Ini satu yang menarik,bila PKR dimaklumkan bahawa PAS Johor tidak membenarkan parti itu berkempen di kawasan Melayu dalam pilihanraya DUN Tenang akan datang.
Sumber PKR memberitahu Agendadaily, perkara tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat MPP PKR yang diadakan baru-baru ini.
“PKR hanya diminta tumpu di kawasan Cina dan India sahaja, di kawasan Melayu, PAS akan berkempen sendirian atau bersama beberapa NGO tetapi bukan PKR atau DAP,”kata sumber tersebut.
PAS dipercayai akan memberi tumpuan untuk memperolehi sebanyak mungkin undi Melayu di Felda Tenang, Felda Cemplak dan Felda Cemplak Barat.
Menurut beliau, tindakan PAS yang mendiskriminasi PKR itu menjadi tanda tanya mengenai persepsi sebenar parti tersebut terhadap PKR.
“Apakah PAS sendiri termakan propaganda UMNO bahawa PKR parti anti-Melayu?, sampai mereka arah PKR jangan berkempen di kawasan orang Melayu,”soal beliau.
Bagaimanapun menurut sumber tersebut, berdasarkan keputusan MPP tempoh hari, pemimpin tertinggi PKR akan bertemu pemimpin PAS Pusat untuk merayu supaya PKR dibenarkan berkempen di kawasan Melayu.
Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya Datuk Sulaiman Taha baru-baru ini. SPR telah menetapkan 30 Januari hari mengundi manakala 22 Januari hari penamaan calon.
Sementara itu, Agendadaily yang menghubungi seorang pemimpin PAS Pusat enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan PKR itu.
Cuma beliau memberitahu PAS akan menggunakan strategi tidak provokatif sepanjang kempen pilihanraya kecil bermula 22 Januari ini.
Ini berikutan PAS tidak kuat di kawasan tersebut dengan PAS kawasan Tenang hanya mempunyai enam cawangan sahaja.
“Tenang memang kubu UMNO dan Barisan Nasional, cuma majoriti mereka merosot dalam PRU 12 lalu kerana pengundi Cina menyokong calon pembangkang,”katanya yang enggan namanya disiarkan.
Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang di kawasan Cina iaitu mendapat undi antara hingga 67 peratus di peti undi majoriti kaum Tiong Hua itu.
Berdasarkan keputusan PRU 12, pengundi Bandar Labis Tengah yang terdiri 96 peratus Cina, PAS memperolehi 66.8 peratus undi.
Di Bandar Labis Timor yang mempunyai 63.5 peratus pengundi Tiong Hua pula, PAS memperolehi 52.5 peratus undi.
Di Labis yang mempunyai 58.3 peratus Cina dan 32.4 peratus India, PAS mendapat 50.6 undi berbanding BN.
“PAS harap PKR dan DAP boleh dapat undi Cina semaksimum mungkin sementara PAS akan cari undi orang Melayu,”katanya lagi.
Menurut beliau, walaupun PAS Tenang lemah dengan hanya ada enam cawangan, tetapi jentera PAS Pusat akan bantu untuk masuk ke kawasan Felda dan kampung tradisi.
“Untuk kampung tradisi Melayu telah diamanahkan kepada PAS Kelantan,”katanya.
Tambahnya lagi, PAS Terengganu akan menjaga Felda Chemplak, PAS Pahang pula diamanahkan menjaga Felda Tenang dan PAS Perak menjaga Felda Chemplak Barat.-13/1/2011