Aura Anwar yang semakin pudar Oleh Zulkefli Hamzah MALAM semalam, di Stadium Malawati Shah Alam gaung Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seperti biasanya. Menggunakan pentas Pas yang dihadiri oleh pemimpin utama dan ribuan ahli serta penyokong parti itu, Anwar seperti kehilangan karisma. Seruan dan gah ketua pembangkang itu tidak lagi berbisa. Tiada getar yang dapat dirasakan yang selalunya menambat perhatian khalayak. ‘Lawan tetap lawan’ yang lazimnya menggegar suasana ceramahnya, tidak lagi disahut dengan gema yang senada. Mungkinkah pemimpin berusia 64 tahun ini sudah berada di tahap tepu yang hilang auranya? Politik Anwar memang penuh warna-warni yang kini mungkin sampai waktunya di peringkat menuju jalan keluar setelah melalui fasa kegemilangan. Kemunculannya dirasai semasa menjadi pemimpin mahasiswa di Universiti Malaya dan kemudiannya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Penyertaannya dalam UMNO pada 1982, dan bukan Pas yang mengejutkan ramai orang termasuk rakan-rakan rapatnya telah mengusungnya ke mercu kegemilangan. Sama ada dalam UMNO dan kemudiannya dipecat daripada kerajaan dan parti, kerjaya politiknya melecut sehingga majalah Time pada 2008 menyenaraikannya sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia. Tetapi semua itu tinggal nostalgia. Seorang Anwar, yang memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada isterinya tidak lagi dilihat sehebat semasa zaman pelajar, dalam kerajaan dan awal reformasi. Banyak compang-camping yang telah mendedahkan siapa sebenar dirinya. Banyak kelemahan yang tidak lagi terdaya untuk ditutup dengan kelicikannya bersandiwara. Tidak selamanya orang boleh berbohong. Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diasaskannya semakin dipinggirkan rakyat. Jika tidak kerana ihsan Pas dan rantai DAP yang hanya mahu mempergunakan Anwar, PKR tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Mungkin sahaja, kini tinggal sedikit madu PKR yang menunggu masa sepahnya dibuang. Ceramah Anwar yang lesu malam semalam dilihat berpunca daripada sikap sebahagian kepimpinan Pas yang mahu berhati-hati dengan Anwar. Podium Pas yang disediakan untuk Anwar dalam program ceramah selamatkan Malaysia itu tidak diterjemahkan dalam konteks apa sebenarnya yang membahayakan negara ini sehingga perlu diselamatkan. Isu dan hujah yang beliau ketengahkan hambar, tanpa disusuli dengan fakta meyakinkan. Gaya penyampaiannya juga tidak berdegar-degar seperti dulu. Khalayak pulang tidak dengan maklumat baru mahupun semangat berjuang yang berkobar-kobar. Suasana perhimpunan malam itu yang kononnya untuk menyelamatkan Malaysia, biasa-biasa sahaja. Isu yang disentuh Anwar selalu sangat didengar – APCO dan hak membela diri sehingga digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Parlimen, tanah Melayu di Sungai Besi dan pelantikan SUK Selangor. Hujahnya gagal meyakinkan khalayak. Terlalu banyak tuduhan daripada menyatakan fakta dan kebenaran. Dan seperti sudah menjadi kebiasaannya apa sahaja yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun untuk kebaikan rakyat, diperlekehkan. Dulu Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib yang menjadi sasaran dengan tuduhan rakus kuasa. Pertemuan Najib dengan semua Ahli Parlimen BN, Sabtu lalu dianalogikannya bagai seorang doktor yang sesuka hati memberi ubat kepada pesakitnya. Ia dijadikan gurau senda sinikal. Ia peluru barunya untuk mengubat kehambaran hujah-hujahnya agar khalayak rasa terhibur dan terleka. Sudah tentu isu-isu inilah yang akan terus jadi bahan siri kempennya termasuk pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang nanti. Itu sajalah modalnya, sebagaimana janji 100 hari pembangkang yang hanya berbentuk populis dan tidak berpijak di bumi nyata. Bagaimanakah Anwar, seorang yang didakwa di mahkamah atas perlakuan jenayah boleh membawa pakatan pembangkang ke Putrajaya? Beliau yang sepatutnya melaksanakan tanggungjawab moral dengan melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang, sebaliknya menobatkan pula dirinya sebagai calon Perdana Menteri. Bagaimanakah Anwar, yang telah ditinggalkan oleh rakan-rakan akrabnya, mampu memimpin gerakan yang bakal mentadbir Malaysia? Ramai yang hadir pada malam itu nampaknya ragu-ragu beliau mampu melakukannya. Realitinya penasihat ekonomi Selangor ini yang selalu menabik dada mempunyai hubungan baik dengan negara luar, tidak pula mampu membawa mereka melabur ke Selangor. Jika ada satu dua, Anwar tentu sekali akan mengusungkan ke hulu dan ke hilir. Tetapi pernahkah kita dengar syarikat antarabangsa itu dan ini melabur di Selangor atas inisiatif Anwar? Pelaburan di Selangor adalah hasil usaha Kerajaan Pusat. Anwar dan Kerajaan Selangor lebih gemar bermain politik, bukan mengurus ekonomi negeri dan kebajikan rakyat. Di Selangor, yang tak sudah-sudah disebut ialah air percuma. Ya, zaman ini memang zaman gila seperti selalu disebut Anwar yang memetik syair pujangga Indonesia, Ronggo Warsito. Kita di zaman gila kerana ada pemimpin seperti Anwar yang gemar memutar belit fakta sehingga yang benar menjadi palsu dan palsu diubah menjadi benar. Tetapi kita juga harus ingat pesanan pujangga bahawa orang bijak melakukan kesilapan baru setiap hari tetapi orang lalai terus mengulangi kesilapan serupa setiap hari. Nampaknya inilah yang sedang dilakukan oleh Anwar - mengulangi kesilapan. Mungkin sebab itu auranya semakin pudar. |
Tuesday, January 11, 2011
Aura Anwar yang semakin pudar
Label:
PR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment