Resolusi pakatan pembangkang untuk membahagikan semua tanah rancangan Felda kepada anak-anak peneroka adalah tidak lojik dan boleh membawa kesan kurang baik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
“Memang bunyinya sedap nak bercakap. Jika dikira, pembahagian tanah Felda sebanyak 330,000 hektar kepada lebih kurang 1.6 juta anak peneroka, ia bermakna setiap seorang hanya akan mendapat seekar sahaja. Apa yang nak dibuat dengan tanah seekar? Bagaimana implikasinya terhadap orang lain?
“Resolusi itu tak lojik kerana segala hasil daripada tanah seluas 330,000 hektar itu dikembalikan semula kepada peneroka dalam pelbagai bentuk seperti program kemahiran, pembangunan prasasana dan sebagainya.
“Adalah lebih pintar kita membinanya sebagai satu konglomerat yang besar dan hasilnya dikembalikan kepada peneroka dan generasinya daripada kita memecahkan tanah-tanah itu dan bagi kepada anak peneroka,” katanya ketika mengulas salah satu resolusi Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Ahad.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Felda Bersama Media yang diadakan di Bilik Perdana Dewan Perdana Felda di Jalan Maktab, Kuala Lumpur, Isnin. Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Noor.
“Kalau ayah sudah diberi tanah,selepas itu kita bagi anak-anak mereka, ia akan menimbulkan implikasi yang kurang baik. Falsafah yang dipegang Felda ialah, ayah dan ibu kita bagi ikan. Anak-anak dan cucu-cucu kita ajar mengail ikan. Itulah sebabnya setiap tahun kita peruntukkan RM50 juta untuk program-program kemahiran untuk anak-anak peneroka,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, sehingga kini Felda telah melatih 33,017 anak peneroka dalam program kemahiran dengan nilai RM210 juta.
Mengulas mengenai cadangan PKR menubuhkan biro Felda di setiap negeri, Ahmad Maslan berkata parti itu sebenarnya meniru apa yang telah dibuat oleh UMNO.
“Di setiap bahagian UMNO yang mempunyai kawasan Felda, kita sememangnya sudah ada biro. Kami sudah lama buat. Mereka tiru kita sebenarnya,” katanya.
Ahmad Maslan berkata, dia yakin pembangkang akan memanupulasikan isu-isu berkaitan Felda dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Tenang tidak lama lagi di mana kira-kira 4,000 peneroka Felda akan mengundi.
“Saya yakin Felda akan dijadikan isu di PRK Tenang kerana di situ ada tiga kawasan Felda, iaitu Felda Tenang, Cempelak dan Cempelak Barat. Tetapi kami dengan tenang akan menghadapinya dan menjelaskan isu-isu semasa yang diputar belitkan oleh pembangkang.”
“Saya dan Tan Sri Yusof Noor akan turun padang ke kawasan-kawasan Felda ini untuk meninjau dan merangka strategi untuk mempertahankan kubu kami di Felda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan turut mengumumkan, Felda akan mewujudkan beberapa anugerah untuk media tahun depan.
Katanya, Felda akan membentuk sebuah panel untuk memberikan pengiktirafan kepada media di segi penulisan rencana terbaik, dokumentari atau cerita TV terbaik serta penulisan blog terbaik dan foto terbaik.
Beliau turut mengumumkan Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan Felda menerbitkan sitkom 13 episod mengenai kehidupan peneroka Felda dan juga penerbitan dokumentari TV mengenai kejayaan organisasi itu.
Sitkom 13 episod yang akan ditayangkan tahun depan itu akan dibintangi oleh Sabri Yunus dan diarahkan oleh Hafsham yang sebelum ini pernah mengarahkan sitkom Pi Mai Pi Mati dan 2+1. – 20/12/10.