supaya Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hilang kawalan sehingga terpaksa tangguh sidang dan sekaligus tunda keputusan menggantung Anwar.
"Apa yang mereka buat adalah untuk menggagalkan keputusan menggantung Anwar. Mereka mahu Speaker tunda ke tahun depan, itu yang merreka nak,”kata Nazri.
Anwar digantung daripada menghadiri sidang dewan selama enam bulan kerana mendakwa 1 Israel sama dengan 1 Malaysia.
Tiga lagi ahli parlimen pembangkang – Azmin Ali (PKR – Gombak); R Sivarasa (PKR – Subang) dan Karpal Singh (DAP – Bukit Gelugor) turut digantung selama enam atas beberapa kesalahan.
Nazri juga menjelaskan, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengikut semua peraturan mesyuarat dalam mengendalikan sidang Dewan Rakyat.
"Apa yang mereka lakukan amat memalukan. Pembangkang dakwa Speaker berat sebelah tetapi dia ikut semua peraturan mesyuarat," katanya di lobi Parlimen petang Khamis.
Anwar ada tiga kesempatan bela diri
Mengulas mengenai dakwaan pembangkang Anwar tidak dipanggil membela diri, kata Nazri, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak mempunyai hak menghukum sebaliknya hanya mengumpulkan maklumat.
Maklumat itu akan dibawa kepada Majlis Parlimen untuk pendakwaan sebelum diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan.
"Mereka, khususnya diberi kesempatan malah pada bulan April diberi masa seminggu untuk memberi penjelasan atau tarik balik tuduhan tetapi dia tidak buat.
"Dalam sesi kedua, masih ada kesempatan tetapi dia tidak buat. Sesi ketiga juga dia tidak buat. Segala apa yang kita cakap dia tidak mahu dengar kononnya kita takut kerana ada kuasa minoriti tetapi mereka silaplah," katanya.
“Tahi lembu di kepala mereka”
Mengulas mengenai gertakan pembangkang mahu menyeret Speaker ke mahkamah, kata Nazri, perkara itu boleh dicuba tapi tidak akan berhasil kerana mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.
“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,”
Menurut Nazri telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.
“Ini adalah kedaulatan Parlimen dan supremasi Parlimen. Ada tahi lembu di kepala mereka.
“Saya beri jaminan jika, ini dibawa ke mahkamah, ia akan ditolak. Undang-undang apa yang Karpal belajar? Beliau adalah peguam kelas ketiga,” kata Nazri yang memberitahu bahawa beliau juga seorang peguam.
Karpal sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Pandikar kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.
Ketika mengulas mengenai placard yang dibawa masuk ke dalam dewan, Nazri berkata ia tidak boleh dibawa tanpa kelulusan Speaker.
"Itu ada dalam Standing Order”. Mereka bukan YB tetapi penipu. Bawa masuk cara penipu," katanya.
Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat menayangkan placard ketika keadaan tegang berlaku dalam dewan hari ini.
Agendadaily difahamkan ahli parlimen kanan PKR yang dilihat ‘seludup’ bawa masuk placard itu ke dalam dewan.
Elaun berjalan macam biasa
Mengulas mengenai elaun kepada mereka yang digantung kata Nazri, elaun akan dibayar seperti biasa kerana menghormati keputusan mahkamah dalam kes yang dibawa oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo di mana hakim putuskan menghentikan elaun ahli parlimen yang digantung tidak berdasarkan Perlembagaan.
“Kita hormati keputusan itu sebab tu kita tak potong elaun, bukan macam mereka, mereka tak hormat keputusan mahkamah, sebab itu ketua pembangkang dan beberapa adun BN di Selangor yang digantung tanpa elaun,”katanya.
Nasihat “bodoh punya lawyer.”
Mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa proses pengantungan ahli parlimen mereka adalah untuk membolehkan BN dapat majoriti dua per tiga.
Nazri sekali lagi ‘angin satu badan’ sampai beliau soal, “Siapa yang bagi nasihat pada mereka (tentang itu), kalau kita gantung semua pembangkang pun tak boleh pinda Perlembagaan selagi tidak ada 148 undi penyokong.
Terang beliau, jumlah dua per tiga yang digembar-gemburkan pembangkang itu mestilah dibahagi dari 222 kerusi parlimen yang ada.
“Perkiraannya mesti dua per tiga dari 222 maknanya 148, BN ada 137 sahaja, gantung siapapun kalau hendak pindah Perlembagaan mesti ada sokongan dari 148 orang ahli parlimen,”katanya yang tambah nasihat itu barangkali diberikan “bodoh punya lawyer”
Beliau menambah sebab itu dia gelar pembangkang ini ‘penipu’ sebab perkara yang dah memang terang-terang tulis pun mereka nak tipu lagi.
“Bukan yang berhormat, tapi yang tak hormat,”katanya sambil geleng kepada mengenang gelagat pembangkang.- 16/12/2010



RENTETAN KECOH USUL GANTUNG ANWAR DAN TIGA AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG LAIN DI DEWAN RAKYAT


4.00 PTG - Dalam sidang akhbar di lobi parlimen Datuk Seri Nazri Aziz kata di Dewan Undangan Negeri Perak (dulu),Selangor dan Pulau Pinang Pakatan Rakyat gantung beberapa ADUN BN.Bila kena sendiri mereka tidak terima dan cuba nak gagalkan sidang Dewan Rakyat agar ditangguh.

1.04 TGH - Sidang Dewan Rakyat penggal ini berakhir.Penggal depan dijangka bermula dalam bulan Mac.
12.45 TGH-Khairy Jamaluddin dalam sidang media di lobi Parlimen jelaskan Pakatan Pembangkang yang tidak mahu bahas usul gantung Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab itu mereka timbulkan kekecohan. Katanya MP BN sudah bersedia berbahas isu gantung Anwar dan tiga yang lain.
12.40 TGH-Dewan lulus usul gantung Azmin Ali, Karpal Singh dan Sivarasa Rasiah enam bulan selepas ia dibahas oleh Ahli Parlimen BN dan Bebas sahaja kerana Ahli Parlimen pembangkang keluar.
11.45-PAGI- Dewan sekarang sedang bahas usul gantung Azmin Ali, Karpal Singh dan Sivarasa Rasiah. Antara Ahli Parlimen yang ambil peluang bahas adalah Datuk Abdul Rahman Dahalan dari Kota Belud yang kata hari ini adalah sejarah hitam pada Dewan yang mulia apabila pembangkang buat kecoh dan cuba tafsir Peraturan Mesyuarat berdasarkan citarasa mereka.
11.35 PAGI- Anwar dan rakan-rakannya terus keluar Dewan selepas digantung, buat sidang media sambil duduk ramai-ramai atas lantai sambil 'ratip' "UMNO-APCO" ramai-ramai.
11.30 PAGI- Dalam suasana Dewan yang terus kecoh. Speaker putus buat undian usul gantung Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan diluluskan gantung beliau selama enam bulan.
11.05 PAGI- Belum pernah berlaku dalam sejarah Ahli parlimen tayang sepanduk dalam Dewan yg mulia. Dulu paling teruk bekas MB Perak yg juga Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin pakai 'headband'. Hari ini pembangkang tayang macam-macam sepanduk dalam Dewan. Pembangkang terus hentam Speaker Dewan.
10.45 PAGI - Suasana dalam Dewan Rakyat terus kecoh sejak sidang bermula jam 10 pagi. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para ahli parlimen pembangkang berentap dengan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.Malah, satu ketika beliau telah menutup alat pembesar suara dewan untuk cool down suasana. Ahli parlimen pembangkang pertikai mengapa Anwar tidak diberi hak beri penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang telah usulkan beliau digantung 6 bulan kerana isu Apco.Speaker beri penjelasan tetapi mereka berkeras tidak mahu terima.-16/12/2010




BERITA SEBELUM INI
:Mengambil kira gelagat para Ahli Parlimen pembangkang yang gemar bikin kecoh… sidang Dewan Rakyat pada hari akhir untuk penggal ini hari ini dijangka ‘meletup’.

Masalahnya di sini ialah orang yang salah tetapi tidak mahu terima hukuman dan nak terus buat bising seolah segala tindakan keatas mereka tidak adil.

Cuma tunggu dan lihat apa pula aksi mereka kali ini bila usul yang panas untuk mengantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menghadiri sidang selama enam bulan dibentangkan.

Anwar berdepan dengan tindakan itu kerana didapati bersalah oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO dimana beliau mendakwa I Malaysia tiru I Israel.


Suasana bertambah panas kerana turut sama akan dibentangkan ialah usul menggantung tiga Ahli Parlimen pembangkang lain yakni Karpal Singh DAP Bukit Gelugor, R Sivarasa PKR Subang dan Azmin Ali PKR Gombak.

Mereka didakwa melanggar peraturan Dewan Rakyat kerana membocorkan maklumat mengenai butiran mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO itu sebelum ia dibentangkan dalam Dewan Rakyat.

Karpal dan Sivarasa ialah ahli jawatankuasa berkenaan.

Usul mengenai mereka antara lain menyebut Karpal dan Sivarasa pada 3 Disember yang juga ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah membuat kenyataan di luar dewan berkenaan prosiding mesyuarat jawatankuasa berkenaan.
Azmin pula menerusi surat bertarikh 1 Disember telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan kepada jawatankuasa tersebut pada 3 Disember.
Mereka bertiga didapati melanggar Peraturan Mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah jawatankuasa pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa sebelum jawatankuasa itu membawa penyata kepada sidang Dewan Rakyat.
Ketiga-tiga terbabit dianggap menghina dan menyalahi hak dan keistimewaan Dewan Rakyat.

Bibit-bibit kehangatan sudah terasa sejak sidang Dewan Rakyat Rabu bilamana ahli parlimen pembangkang sudah buat kecoh mempersoalkan usul baru itu hingga Sivarasa digantung sehari sidang manakala Azmin hingga jam 2.30 petang.
Azmin sempat melaungkan Reformasi sebelum keluar menyebabkan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional menjerit membantah perbuatan tersebut.-15/12/2010