Wikileaks: Hubungan dengan negara sabahat tidak terjejas13/12/2010 8:16pm SINGAPURA 13 Dis. — Singapura menyatakan bahawa laporan terkini Wikileaks yang membabitkan pemimpin dan pegawainya mengenai kenyataan yang memudaratkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat, tidak akan menjejaskan hubungan republik ini dengan negara berkenaan. "Hubungan ini telah dibina atas landasan yang kukuh dengan berkongsi kepentingan dan kerjasama untuk manfaat bersama dalam banyak bidang,” kata seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar. "Singapura mempunyai hubungan, gigih dan positif sekian lama dengan semua negara di rantau ini,” kata jurucakap itu sambil menambah negara-negara berdasarkan hubungan mengenai kepentingan mereka sendiri dan “bukan cakap-cakap atau mengumpat”. Jurucakap itu menjawab pertanyaan media mengenai laporan akhbar Australia mengenai kabel Kedutaan Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh Wikileaks semalam. Kabel itu, mencatatkan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat. "Laporan akhbar itu berdasarkan interpretasi Amerika Sayrikat mengenai perbualan sulit yang tidak memberikan konteks sepenuhnya, dan dalam sesetengah kes, adalah daripada sumber pihak ketiga,” kata jurucakap itu. "Sebagai prinsipnya, kementerian itu tidak mengulas mengenai kebocoran itu,” tambah beliau. Ditanya jika beliau menjangkakan bahawa laporan Wikileaks seterusnya akan mengandungi komen yang kritikal mengenai Singapura oleh negara-negara lain, jurucakap itu berkata: “Beribu-ribu kabel bocor daripada perwakilan diplomatik Amerika Syarikat di seluruh rantau kita. "Saya sangat terkejut jika Singapura bukan menjadi perkara sekurang-kurangnya sesetengah daripada mereka. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kementerian tidak mengulas mengenai kebocoran itu.” “Singapura menganggap kebocoran maklumat sulit sangat serius dan tidak akan bertolak ansur,” tambah jurucakap itu. - Bernama Dr. M yakin Lee Kuan Yew tahu kegiatan Anwar13/12/2010 6:38pm PUTRAJAYA 13 Dis. — BekasPerdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew turut tahu tentang kegiatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau diminta mengulas laporan akhbar bahawa agensi perisikan Singapura mengesahkan kegiatan Ketua Pembangkang itu berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu. "Ya memang...saya pun fikir dia (Lee) tahu tapi parti politik saja buat tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk Globalizing Malaysians in 2020 di Universiti Tenaga Nasional di sini hari ini. Menurut laporan akhbar, pendedahan itu dibuat oleh sebuah laman web antarabangsa, WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008. - Bernama WIKILEAKS SUKAR MENYIMPAN RAHSIA.... PADA zaman Internet ini, sangat sukar untuk merahsiakan sesuatu maklumat. Apa yang diklasifikasikan sulit dan rahsia, boleh menjadi pengetahuan umum dan mudah tersebar ke pelosok dunia dalam sekelip mata. Cuba bayangkan seorang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi didedahkan sering berdampingan dengan jururawat seksi dari Ukraine. Presiden Turkmenistan pula dianggap tidak terlalu cerdik dan pembohong terlatih. Jika ini sekadar gosip, ia boleh difahami. Tetapi ini ialah dokumen rasmi. Ia maklumat yang dipintas daripada kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) oleh laman web antarabangsa, WikiLeaks. Memang benarlah tiada lagi rahsia dalam dunia Internet ini. Tinggal lagi kita harus tahu cara untuk memperolehinya. Maklumat tersimpan rapi dan diklasifikasikan sulit mudah untuk bocor tanpa perlu bersusah payah melakukan pencerobohan secara fizikal. Segala data yang memasuki jaringan, sekebal manapun tembok yang dibina, berisiko untuk dipintas dan digodam bagi tujuan tertentu. Jika tidak pun memasuki jaringan, maklumat sulit itu boleh disalin secara pantas melalui penyimpan data mudah alih oleh orang dalam. Untuk mendedahkannya kepada umum tidak lagi sukar kerana Internet menyediakan tempat tanpa had. Aksi kebocoran rahsia yang sebelum ini selalu kita saksikan dalam filem, kini telah menghantui banyak negara, konglomerat mahupun tokoh-tokoh antarabangsa. Semakin tinggi teknologi, semakin kurang rahsia yang manusia akan miliki. Atas nama kebebasan media dan hak mendapatkan maklumat, pembocoran rahsia kerajaan dan syarikat oleh WikiLeaks disifatkan bukan lagi perlakuan jenayah. Malah ia dijunjung kerana dianggap bentuk ketelusan untuk menegakkan demokrasi. Perjuangan Wikileaks - menyiarkan fakta-fakta yang perlu diketahui umum tanpa rasa takut - dianggap suci. Setakat ini, Wikileaks sudah menelanjangi pentadbiran banyak negara dengan membocorkan lebih 1.2 juta kabel diplomatik. Hebat kerana maklumat daripada WikiLeaks mendapat perhatian akhbar-akhbar utama dunia termasuk The New York Times (AS), The Guardian (Britain), El Pais (Sepanyol) dan Der Spiegel (Jerman). Melalui WikiLeaks, hal yang selama ini menjadi gosip dan sekadar teori konspirasi dapat disahkan benar. Konspirasi perang Iraq dan Afghanistan yang didedahkan umpamanya telah mencetuskan hubungan yang tidak harmoni dan perbalahan. Bagi mereka yang selama ini suka bercakap soal ketelusan, WikiLeaks adalah perangkap untuk mereka. Di AS sendiri tiada yang namanya kebebasan. Jika ada yang masih berfikir AS itu menjunjung tinggi kekebasan media dan mendapatkan maklumat serta hak asasi individu, respons terhadap WikiLeaks ini memberikan jawapannya. Pentadbiran AS dilaporkan telah mengeluarkan amaran memecat kakitangan yang membaca dokumen rahsia kabel diplomatik itu. Kakitangan White House yang tidak mempunyai autoriti juga dilarang membaca dokumen rahsia WikiLeaks sama ada di pejabat atau melalui komputer peribadi mereka. Pelajar yang didapati membaca, memasang pautan atau sekadar memberi komen di laman sosial, diingatkan bahawa mereka berisiko untuk tidak diterima bekerja sebagai pegawai kerajaan. Begitu sekali huru-hara yang dicetuskan oleh WikiLeaks yang beroperasi atas sumbangan umum ini. Penangkapan pengasas WikiLeaks, Julian Assange di London pada 7 Disember lalu juga telah mencetuskan bantahan meluas. Bekas pengodam warga negara Australia ini rupa-rupanya telah mempunyai ramai pendukung dan peminat. Tahun lalu, dia mendapat anugerah media daripada Amnesty International selain beberapa anugerah antarabangsa lain terhadap inisiatifnya. Walaupun banyak halangan, laman web berurusan perkara rahsia ini dikatakan mampu bertahan lama. Sekarang ini ia mempunyai beberapa alamat di Internet dan lebih 500 laman web menawarkan salinan muatan WikiLeaks. Penyokong WikiLeaks di Facebook meningkat daripada 500.000 kepada lebih 960.000 pengguna hanya dalam waktu tiga hari sejak Jumaat lalu. Penangkapan Assange yang bakal diekstradisi ke Sweden atas tuduhan seksual itu, tidak akan menutup ‘mulut tempayan‘ WikiLeaks yang mendakwa memiliki beribu-ribu lagi dokumen rahsia AS. Wikileaks yang servernya dikatakan berada di sebuah bunker di Sweden seperti kebal. Banyak tindakan mahkamah di beberapa negara tidak memberi kesan terhadap ‘perjuangan suci’ mendedahkan kebenaran itu. WikiLeaks yang beroperasi sejak 2006, yang menyimpan dan memintas data-data rahsia diplomatik AS itu telah memeningkan banyak negara terutama AS, yang kerjanya memang suka mencatur urusan dunia. Sebenarnya belum ada pendedahan yang luar biasa dan tidak terduga dilakukan oleh WikiLeaks setakat ini. Bagi mereka yang biasa dengan kehidupan seorang diplomatik, membuat analisis adalah antara tugas mereka. Cuma yang agak memeranjatkan bahasa-bahasa yang digunakan oleh para diplomat AS itu. Jika diamati dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks sama ada melibatkan perang Iraq dan Afghanistan serta hubungan diplomatik dengan negara lain, ia hanya mengesahkan sahaja perilaku mereka selama ini. Lingkungan diplomatik dan pemerhati politik tahu begitulah sikap pentadbiran AS yang suka mengenakan tekanan, bahkan sering bersikap angkuh dan ala Rambo itu. Mungkin bagus juga terutama untuk negara-negara lemah mempelajari strategi diplomatik AS ini.Tetapi benarkah apa yang dilakukan oleh WikiLeaks ini demi perjuangan menegakkan demokrasi? Mungkin sahaja ada pihak di AS sengaja membocorkan kabel-kabel komunikasi diplomatik itu untuk tujuan politik mahupun ekonomi. Bagaimana jika ada dokumen itu sengaja dipalsukan atau diubahsuai? Mungkin itu juga satu rahsia yang akan terdedah nanti. Bagi kebanyakan orang, berurusan dengan perkara rahsia begitu menyeronokkan. WikiLeaks sudah ada saingan apabila bekas kakitangan Assange yang juga mendakwa memiliki beribu-ribu dokumen rahsia, bercadang untuk membuka OpenLeaks. Internet telah menyediakan ruang untuk itu. Dan Internet sememangnya dilahirkan untuk manusia bebas meluahkan pendapat. Kini dunia terutama AS perlu menghadapinya. Oleh Zulkefli Hamzah Sampai bila sandiwara Anwar? Oleh ZULKIFLEE BAKAR pengarang@utusan.com.my MUNGKIN tiada pemimpin politik paling bermasalah di rantau ini selain Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dari semasa ke semasa, kegagalan Anwar sebagai pemimpin yang menjadi teraju utama pakatan pembangkang semakin terserlah. Beliau bukan sahaja berhadapan dengan pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di mahkamah, malahan dari hari ke hari satu demi satu konflik wujud berkaitan dirinya. Malahan Anwar juga dihimpit satu demi satu persoalan yang menuntut penjelasan beliau secara tegas. Tetapi malangnya, Anwar seolah-olah tidak berupaya menghadapi semua persoalan berkenaan sama ada ia berkaitan dengan politik mahupun peribadi. Sebagai Ketua Umum PKR, Anwar dilihat lebih selesa mendiamkan diri terhadap kepincangan pemilihan parti itu yang berlaku baru-baru ini biarpun majoriti ahli PKR mendakwa wujudnya penyelewengan. Desakan dan pendedahan bagaimana Anwar didakwa memainkan peranan bagi memastikan orang kesayangan, Azmin Ali memenangi jawatan Timbalan Presiden parti itu tidak dipedulikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut. Ia termasuklah tindakan bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, S. Jenapala yang mencabar beliau dan Azmin menafikan secara terbuka mereka tidak terlibat dengan taktik kotor untuk meraih pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini. Malahan Anwar juga tidak mempedulikan mengenai kekecohan demi kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti sebaliknya mengarahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution membuat kenyataan yang sudah diduga bahawa semua itu didalangi pihak luar. Namun begitu, difahamkan kemelut dalam PKR biarpun menampakkan kegagalan Anwar sebagai pemimpin yang kononnya berkaliber tidaklah meresahkan beliau. Tetapi apa yang dianggap boleh merimaskan Anwar dan mewujudkan pelbagai persepsi ialah berhubung hubungan istimewanya dengan Azmin yang kini semakin didedah satu persatu oleh bekas-bekas orang kanannya. Walaupun satu demi satu cabaran dilontarkan oleh kelompok itu tetapi Anwar hanya mendiamkan diri, paling tidak pun jalan selamat yang beliau ambil ia mendakwa, kelompok berkenaan telah diupah oleh UMNO. Bagaimanapun ini bukanlah jaminan bahawa segala yang didedahkan boleh didiamkan begitu sahaja. Jika Anwar merasakan apa yang mereka dedahkan itu tidak benar, beliau boleh mengambil tindakan undang-undang. Apatah lagi persoalan dan dakwaan yang dibuat bukanlah ringan sebaliknya ia melibatkan maruah beliau sebagai pemimpin, suami dan bapa. Paling ketara dan menjadi bualan ramai kenapakah sampai sekarang Anwar tidak menjawab cabaran bagi menjelaskan kenapa Azmin dianggap begitu istimewa dan apa kaitannya isteri Azmin, Shamsidar Taharin dengan beliau. Cabaran itu bukanlah dibuat oleh mana-mana pemimpin UMNO tetapi oleh bekas-bekas rakan karib Anwar sendiri seperti Datuk S.Nallakarupan dan Senator Mohamad Ezam. Mohd. Noor. Shamsidar bukanlah seorang ahli politik tetapi kenapa beliau turut dikaitkan dalam hubungan rapat antara Anwar dan Azmin? Persoalan ini sepatutnya dijawab oleh Anwar tetapi beliau seolah-olah mengelak untuk berbuat demikian sebab itulah Mohamad Ezam mencabar Anwar supaya menyaman Nallakarupan kalau apa yang didakwanya berhubung perkara tersebut tidak benar. Kita harus ingat persoalan hubungan istimewa antara Anwar, Azmin dan Shamsidar ini bukanlah sekali dua dibangkitkan oleh Nallakarupan, malahan sudah berkali-kali. Dan desakan yang sama turut dibuat oleh bekas pemimpin-pemimpin PKR yang lain termasuklah ada antara mereka meminta isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya tampil menyatakan kebenaran. Begitu juga Shamsidar, ramai yang hairan kenapa beliau turut mendiamkan diri sedangkan ini melibatkan maruah beliau sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Pendedahan terbaru adik bongsu Azmin, Ummi Hafilda turut menuntut penjelasan daripada Anwar, Azmin, Wan Azizah dan Shamsidar. Ia kerana apa yang diperkatakan oleh Ummi Hafilda telah membangkitkan persoalan mengenai ‘hubungan istimewa dan misteri’ melibatkan Anwar, Azmin dan Shamsidar. Sememangnya, kita tidak pasti sampai bilakah Anwar akan terus mengelak daripada menyatakan kebenaran serta bersedia berhadapan dengan cabaran demi cabaran yang menjatuhkan maruahnya sebagai pemimpin. Tetapi apa yang pasti, semakin lama Anwar cuba mengelak maka semakin banyak pula dakwaan yang berkaitan dengan dirinya terdedah kepada rakyat. Sebab itulah, sama ada Nallakarupan mahupun Ezam serta bekas pemimpin-pemimpin PKR lain mendesak Anwar berhenti bersandiwara sebaliknya menjawab semua dakwaan yang dibuat ke atas dirinya. Anwar sering sahaja mendakwa semua itu konspirasi tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mempunyai hujah yang kukuh bagi mempertahankan diri. Kenyataan balas Anwar terhadap dakwaan-dakwaan ke atasnya lebih banyak ‘dihiasi’ dengan teori dan serangan balik tanpa bukti, seolah-olah semua orang yang menuduh beliau tidak betul dan berkonspirasi. Bagi Anwar, hanya beliau sahaja betul, baik dan sempurna manakala mereka yang tidak menyebelahinya ‘jahat’ sama ada kelompok itu di dalam atau luar negara. Sikap Anwar itu jelas dalam pendedahan terbaru oleh WikiLeaks yang menyatakan ejen perisikan Singapura mengesahkan beliau memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan oleh agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara. Dalam isu ini, Anwar seperti biasa menuduh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia terlibat sebagai sumber pendedahan WikiLeaks manakala Azmin pula memberi hujah lebih dangkal apabila mendakwa pendedahan berkenaan menunjukkan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew tidak dapat menerima kepimpinan Anwar dan tidak mahu melihat pakatan pembangkang menguasai Putrajaya. Seperti biasa, Anwar dan Azmin menggunakan taktik berdolak-dalih bagi menutup isu atau persoalan utama yang dibangkitkan. Kita tidak menafikan bahawa kedua-dua mereka mungkin mampu memperdayakan sesetengah pihak yang menyokong atau menyebelahi mereka. Namun begitu, pendedahan dan konflik yang berlaku sudah jelas membongkar satu persatu wajah sebenar insan bernama Anwar Ibrahim ini yang begitu bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar, Azmin, Wan Azizah dan Shamsidar mungkin boleh terus bersandiwara dengan menutupi segala kepincangan dalam kehidupan mereka sama ada dalam dunia politik mahu pun peribadi. Tetapi mereka perlu ingat kata-kata Umi Hafilda bahawa, ‘‘Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi.’’ |
Tuesday, December 14, 2010
APA SEBENARNYA TUJUAN WIKILEAKS?
Label:
WIKILEAKS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment