Penjelasan sultan dipertikai Oleh ABDUL YAZID ALIAS pengarang@utusan.com.my PANDANGAN PPUBJ : Menteri Besar yang bersultan di mata dan beraja di hati. SHAH ALAM 5 Jan. – Kemelut pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terus merumitkan apabila Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mempertikaikan penjelasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani semalam. Abdul Khalid menganggap, kenyataan akhbar tersebut adalah penafsiran peribadi Mohamad Munir dan ia tidak mewakili baginda termasuk penjelasan kenyataan Menteri Besar itu bahawa Sultan Selangor tidak mempunyai kuasa menerima dan menolak calon Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Beliau berkata, Sultan Selangor memahami cadangan kerajaan negeri mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Perlembagaan Negeri untuk memperjelaskan lagi kuasa sultan dan Menteri Besar berhubung pelantikan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri. ‘‘Dalam pertemuan dengan Sultan Selangor, ada dibincangkan mengenai situasi sebelum pindaan Perlembagaan Negeri pada 1993 berkaitan dengan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar membabitkan pemilihan tiga jawatan tersebut. ‘‘Tidak ada pertikaian, kita (beliau dan Sultan Selangor) bincang mengenai sebelum 1993, sebelum pindaan melibatkan kuasa pelantikan SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar. ‘‘Mengikut logik, sebelum pindaan Perlembagaan Negeri tahun 1993, sultan dan Menteri Besar ada hak dalam pemilihan tiga pegawai kanan kerajaan negeri berkenaan. Saya harap Datuk Munir jangan tidak setuju dengan saya, kalau dia tak setuju banyak orang kena balik (belajar) di sekolah undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. Semalam, dalam kenyataan akhbarnya, Mohamad Munir berkata, kenyataan Abdul Khalid pada 3 Januari lalu menyatakan Sultan Selangor berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat. Menurut Mohamad Munir, apa yang berlaku sebenarnya, nama-nama calon untuk jawatan SUK telah disembahkan kepada baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menjalankan kuasa SPA Persekutuan selaras dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri. Beliau menyatakan, baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan dan selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh SPA Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh JPA dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Jelasnya, perkara tersebut juga telah menjadi amalan di Selangor. Abdul Khalid bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK dibuat tanpa pengetahuannya selaku Menteri Besar. Katanya, pelantikan itu tidak dilakukan berdasarkan manual pemilihan SUK, Pengawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang mana calon untuk jawatan itu harus dibuat oleh jawatankuasa pemilihan peringkat negeri. Katanya, bagi calon SUK, mereka seharusnya terdiri daripada pegawai kerajaan yang berkelayakan sama ada di peringkat JUSA A, B dan C serta Gred 54. ‘‘Kita ada calon-calon yang ada kelayakan itu untuk mengisi jawatan sebagai SUK, itu senarai prosesnya. ‘‘Menteri Besar pilih tiga daripadanya dan serahkan kepada Sultan Selangor untuk pertimbangan, lepas itu kita serah kepada JPA dan kemudiannya calon yang dipilih diserahkan kembali kepada negeri sebelum diperkenankan oleh Sultan Selangor. Inilah yang ada dalam manual pemilihan SUK negeri,” ujarnya. MB jelas punca tolak Khusrin SHAH ALAM 5 Jan. – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan kerajaan negeri mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bukan kerana beliau tidak layak menduduki jawatan tersebut. Sebaliknya kata beliau, proses pelantikan itu tidak mengikut amalan konvensional iaitu Menteri Besar diberikan ruang mengemukakan senarai pendek calon bagi jawatan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum pelantikan dibuat. “Pada asalnya kami memang menyenaraikan nama Mohammed Khusrin dalam senarai lapan calon yang akan dipanggil untuk ditemuduga tetapi dia tidak terpilih dalam senarai tiga calon teratas untuk dicadangkan menduduki jawatan SUK. “Sebaliknya, ada pihak lain terlebih dahulu menyerahkan nama kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah), saya tidak mahu sebut siapa pihak itu, masalahnya Menteri Besar dibelakangkan dalam proses pemilihan, ini kes main belakang MB,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat Exco di sini hari ini. Dalam pada itu, Abdul Khalid terus berdolak-dalik mengenai kehadirannya ke upacara angkat sumpah taat setia di hadapan Sultan Selangor melibatkan pelantikan SUK esok apabila tidak mengatakan ya atau tidak. Sebaliknya beliau berkata, “Anda tunggu dan lihat,” Abdul Khalid turut menyatakan, kerajaan negeri memutuskan tidak akan mengadakan majlis mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar bagi Mohammed Khusrin sebagai SUK sehinggalah pindaan perlembagaan negeri berhubung perkara itu selesai dibuat. Jelasnya, keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat Exco hari ini yang mahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Katanya, ia adalah untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan SUK termasuklah Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri sebagai mana sebelum pindaan dibuat terhadap undang-undang itu pada 1993. Katanya, notis memanggil sidang itu telah dihantar kepada Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim hari ini dan ia dijangka diadakan dalam bulan ini. ‘‘Exco tidak menjemput Mohammed Khusrin untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar sehingga selesai sidang DUN yang dipersetujui diadakan dalam bulan ini,’’ jelasnya. Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga melantik pengamal undang-undang, Datuk Param Cumaraswamy dan pakar Perlembagaan Persekutuan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk membantu membuat draf cadangan pindaan undang-undang itu. ‘‘Selepas itu sudah tentu kita akan membawa draf pindaan tersebut kepada Sultan Selangor untuk perkenan baginda sebelum dibentangkan dalam sidang DUN,” katanya. Kelmarin, Abdul Khalid menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang dijangka dibuat sebelum penghujung bulan ini. Ia dilihat sebagai satu usaha untuk menyingkirkan Mohammed Khusrin yang telah diumumkan sebagai SUK baru oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, 27 Disember lalu. |
Thursday, January 6, 2011
PERTIKAIAN MB KHALIB HANYA UNTUK MENUTUP KELEMAHAN PKR.
Label:
PKR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment