Thursday, January 6, 2011

Perjuangan parti atau perjuangan individualistik?

Perjuangan parti atau perjuangan individualistik?

Oleh Noor Sulastry Yurni Ahmad

Rata-rata seluruh masyarakat Malaysia masih lagi terngiang-ngiang laungan dan kata- kata semangat para pemimpin serta ahli perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung yang baru saja berlalu. Teguran, amanat, nasihat dan seloka tetap menjadi pilihan para penghujah dan semacam sudah sebati di dalam tradisi mereka. Pelbagai nasihat yang diutarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hujah perasmian dan penggulungan itu terselit tanggungjawab beliau bersama rakan-rakan seperjuangan terhadap masyarakat Malaysia.

Ia bertepatan dengan perbincangan yang melangkaui kepentingan diri serta individualistik harus dikikis secara total dalam kalangan ahli UMNO dan parti-parti yang lain. Namun begitu, adakah perhimpunan yang lalu cuba menyampaikan mesej kepada ahli UMNO sahaja atau mengambil kira semua masyarakat Malaysia dengan perbincangan yang bersifat holistik?

Ternyata, tanggapan segelintir masyarakat bahawa UMNO hanya memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu perlu dibuang atau dikikis kerana perjuangan pada hari ini adalah lebih berorientasikan kepada perjuangan untuk semua lapisan masyarakat melangkaui batasan kaum, agama, latar belakang, pendidikan, taraf hidup dan lain-lain.

Sampai bila kita harus hidup dalam ‘ketakutan’ dengan mempunyai tanggapan bahawa kedudukan kita sebagai seorang warganegara Malaysia masih lagi diperjudikan, tiada kepastiandan seolah-olah tiada titik noktah? Sebagai masyarakat Malaysia, kita harus berpandangan jauh dalam segala hal dan bukannya berfikiran sempit semata-mata demi kepentingan diri sendiri. Kita perlu bekerja sebagai sebuah kumpulan besar bagi mencapai kesejahteraan umum.

Dalam konteks senario politik pada hari ini, pelbagai spekulasi menarik yang cuba diketengahkan oleh masyarakat Malaysia tentang survival UMNO dan Barisan Nasional. Secara umumnya, kematangan politik dalam kalangan masyarakat memberi input bagi membuat keputusan dalam negara Malaysia harus mendapat pujian. Ini kerana terdapat peningkatan yang positif dalam pendidikan politik.

Kematangan ini juga tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman oleh mana-mana pihak. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2011, beliau menekankan tentang mencapai negara ke arah berpendapatan tinggi, soal pendidikan tidak pernah dipinggirkan. Sehubungan itu, masyarakat Malaysia perlu berfikiran optimis dan positivistik dalam segala hal yang mencakupi pelbagai perspektif kehidupan.

Memandangkan pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi berlangsung serentak hari ini, kedengaran cakap-cakap kurang enak yang mempertikaikan kredibiliti dan kepimpinan semua parti yang bertanding demi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Inilah keindahan proses demokrasi yang memberi masyarakat ruang untuk membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Namun begitu, pertempuran pada kali ini akan menjadi medan mempamerkan kredibiliti dan personaliti calon kesemua parti yang bertanding untuk merebut kerusi yang dipertaruhkan. Jangan lupa bahawa rakyat tidak akan memilih siapa juara berceramah, juara memujuk, juara dermawan, juara kempen, juara poster mahupun juara merayu tetapi rakyat akan memilih Juara Rakyat yang sentiasa dekat kepada rakyat dan tidak hanya muncul apabila hendak berkempen tetapi senang ditegur sapa.

Itulah calon yang akan menang di Galas dan Batu Sapi! Adakah calon-calon yang akan bertanding nanti memenuhi syarat yang diletakkan oleh rakyat nanti? Hanya undi rakyat bakal memberi jawapan dan penentu sama ada calon itu layak dipanggil pemimpin atau tidak.

Walaupun begitu, setiap calon yang akan bertanding tidak perlu putus semangat dan harus bekerja kuat secara berterusan walaupun mereka ditakdirkan kalah atau menang.

Mereka wajib buktikan kepada rakyat bahawa mereka bukanlah pemimpin yang tamak kuasa dan jawatan tetapi merekalah pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa membantu rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun. Pertandingan di Galas dan Batu sapi inilah bakal menjadi medan perjuangan percubaan sekali lagi untuk membuktikan kesungguhan ahli UMNO dan Barisan Nasional menyahut cabaran Perdana Menteri.

Terdapat dua persoalan yang menarik untuk dibincangkan dalam konteks Galas dan Batu Sapi ini iaitu calon yang dipilih dan adakah parti Barisan Nasional masih relevan dengan kehendak rakyat di sana. Adakah faktor calon masih sangat signifikan dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung ini? Ternyata personaliti calon merupakan isu yang sentiasa diperkatakan oleh semua pihak bagi mencari kelainan antara calon-calon tersebut. Atas nama demokrasi yang diperjuangkan, setiap calon harus jujur, ikhlas dan amanah dalam menyuarakan kempen serta memikul tugas demi rakyat.

Manakala tarikan terhadap isu pengundi muda bukanlah suatu agenda besar bagi mana-mana parti yang bertanding di Galas dan Batu Sapi. Namun begitu, tidak bermakna undi pengundi muda ini adalah tidak penting sama sekali. Seperti yang dapat dilihat taburan penduduk di Sandakan mempunyai penduduk berusia dalam lingkungan umur 23 hingga 27 tahun sebanyak 10 hingga 12 peratus. Kelompok penduduk dalam usia ini merupakan antara kelompok yang pertama kali mengundi dan ada antara mereka sudah terlibat dalam pilihan raya yang lalu. Peratusan ini agak kecil jika dibandingkan dengan bilangan penduduk yang berusia lebih daripada 40 tahun. Namun, peratusan pengundi dalam usia tersebut masih lagi signifikan bagi menentukan kejayaan calon yang bertanding.

Persepsi masyarakat secara umumnya meletakkan beban kepada pengundi yang sentiasa akan membawa perubahan kepada peratusan kerusi yang dipertandingkan. Pengundi muda dilihat sebagai lapisan masyarakat yang bakal menggegarkan pentas politik Malaysia. Pengundi muda juga menerima impak yang sangat hebat apabila ditabal sebagai pemimpin dan boleh membuat keputusan untuk negara. Bagaimana pula dengan pengundi yang bukan berada dalam kategori belia ini iaitu berusia lebih daripada 40 tahun? Adakah mereka bukan penjana kepada perubahan sistem politik pada hari ini?

Keseimbangan antara pengundi muda dan pengundi ‘lebih berpengalaman’ ini perlu berada pada paras yang sama kerana kedua- duanya menyumbang kepada peratusan undi dalam pilihan raya. Kelihatan pengundi muda sentiasa mendapat perhatian kerana bukan saja golongan wanita yang menghayun buai boleh menggegarkan dunia tetapi orang muda juga boleh berbuat demikian.

Namun, di mana ketepatan hujah tentang perkara tersebut sedangkan peratusan penduduk di beberapa kawasan selain daripada Kelantan dan Johor mempunyai peratusan penduduk berusia 23 hingga 27 tahun di bawah 14 peratus mengikut taburan penduduk dalam Pilihan raya Umum Ke-12 yang lalu.

Adakah ini menunjukkan bahawa bukan sahaja pengundi muda mampu membawa perubahan, tetapi kesinambungan tradisi dalam kalangan pengundi lebih berpengalaman juga banyak memberi sumbangan kepada proses demokrasi negara Malaysia yang sudah bertapak lebih daripada 50 tahun?

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]