Oleh Noor Sulastry Yurni Ahmad SABAN hari negara Malaysia dikejutkan dengan pelbagai insiden yang kurang sedap didengar oleh masyarakat umum. Satu persatu isu ditimbulkan untuk menarik perhatian umum seperti isu rasuah, kemalangan maut, pengetua sekolah, konflik parti politik, hudud hinggalah isu perkauman. Ternyata isu-isu yang dibangkitkan ini dilihat sebagai sebuah penentangan terhadap status quo pemerintah yang sering dilabel sebagai satu anasir subversif, petualang atau penderhaka sedangkan jika dilihat dari konteks yang berbeza, ia hanya mahu melahirkan suatu idea yang berbeza atau aliran alternatif kepada aliran perdana. Realitinya pihak pemerintah sering melaungkan slogan atau agenda demokrasi, hak istimewa, hak rakyat, kebebasan dan keadilan bersama. Namun, suara-suara yang melaungkan unsur-unsur negatif dan membawa imej tidak baik kepada negara tidak mendapat peluang dan tempat untuk menyuarakannya di media-media utama, termasuk di televisyen, radio atau di akhbar utama negara. Kehadiran mereka ini seolah-olah tidak wujud dan tidak perlu dipedulikan serta dianggap sebagai ‘alien’ atau sesuatu yang jelik untuk dipertontonkan kepada umum. Inilah yang mendesak kepada suara-suara ini beralih kepada media-media alternatif sebagai saluran untuk melaungkan demokrasi sebenar. Sistem pemerintahan Malaysia telah dibentuk melalui satu proses perundingan atau tawar-menawar (social bargaining) yang membuktikan kemampuan para pejuang terawal membentuk negara berdaulat dengan kebijaksanaan yang diwarisi pemimpin-pemimpin tempatan kini. Konsep nasionalisme dilihat sebagai satu alat pengukuhan hegemoni dalam pemerintahan Malaysia yang disuntik dengan semangat patriotisme dan kesetianegaraan. Anjakan paradigma ini tidak terkeluar daripada skop perbincangan tentang kepentingan adat Melayu yang terlalu menjunjung raja atau pemimpin mereka dari dulu hingga kini. Jika disingkap dalam kebanyakan sistem monarki moden, masih terdapat unsur-unsur tradisional lama dalam pemerintahan beraja feudal. Ternyata, pemerintahan feudal ini turut melalui satu proses transformasi yang ketara. Unsur-unsur feudal ini masih kekal hingga kini kerana golongan diraja dilihat sebagai pelindung rakyat, sangat berkuasa dan berdaulat. Sebagai contoh, dalam politik tradisional Melayu juga menggunakan frasa-frasa atau kata-kata yang melambangkan raja yang berkuasa dan mempunyai hubungan rapat dengan Tuhan. Secara langsung atau tidak langsung, ia dapat menambahkan rasa setia dan patuh terhadap sultan atau raja. Darjat taat setia masyarakat tempatan pada waktu ini boleh dianggap sebagai blind-acceptance yang hanya menerima apa sahaja yang diarahkan oleh pemimpin mereka. Mereka perlu menanam sepenuh kesetiaan, penghormatan dan keakuran kepada istana dan kepimpinan istana itu dan jarang sekali mereka menderhaka kepada raja. Budaya politik Melayu kini tidak lagi hanya berkisar kepada persoalan tentang ketuanan Melayu dan aspek ekonomi sahaja. Kerajaan sudah menyerap nilai-nilai sejagat seperti keadilan, ketelusan, urus tadbir yang baik, hak asasi dan bercirikan Islam telah disuarakan dengan lebih lantang. Di samping itu juga, peranan agensi-agensi state seperti polis, tentera dan sebagainya sangat signifikan bagi memastikan pengukuhan status quo atau kedudukan badan pemerintah. Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan KolejUniversiti (AUKU), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan akta-akta lain merupakan pendekatan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memantau dan mengawal pergerakan masyarakat tempatan, parti-parti pembangkang, badan-badan NGO dan sebagainya yang cuba membawa kemusnahan kepada keharmonian negara. Seperti yang dinyatakan oleh Shamsul Amri dalam Dewan Masyarakat Keluaran Khas Pilihan Raya 2008, halaman 9-10, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008, ramai yang tidak memberi perhatian kepada pembangkang kerana mereka tertumpu pada parti pembangkang, tetapi tidak kepada fenomena “kepembangkangan” yang lebih luas yang melibatkan NGO dan kelompok yang menggunakan NGO. Jelas beliau lagi, kekalahan BN tidak menunjukkan kekuatan atau kelemahan parti politik berkenaan, sebaliknya memaparkan kepada umum bagaimana pengundi bandar boleh memilih apa-apa yang disukai oleh mereka. Dimensi “kepembangkangan” di bandar tidak diambil kira atau dianggap penting oleh pihak kerajaan. Antara faktor penting dan penyebab kepada gelombang perubahan ini adalah kuasa blog yang berupaya membangkitkan sokongan kepada parti pembangkang. BN banyak mendominasi arus perdana dan tidak memberikan sebarang ruang kepada pembangkang untuk bersuara. Kebangkitan kuasa ini berjaya menumbangkan kuasa media ini. Namun begitu, fokus terhadap dua desakan yang dimahukan oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah adalah desakan yang diterima daripada parti yang telah memerintah selama lebih 50 tahun dengan keterujaan rakyat yang mahukan reformasi mengambil tempat. Apabila berlaku pertembungan di antara desakan kedua-dua impian ini, yang kuat pasti akan berjaya. Keputusan lebih memihak kepada parti pembangkang yang melaungkan ideologi-ideologi nasional yang dekat dengan kehidupan rakyat berjaya menambat hati pengundi hingga membawa kepada kejayaan mereka menakluki Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Kedah. Dalam mana-mana sistem politik, persaingan memang wujud dan tidak pernah berhenti dan masyarakat yang terbentuk lebih bersifat terbuka dan seimbang. Tetapi dalam pemerintahan di Alam Melayu ini, elemen demokrasi yang dipraktikkan telah menguatkan kepatuhan, kesetiaan, keakuran, ketaatan yang dicurahkan oleh rakyat Malaysia terhadap pemerintah yang lahir secara semula jadi dan tidak perlu sentiasa mengawal hati dan minda rakyat. Kesetiaan yang dicurahkan oleh rakyat tidak pernah berhenti dan akan terus berjalan. Ini turut menjelaskan konstruksi sosial yang dibentuk melalui hegemoni lembut iaitu consent yang diperkukuhkan dengan pengenalan dan penguatkuasaan undang-undang autokratik yang bersifat force telah mengikat tingkah laku politik masyarakat atas dasar tanggungjawab mereka untuk mematuhi arahan yang diberikan dan tidak timbul isu rasa takut dan gerun di kalangan masyarakat terhadap kuasa pemerintah itu. Secara umumnya, golongan masyarakat menganggap pelaksanaan undang-undang itu adalah perlu dan harus dipikul kerana mereka menganggap dasar-dasar yang diperkenalkan itu adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Masyarakat pada zaman globalisasi kini lebih berpendidikan, bijak dan rasional dalam menilai sebelum membuat keputusan. Bagaimanapun, kedudukan selesa atau hegemonik kerajaan pada hari ini sudah mula dicabar dan dianggap tidak lagi relevan. Seperti yang diketahui umum, budaya politik bukanlah sesuatu yang bersifat statik tetapi akan bertindak balas terhadap idea-idea baru sama ada ia dijana dari dalam sistem itu sendiri ataupun diterima dari anasir-anasir luar. Secara relatif, kestabilan sesuatu sistem politik bergantung kepada sikap-sikap baru atau kegagalan proses asimilasi sikap-sikap baru ke dalam struktur nilai yang sedia ada. Apa yang lebih utama, budaya politik yang menjadi amalan merupakan faktor terpenting dalam pembentukan kepimpinan sesuatu bangsa. Malah, kepimpinan politik juga berperanan dalam mewarnai idea dan corak budaya politik tersebut. Dan inilah yang membawa kepada kepada bangkitnya penggunaan ICT secara meluas dan semakin mempengaruhi cara hidup masyarakat. Masyarakat tidak terhad untuk mendapat pelbagai maklumat secara pantas dan boleh mengakses maklumat yang dikehendaki. Bahkan, penggunaan blog dan internet secara meluas telah mempercepatkan proses pensejagatan dan globalisasi dalam ruang kehidupan masyarakat Malaysia. Melihat kepada fenomena yang berlaku, sememangnya tidak dinafikan bahawa perhatian minimum yang diberikan terhadap perkembangan media maya seperti blog-blog persendirian ini telah memberi natijah yang begitu besar kepada pihak kerajaan. Serangan terhadap kerajaan melalui laman-laman blog dan internet ini dilihat sebagai antara faktor penyumbang yang mempengaruhi pengundi sehingga membawa kepada kegagalan BN mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya yang lalu. Kewujudan blog-blog ini telah memberi dimensi baru kepada masyarakat untuk memilih alternatif baru bagi menyatakan sokongan mereka apabila jentera pentadbiran kerajaan tidak lagi dianggap relevan. Justeru, kecenderungan masyarakat yang mula berubah kepada fenomena baru ini telah menjadikannya sebagai satu platform kontra-hegemoni yang lebih bebas dan terbuka tanpa sebarang sekatan yang menindas, mencengkam ataupun terkawal sebagaimana berlaku dalam kepimpinan terdahulu. DR. NOOR SULASTRY YURNI AHMAD ialah Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi/Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya. |
Thursday, January 6, 2011
Relevankah hegemoni dalam demokrasi Malaysia?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment