Pengorbanan politik, pengorbanan siapa? Oleh Noor Sulastary Yurni Ahmad PENGORBANAN dan perjuangan amat sinonim dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Namun, wadah pengorbanan yang dimaksudkan dalam situasi politik hari ini banyak yang dapat dibincangkan. Masih sesuaikah lagi pengorbanan pada hari ini? Adakah perlu dikaitkan dengan jumlah yang perlu dijadikan subjek dalam pengorbanan? Apakah pengorbanan dalam segala aspek perlu tersimpul rapi dalam setiap pemikiran, tingkah laku, spiritual dan jiwa para penggiat politik mahupun pemimpin-pemimpin politik? Sudah menjadi tanggungjawab ahli politik negara memberikan jawapan terhadap persoalan tersebut kerana mereka lebih layak kerana mereka berkecimpung dalam arena politik itu sendiri. Sempena Hari Raya Aidiladha yang baru lalu, perayaan itu menjulang konsep pengorbanan. Ia bukan sahaja perlu dilihat dalam konteks ideologi agama, konsep pengorbanan itu sudah lama sebati dalam sistem politik Tanah Melayu dan Malaysia. Ternyata sejarah perjuangan politik demi mengembalikan maruah bangsa, agama dan rakyat Tanah Melayu sudah diterjemahkan dalam pencapaian kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Keberanian dan pengorbanan sebeginilah yang harus berjalan secara berterusan, bukan bermotifkan kepada matlamat tertentu. Ia mencerminkan betapa sayang dan cinta mereka terhadap tanah air sewaktu hidup dibelenggu penjajahan yang silih berganti dari semasa ke semasa. Pengorbanan demi pengorbanan rakyat Tanah Melayu atau Malaya terpaksa ditempuhi dengan kedatangan penjajah seperti Portugis, Belanda, Jepun dan British semata-mata untuk mempertahankan tanah tumpah darah sendiri. Malah, perjuangan orang Melayu dalam mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu, hak warganegara, kedudukan ekonomi, taraf hidup, pendidikan, kebebasan politik dan banyak lagi sehinggalah membawa kepada tuntutan kemerdekaan daripada pihak British harus dijadikan iktibar. Ia juga mendapat sokongan daripada orang Cina dan India yang membantu mencapai persepakatan politik apabila tertubuhnya Parti MCA dan MIC sebelum dibebaskan oleh pihak British untuk menuju ke arah berkerajaan sendiri. Sebelum terbentuknya Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC, banyak pengorbanan yang telah mengambil tempat demi memperjuangkan maruah anak bangsa dan agama. Pakatan murni yang dibuat melalui kontrak sosial juga perlu diambil kira dalam semua aspek yang tidak pernah membelakangkan hak dan kepentingan semua pihak. Keharmonian yang berjaya dikekalkan pada masa itu membuktikan bahawa asas perjuangan yang berpaksikan kepada matlamat yang sama berupaya menyatukan semua kaum dalam mencapai satu keputusan yang rasional dan bijak atas dasar politik. Pengorbanan ini tidak hanya terbatas kepada perbincangan kemerdekaan sahaja tetapi turut mempunyai kesinambungannya dalam penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang bersesuaian dengan kemasukan Sabah dan Sarawak sebagai ahli keluarga baru Malaysia. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 13 buah parti yang bernaung di bawah BN berjaya mencapai persefahaman atas slogan pengorbanan yang telah mereka lakukan dalam perjuangan politik masing-masing. Masyarakat hari ini tidak sepatutnya meletakkan pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu atau nenek moyang kita sebagai asas untuk memperingati sejarah kerana pengorbanan ini sangat signifikan sehingga membawa impak kepada seluruh masyarakat Malaysia. Pengorbanan orang dahulu perlu disambut baik oleh semua lapisan masyarakat dengan mengambil langkah untuk melakukan pengorbanan yang sama tetapi tidak serupa dalam konteks sistem politik Malaysia pada hari ini. Bagaimanakah bentuk pengorbanan yang dimaksudkan itu? Perkara tunjang yang perlu dilakukan adalah bersatu hati, bermuafakat, tidak rakus dan tamak serta menjadikan agama sebagai pegangan. Dengan trend politik yang semakin mencabar pada hari ini, bukan sahaja sukar untuk mengekalkan dua pertiga majoriti malah mencapai perpaduan nasional juga perlu melalui laluan yang agak sukar. Dengan sifat kepartian yang sangat berorientasikan kaum, ia telah menyumbang kepada pembahagian dalam kelas masyarakat mengikut kaum dan ia menjadi semakin nyata. Kita tidak boleh menyalahkan sejarah yang telah membentuk sifat politik pada hari ini kerana kehadiran sejarah negara yang kita ada ini telah menjadi penunjuk aras yang sangat baik untuk membawa masyarakat demokrasi melangkaui anjakan paradigma yang ditentukan oleh politik perkauman sebegini. Perpaduan juga memerlukan pengorbanan dan tanpa pengorbanan oleh semua masyarakat Melayu, Cina, India, Sikh, Siam, Orang Asli, Iban, Kadazan, Murut, Dayak, Melanau dan pelbagai etnik lain yang turut berperanan dalam pembentukan masyarakat majmuk Malaysia, ternyata matlamat ini akan menjadi angan-angan atau sia-sia sahaja. Melalui pengorbanan sosial, ekonomi, politik dan ruang pemikiran yang digunakan sebaik mungkin telah mencorakkan kehidupan masyarakat seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Sekiranya pemimpin-pemimpin politik tidak bekerja dengan lebih kuat dan gigih untuk memartabatkan kedudukan semua kaum, ini menjelaskan bahawa mereka kekok untuk berkorban demi kepentingan rakyat Malaysia. Pemimpin-pemimpin politik dalam kalangan semua parti tidak kira sama ada BN mahupun pakatan pembangkang tidak pernah terkecuali memperjuangkan nasib anak bangsa Malaysia. Mereka sudah dipilih dan mereka perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebaik mungkin pada tahap full swing. Mereka adalah milik masyarakat Malaysia dan kedudukan mereka lebih popular daripada selebriti atau artis kerana mereka merupakan first class public figure. Pengorbanan masa, kudrat dan tenaga, idea-idea apatah lagi wang ringgit sudah menjadi perkara biasa bagi setiap pemimpin negara untuk turun padang dan melaksanakan tugas supaya dapat memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang baik. Tidak cukupkah pengorbanan yang mereka lakukan kepada negara sehingga terdapat segelintir atau sebilangan besar rakyat yang menolak kepimpinan mereka dan mereka turut diraikan dengan pelbagai cemuhan, nista, fitnah, tuduhan melulu dan lain-lain? Jangan tepuk dada tetapi berfikir sejenak sekiranya kita menjadi seorang pemimpin atau mungkin seorang majikan, ketua jabatan, ketua kampung, pengerusi dan sebagainya. Adakah kita mempunyai banyak masa yang berkualiti bersama keluarga atau harus mengorbankan sebahagian daripada masa yang kita ada semata-mata mahu menggembirakan orang tersayang? Menarik juga perbincangan tentang pengorbanan dalam dunia politik ini kerana tidak ada satu parti politik pun yang terkecuali dalam memperjuangkan matlamat mereka sehingga berjaya. Perkara yang menarik perhatian penulis adalah pendekatan yang diambil oleh parti-parti politik tersebut tidak boleh dipandang remeh. Inilah yang membawa kepada pengorbanan parti politik atau ada yang dijadikan sebagai subjek korban tersebut dalam propaganda yang dilakukan. Rakyat, ahli dan penyokong parti-parti politik bukanlah mangsa keadaan yang boleh dijadikan sebagai bahan uji kaji untuk memastikan penyelidikan itu berjaya atau tidak. Mereka merupakan kelompok yang sangat fragile, sekiranya tidak ditatang dengan baik pasti akan hancur berkecai dan terbahagi kepada pelbagai puak. Mereka antara kumpulan yang sangat penting dalam memastikan perjuangan parti politik menemui kejayaan mahupun kegagalan. Dalam erti kata yang lain, tanpa sokongan dan bantuan mereka parti-parti politik tidak mampu untuk mempertahankan kedudukan atau status quo. Pengorbanan mereka sangat suci dan tulus kerana mereka berjuang demi kepentingan parti, tokoh politik, hak sosial, ekonomi dan politik dan masa depan diri serta keluarga mereka. Penulis ialah Pensyarah Kanan & Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. |
Thursday, January 6, 2011
SIAPA YANG DAPAT FAEDAHNYA ?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment