Kemenangan seorang pemimpin bukan kerana pilihan raya semata-mata tetapi 'pilihan saya' iaitu siapa yang kita pilih untuk menjadi pemimpin kita. Adakah kita hendak memilih seorang pemimpin yang hanya pandai berpidato hingga ramai menyokong atau kita ingin pemimpin yang mempunyai sikap rajin membuat kerja dengan tangan dan bukan dengan 'mulut' semata-mata. Sebagai rakyat yang sudah matang dan terdidik dengan kemajuan ilmu ICT (teknologi komunikasi maklumat) hasil usaha kerajaan yang cakap serupa bikin (walk the talk), kita harus mengakui kepimpinan Barisan Nasional masih relevan sepanjang masa. Kerajaan juga perlu sedar setiap rakyat dibekalkan kuasa satu undi untuk memilih pemimpin yang mereka rasakan layak untuk menjadi pemimpin walaupun dia hanya pandai 'bersilat' kata-kata. Kuasa satu undi ini lahir seumpama tali pusat setiap bayi dan itulah ketentuan Allah SWT dan itulah keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada setiap warganegara Malaysia. Sistem demokrasi telah menjadikan situasinya begitu dan kerajaan BN yang berjasa perlu mengakui hakikat bahawa anak-anak muda yang bakal mengundi mereka sebagai wakil rakyat masih hijau dengan sejarah negara. Sepatutnya anak-anak yang masih hijau ini tidak disalahkan jika mereka memangkah parti lain kerana mereka dididik untuk mengejar teknologi atau dalam lain kata memandang masa depan untuk ke 2020 tetapi adakah dalam masa yang sama kita mendidik mereka secara seimbang untuk memandang sama ke tahun 1920, 1820 atau 1420 dan percaya kepada sejarah. Anak-anak merdeka hari ini dibiarkan hanyut dengan kemajuan ICT sehingga dosa dan pahala, fakta dan dogma bercampur baur dalam setiap amalan seharian mereka. Dunia siber dan dunia yang terhasil dari gajet bernama telefon bimbit yang semakin canggih hingga orang tua terasa semakin tua dan orang muda berlumba-lumba memilikinya sampai ada yang bankrap bahana menjadi hamba kad kredit mampu mengubah persepsi rakyat kepada kerajaan yang memerintah. Sebagai kerajaan rakyat berhak mendapat maklumat di bawah hak asasi mendapatkan ilmu pengetahuan dan di Internet serta di telefon pelbagai tohmahan dan kritikan silih berganti mendominasi pemikiran rakyat hingga kebaikan BN selama ini dianggap sebagai tanggungjawab hakiki pemerintah. Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah perlu menjadi medan rakyat disedarkan dengan dos yang paling kuat, di samping ubat penahan sakit menerima kenyataan bahawa kejayaan negara hari ini adalah hasil usaha gigih pemimpin BN yang setia dengan perjuangan dan penuh semangat setiakawan. Rakyat perlu disedarkan bahawa pemerintahan BN bukan sekadar untuk mengagihkan duit di dalam kantung perbendaharaan untuk gaji dan bonus semata-mata. Pembinaan projek mega seperti Menara Warisan Merdeka perlu dijustifikasikan kepada rakyat kerana keperluan mendirikan bangunan itu dengan keperluan hakiki pengundi setia jauh dari aura Kuala Lumpur amat berbeza sama sekali. Pihak media hanya mampu menerangkan kebaikan pembinaannya, namun pada penghujungnya orang tetap menganggap yang negatif kerana tiada kawalan dalam Internet mahupun mesej pesanan ringkas di skrin telefon. Pihak yang mengadu domba demi faedah politik sempit memang ramai dan pihak ini akan memesongkan setiap fakta semahu mereka. Ini kerana di Internet, semua boleh bercakap dan menulis, kerana tiada siapa yang menyekat dan menapis apatah lagi hanya seorang dua sahaja blogger yang dipanggil ke balai polis untuk disoal-siasat dan didakwa di mahkamah. Perkara-perkara ini yang perlu ditangani oleh kerajaan agar kepincangan pemikiran pihak tidak bertanggungjawab ini turut tidak berjangkit kepada rakyat yang bakal menjadi pengundi. Bayangkan pengundi yang mendapat bahan tidak benar mengenai kerajaan di Internet menceritakan kepada ibu bapa, kawan, jiran, malahan sesiapa sahaja yang dia inginkan. Dalam masa yang sama, pihak-pihak ini kebetulan mempunyai kuasa satu undi dan mahu menterjemahkannya hasil kemarahan terhadap berita dari Internet melalui pilihan raya kecil mahupun umum. Maka kita akan mendapat keputusan ala Pilihan Raya Umum Ke-12, tahun 2008. Sewajarnya, Internet ditapis oleh kerajaan kerana penyebaran maklumat yang tidak benar mengenai kerajaan lebih dipercayai oleh pelayarnya berbanding maklumat dari parti pembangkang. Kuasa satu undi milik rakyat yang kebanyakannya golongan muda yang cenderung mendapat maklumat melalui portal berita di Internet sudah pasti akan mendorong mereka memilih calon dari blok pembangkang yang kononnya tersisih dari dunia media perdana. Justeru, jangan memperlekeh kuasa satu undi kerana kelebihan satu undi akan memenangkan calon pilihan raya. Amat malang jika undi itu dibuat hasil 'kempen' di dunia siber oleh pihak yang sentiasa melihat kerajaan sebagai lawan semata-mata. ABDUL RAZAK IDRIS Banting, Selangor |
Thursday, January 6, 2011
Jangan perlekeh kuasa satu undi
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment