Daripada 15.6 juta warganegara yang berumur 21 tahun ke atas, jumlah yang mendaftar sebagai pemilih sehingga Mei 2010 adalah 11,247,525 orang. Ini bermakna terdapat 4.3 juta warganegara yang layak mengundi masih belum mendaftar. Jumlah ini dijangka terus meningkat kerana warganegara yang mencapai umur 21 tahun bertambah sekitar 450,000 setiap tahun, manakala jumlah yang mendaftar mengikut tahunan sekitar 250,000 sahaja. Jika pertambahan jumlah ini konsisten dan berterusan, maka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti, jumlah rakyat yang tidak dapat mengundi dijangka meningkat hampir lima juta. Ini satu fenomena yang serius dan merugikan negara kerana kira-kira 30 peratus rakyat yang layak tidak dapat menggunakan hak selaku pengundi dalam proses demokrasi bagi menentukan masa depan negara. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku di negara kita, sebuah negara yang pesat membangun serta mempunyai rakyat yang berpelajaran. Selepas 53 tahun merdeka dan telah melalui 12 PRU, sepatutnya tiada rakyat negara ini terutama golongan muda dan lepasan sekolah, kolej atau universiti tidak tahu tentang hak dan kewajipan mengundi bagi memilih wakil dan kerajaan. Sehubungan itu, terdapat pihak menganggap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak agresif dalam urusan pendaftaran pemilih. Ada yang menyalahkan sistem atau kaedah pendaftaran seperti mempersoalkan mengapa tidak menggunakan kaedah-kaedah pendaftaran yang lebih mudah untuk menarik minat golongan muda supaya mendaftar seperti memperkenalkan sistem pendaftaran dalam talian atau mengapa tidak memperkenalkan sistem pendaftaran automatik iaitu mengambil terus maklumat dan data warganegara yang mencapai umur 21 tahun dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). SPR sebenarnya telah membuat kajian terperinci berhubung kaedah-kaedah pendaftaran automatik dan pendaftaran dalam talian meliputi aspek-aspek teknikal, proses pelaksanaan dan undang-undang secara mendalam serta implikasinya kepada urusan pilihan raya iaitu masalah-masalah yang akan timbul jika ia dilaksanakan. Daripada hasil kajian tersebut, SPR mendapati jika kaedah-kaedah tersebut hendak dilaksanakan, beberapa dasar lain di bawah bidang kuasa agensi-agensi yang berkaitan perlu dipinda atau dikuatkuasakan sepenuhnya. Pertama sekali, undang-undang untuk melaksanakannya perlu disediakan, selain satu pindaan kecil dilakukan melibatkan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Penguatkuasaan undang-undang berhubung pertukaran alamat bermastautin bagi rakyat yang bertukar alamat perlu dikuatkuasakan. Jika undang-undang itu tidak disediakan, maka dalam situasi sekarang, sebarang langkah untuk melaksanakan kaedah pendaftaran secara automatik atau dalam talian tidak dapat dibuat kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah melibatkan urusan pilihan raya dan rakyat pada hari mengundi. Sistem pendaftaran secara automatik juga akan memberi kesan kepada taburan pemilih yang tidak seimbang di bahagian-bahagian pilihan raya di seluruh negara yang nanti akan memerlukan satu pindaan dibuat. Perubahan yang drastik ini akan menyulitkan urusan pilihan raya. Sistem pendaftaran dalam talian pula jika dilaksanakan, ia mungkin dapat membantu masalah rakyat yang malas untuk keluar mendaftar, tetapi cara ini akan membuka peluang penipuan pendaftaran oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. SPR juga akan menghadapi kesukaran untuk mengesan kesahihan pemohon sebenar melainkan terpaksa menggunakan kaedah bio-metrik untuk mengesan cap jari pemohon setiap kali permohonan diterima melalui talian. Itu pun belum tentu dapat mengelak penipuan pendaftaran yang boleh berlaku. Pada 2006, satu kajian dibuat di seluruh negara oleh pasukan penyelidik dari sebuah universiti tempatan yang dilantik SPR untuk menjalankan survei mengenai mengapa terdapat ramai warganegara yang layak tidak mendaftar sebagai pemilih. Kajian melalui soal-selidik itu ditumpukan kepada golongan muda berumur 21 tahun ke atas. Hasil kajian itu, mendedahkan empat faktor utama mengapa golongan muda tidak mendaftar sebagai pemilih: (a) Faktor sikap. Mereka tidak memberi keutamaan kepada usaha untuk mendaftar sebagai pemilih. Mereka memberi alasan peribadi mengapa mereka belum mendaftar iaitu sibuk bekerja, tidak ada masa, tidak kisah, tidak minat politik, sibuk urusan keluarga, tiada faedah dan terlupa mendaftar. (b) Faktor sistem pendaftaran. Mereka memberi dua alasan iaitu pertama, menganggap kaedah pendaftaran mengikut alamat kad pengenalan dikatakan tidak memberi banyak faedah kerana mereka tidak tinggal (bermastautin) di situ. Mereka juga tidak mempunyai masa untuk mengemaskini alamat yang dicatat di dalam kad pengenalan di JPN kerana kesibukan atau sebab-sebab tertentu yang memerlukan pertukaran alamat dalam kad pengenalan dibuat. Alasan kedua ialah sibuk dan tidak mempunyai masa untuk pergi ke kaunter pendaftaran di pejabat-pejabat pos atau di pejabat-pejabat SPR. (c) Faktor infrastruktur. Mereka tidak ada masa atau malas mendaftar kerana terpaksa menunggu lama di pejabat-pejabat pos atau masalah untuk pergi ke pejabat-pejabat SPR. (d) Faktor maklumat. Mereka memberi alasan tidak tahu di mana tempat mendaftar, tiada siapa yang memberitahu atau menasihati mereka supaya mendaftar, tidak tahu mengapa perlu mendaftar, tidak tahu syarat-syarat mendaftar dan menyangka bahawa mendaftar sebagai ahli parti politik sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Mengambil kira dan berpandukan hasil kajian tersebut, sejak tahun 2007, SPR telah mengemas kini dan membuat penambahbaikan beberapa dasar berkaitan dengan urusan pendaftaran pemilih untuk menambah peluang kepada rakyat yang belum mendaftar. Banyak pendekatan baru diperkenalkan serta program-program pendaftaran telah dijalankan secara lebih agresif seperti berikut: (a) Menambah saluran pendaftaran untuk memudahkan rakyat mendaftar, selain program-program pendaftaran melalui pejabat-pejabat/kaunter-kaunter SPR termasuk aktiviti pendaftaran di luar pejabat (tempat-tempat tumpuan awam dan apabila SPR diundang oleh parti-parti politik/NGO atau sebagainya), serta melalui 690 kaunter pejabat pos di seluruh negara. SPR juga telah membuka ruang untuk rakyat mendaftar apabila lebih daripada 2,500 penolong-penolong pendaftar (PPP) sementara dari parti UMNO, MIC, Gerakan, PPP, PKR,DAP, PRM, PBS PPB, SUP, SPDP, LDP, LDP, SAPP, PBRS dan UPKO dibenarkan mendaftarkan sesiapa yang layak sebagai pemilih. Setiap pendaftaran melalui PPP akan disemak secara teliti bagi mengelak pendaftaran berganda atau penipuan. (b) Selain itu, SPR juga melantik wakil-wakil dari agensi-agensi kerajaan sebagai PPP termasuk pegawai dan pelajar-pelajar Malaysia yang layak di luar negara. (c) SPR juga melantik PPP dari kalangan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan masyarakat di setiap negeri termasuk pemimpin masyarakat di peringkat daerah, mukim dan kampung. (d) Pelbagai aktiviti 'turun padang' bagi mendekati rakyat di bawah program pendidikan pengundi/pendidikan pilihan raya melalui Hari Bersama Pelanggan, taklimat / ceramah di IPTA/IPTS, pusat-pusat latihan, PLKN dan sebagainya diadakan secara berterusan. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran golongan muda tentang hak mengundi dan tanggungjawab untuk negara. (e) Usaha mengingatkan rakyat melalui media cetak dan elektronik perlu digunakan secara meluas untuk memberi penerangan mengenai setiap isu berhubung dengan daftar pemilih dan urusan pilihan raya. SPR berharap dan menyeru kepada semua pihak lain yang berkenaan (kerajaan, parti-parti politik, NGO, persatuan masyarakat, kolej/universiti, ibu bapa dan lain-lain) supaya turut terlibat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat supaya mendaftar. (f) Publisiti mengenai pendaftaran pemilih melalui sepanduk dan risalah akan dikeluarkan secara meluas kepada umum untuk mengingatkan rakyat supaya mendaftar. Soal selidik tahun 2006 yang dijalankan itu juga menunjukkan faktor utama mengapa golongan muda tidak mendaftar bukan kerana masalah sistem atau kaedah pendaftaran tetapi lebih bersifat peribadi dan sikap. Dapatan hasil kajian juga menunjukkan bahawa kaum Melayu/Bumiputera walaupun menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi tentang hak dan tanggungjawab, tetapi pada waktu yang sama mereka adalah golongan majoriti yang memberi alasan-alasan peribadi mengapa tidak mendaftar. Hakikatnya, sehingga Mei 2010 terdapat 4.3 juta rakyat masih belum mendaftar. Faktor peribadi dan sikap merupakan punca utama. Walaupun kajian menunjukkan terdapat faktor-faktor lain, tetapi sikap rakyat yang tidak memberi keutamaan untuk mendaftar merupakan faktor utama. Justeru, isunya sekarang adalah usaha semua pihak untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang hak dan tanggungjawab yang dijamin di bawah Perlembagaan yang perlu dilaksanakan. Buat masa ini, bukan sistem dan kaedah pendaftaran yang perlu diubah kerana kedua-duanya diakui ada kebaikan dan kelemahannya. SPR telah mengkaji secara mendalam mengenainya dan mendapati bahawa jika dilaksanakan, ia akan membawa kepada pelbagai masalah lain yang amat sukar untuk diatasi. Oleh yang demikian, sistem pendaftaran pemilih sepanjang tahun (SPPST) yang diguna pakai sekarang adalah kaedah terbaik dan sesuai untuk negara kita buat masa ini. DATUK WIRA WAN AHMAD WAN OMAR ialah Timbalan Pengerusi SPR. Daftar pemilih peranan SPR PENGESAHAN pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa masih ada 4.3 juta rakyat negara ini yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali. Walaupun kita tahu ramai yang mengambil mudah hal ini, angka sebanyak itu amatlah menggerunkan. Lebih-lebih lagi majoritinya adalah dari rakyat berbangsa Melayu. Hal ini disokong pula rumusan hasil kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO Malaysia, Hishamudin Yahya yang memperlihatkan nisbah pemilih Melayu dan bukan Melayu amat ketara perbezaannya iaitu 1 berbanding 40. Nisbah yang berbeza ini jika tidak ditangani dengan betul mungkin ada kebenaran dengan pandangan sesetengah penganalisis bahawa satu ketika nanti kuasa politik kaum Melayu akan hilang sedikit demi sedikit. Sebaliknya kuasa politik dan teraju negara ini akan didominasi oleh kaum-kaum lain. Ramai beranggapan patut menyalahkan parti-parti politik Melayu khasnya UMNO kerana tidak agresif membawa masuk pengundi-pengundi baru mendaftar sebagai pemilih sedangkan parti-parti lain terutama DAP begitu giat memainkan peranan mereka ke arah itu. Ini berbeza dengan parti-parti kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional (BN) yang ketinggalan mendaftarkan pengundi baru berbanding dengan usaha kaum masing-masing dalam PKR. Namun di sebalik pendedahan tersebut, satu persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah siapa yang sepatutnya memainkan peranan mendaftar pemilih baru? Adakah ia menjadi tanggungjawab parti-parti politik atau tanggungjawab SPR? Bukankah SPR yang sepatutnya memainkan peranan mereka menarik minat orang ramai mendaftar sebagai pemilih? Parti-parti politik hanyalah membantu dalam tugas-tugas suruhanjaya itu atas kapasiti menambah keahlian parti masing-masing. Bukanlah tugas hakiki parti politik untuk mencari, mempromosi dan mendaftar pengundi baru tetapi SPR yang sepatutnya berbuat demikian. Sepatutnya SPR telah mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem pendaftaran yang ada sekarang dan perlu dibuat penambahbaikan. Di era teknologi maklumat dan internet serta jalur lebar ini, pendekatan baru patutlah diambil oleh SPR bagi menjayakan proses mendaftar pemilih baru. Yakni tidak lagi seperti yang diamalkan sekarang yang didapati menyulitkan. Bukankah lebih mudah jika dapat mendaftar di rumah masing-masing daripada perlu pergi ke kaunter-kaunter dan mengisi borang tertentu? Setakat ini promosi untuk tujuan tersebut amat kurang. Sepanjang dua tahun kebelakangan ini tidak terdengar langsung apa-apa promosi melalui akhbar dan juga media elektronik, khasnya televisyen. Yang nyata hanyalah kelihatan kaunter-kaunter pendaftaran di tempat-tempat tertentu. Bagaimana pula orang ramai yang langsung tidak berurusan dengan pejabat pos, jika kaunter diletakkan di situ? Barangkali tidak akan menjadi kesalahan jika SPR dapat menyediakan sedikit insentif kepada orang ramai yang datang mendaftar. Rasanya dengan cara ini pasti hasrat menambah bilangan pemilih baru akan menjadi kenyataan. Yan, Kedah."> |
Thursday, January 6, 2011
Sistem pendaftaran SPR sesuai
Label:
SPR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment