Janji kosong pembangkang membahayakan negara. PANDANGAN PPUBJ : Kegagalan dan kekecohan PR memerintah negeri Kelantan, Selangor, Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa mereka belum bersedia untuk menjadi kerajaan. Bayangkan jika mereka mentadbir negara apa akan berlaku? JANJI pembangkang untuk melaksanakan 'Pelan 100 Hari' jika berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan memerintah negara ini bukan sahaja membuatkan pakar-pakar ekonomi yang mendengarnya berkerut dahi, malah ia boleh menjadi bahan jenaka sepanjang zaman. Selain itu orang biasa yang kurang mahir ilmu matematik juga mampu mencongak tentang kemampuan kewangan pembangkang untuk melaksanakan pelan tersebut, memandangkan ia melibatkan berbilion ringgit. Melihat kemampuan ekonomi negara, kita sudah menjangka apa yang dijanjikan oleh pakatan pembangkang itu sekadar janji kosong yang sengaja digembar-gemburkan untuk menjadi popular dalam meraih sokongan rakyat. Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam yang menyifatkan janji pembangkang untuk melaksanakan 'Pelan 100 Hari' jika dapat memerintah negara sebagai tidak berpijak di bumi nyata. Agaknya dari mana pakatan pembangkang memperoleh punca atau sumber kewangan untuk melaksanakan pelan tersebut. Adakah dengan cara meminjam dari Dana Kewangan Antarabangsa? Jika sudah meminjam, dari mana pula mahu dikorek duit untuk membayar semula pinjaman tersebut. Melihat sikap pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja, asalkan impian menakluk Putrajaya tercapai, kita bimbang jika negara ini terpaksa 'dijual' kepada pihak luar bagi melunaskan segala hutang piutang yang ditanggung itu. Sanggupkah kita melihat tanah air tergadai? Tentu sekali tidak dan dengan itu, rakyat perlu cepat sedar dan jangan mudah terpedaya dengan janji-janji pembangkang yang tidak berpijak di bumi yang nyata itu. Kita cabar pembangkang supaya membentangkan hari ini juga kepada rakyat tentang dari mana punca kewangan untuk membiayai segala program di dalam pelan tersebut diperoleh. Kita yakin bahawa pembangkang tidak berani menyahut cabaran itu kerana ia sememangnya tidak mempunyai kemampuan. Sudah terang lagi bersuluh, dan bahayanya permainan politik pembangkang itu bukan sahaja dipenuhi dengan tipu muslihat, malah boleh merosakkan masa depan negara. Ini kerana terdapat segelintir rakyat yang mudah tertipu dengan segala janji walaupun menyedari ia sesuatu yang aneh untuk ditunaikan. Lihat sahaja penduduk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang sekarang yang mulai sedar tentang kesilapan yang telah mereka lakukan dalam PRU Ke-12. Ini kerana rata- rata rakyat menyedari bahawa segala janji yang ditabur sepanjang kempen pilihan raya tersebut masih belum dapat ditunaikan walaupun telah hampir tiga tahun memerintah. Kegagalan kerajaan negeri berkenaan menunaikan segala janji adalah kerana tidak mampu kerana tidak ada punca kewangan yang boleh digunakan untuk kebajikan rakyat. Justeru, apabila muncul 'Pelan 100 Hari' tersebut, maka ia jelas satu lagi perangkap pembangkang untuk memperdaya rakyat. Nampaknya pakatan pembangkang benar- benar terdesak sehingga sanggup berjanji apa sahaja untuk menyedapkan halwa telinga rakyat. Biarpun tidak mampu untuk menunaikan janji-janji tersebut, tetapi ia terus dilakukan kerana rakyat suka mendengarnya. Yang jelas menjadi mangsa adalah rakyat terutama mereka yang mudah sangat termakan pujuk rayu pembangkang yang jelas menipu rakyat. Jangan sampai, 'sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.' Justeru, untuk menyelamatkan nasib rakyat, maka wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk memastikan rakyat tidak terus ditipu. Kembalikan kewarasan rakyat untuk berfikir mengenai sesuatu yang logik dan boleh diterima akal dalam menentukan masa depan negara. Jangan biarkan pembangkang menggadaikan masa depan negara sehingga anak cucu kita kelak terpaksa menanggung kesukaran hidup yang berpanjangan. Biarlah kita hidup secara sederhana sekarang, asalkan tidak merana di kemudian hari gara-gara terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang. |
Tuesday, January 11, 2011
PROGRAM 100 HARI : JANJI KOSONG PEMBANGKANG
Label:
PROGRAM 100 HARI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment