Wednesday, January 19, 2011

TERKINI : KISAH HARIMAU PENAKUT

Isu liwat: Karpal Singh makin 'terperangkap'

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

KENAPA jadi tikus menyorok belakang almari, bapa segala hipokrit dan harimau penakut. Itulah beberapa gelaran yang diberikan oleh penulis-penulis blog dan ahli-ahli Parlimen Bebas kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Gelaran itu diberikan, sebagai luahan kekesalan apabila peguam veteran itu enggan menjadi saksi pihak pendakwaan dalam kes liwat kedua Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau dikatakan mengetahui perbuatan itu sejak 1997.

Isu berkenaan mula tercetus pada 16 Disember tahun lalu, apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan dalam blognya bahawa Karpal mengetahui aktiviti liwat Anwar lebih awal iaitu pada 1997.

Menurut Ahli Parlimen Bebas itu, rekod hansard Parlimen bertarikh 6 dan 22 Oktober serta 18 Disember 1997 menunjukkan Karpal yang ketika itu Ahli Parlimen DAP di Jelutong telah mendesak kerajaan menyiasat akuan bersumpah Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

''Azizan dan Ummi Hafilda telah mengadakan pertemuan sulit dengan Karpal sebelum itu dan pada tahun sama dalam satu ceramah DAP di Hotel Federal di Kuala Lumpur, Karpal sendiri menyatakan bahawa beliau mempunyai bukti berhubung salah laku seks Anwar. Tapi sekarang lain pula cerita Yang Berhormat Bukit Gelugor. Pusing 360 darjah!'' katanya.

Ekoran pendedahan Zahrain itu, sebuah blog, AIDC, mendedahkan secara terperinci rekod prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Disember 1998 yang mencatatkan pengakuan Azizan bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Karpal.

''Saya dan Ummi Hafilda berasa amat takut apabila diekori oleh orang-orang yang tidak dikenali. Berkemungkinan ada kaitan dengan surat yang kami buat bertarikh 5 Ogos 1997.

''Sebelum itu saya ada menerima panggilan telefon daripada Anwar yang bertanya bagaimana saya boleh terlibat dengan pengakuan bersumpah dan perihal salah laku Timbalan Perdana Menteri. Anwar amat memarahi saya. Setiap malam dan waktu siang, rumah saya di Rawang sentiasa diperhatikan oleh orang yang tidak dikenali," kata Azizan.

Bekas pemandu peribadi Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama Ummi Hafilda telah menemui Karpal di pejabatnya di Lorong Pudu, Kuala Lumpur untuk mendapatkan nasihat undang-undang kerana mereka sentiasa diekori selepas menghantar surat perihal salah laku Anwar kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Blog yang sama turut menyiarkan petikan hansard bertarikh 6 Oktober 1997 apabila Karpal pernah bertanya soalan nombor 29 pada sesi soal jawab Dewan Rakyat yang berbunyi: ''Sejauh manakah perkembangan siasatan polis berkenaan dengan satu laporan yang dibuat oleh salah seorang pegawai Anwar di atas tuduhan salah laku yang dilemparkan kepadanya."

Hansard Parlimen bertarikh 22 Oktober 1997, mencatatkan cabaran Karpal supaya Anwar tampil membuat penjelasan untuk membersihkan namanya berkaitan dengan surat mengenai salah lakunya:

''Baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pun ada beberapa tuduhan yang dibuat oleh dua orang, seorang adalah pemandu (Azizan) dan seorang lagi adik kepada setiausaha politik beliau (Ummi Hafilda). Kedua-dua mereka telah berjumpa saya dalam bulan Ogos (1997), berjumpa kerana nyawa mereka dalam bahaya."

Hansard Parlimen bertarikh 18 Disember 1997 pula, merekodkan nada Karpal lebih keras dengan mendedahkan isu kandungan pengakuan bersumpah Azizan yang mengaku diliwat serta mendesak mangsa dipanggil ke Parlimen bagi membuktikan kata-katanya adalah benar.

Walaupun pelbagai bukti telah dikemukakan, peguam veteran berkenaan telah mengambil sikap berdiam diri sehingga menyebabkan Zahrain sekali lagi mendesak pada 3 Januari lalu supaya Jabatan Peguam Negara memanggil Karpal untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes liwat kedua Anwar.

Tambah beliau, sukar diterima akal apabila Karpal sudi menjadi peguam bela Anwar dalam kes liwat kedua sedangkan pada 1997, Pengerusi DAP itulah yang mengkritik kerajaan, kononnya lambat bertindak terhadap salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Tegasnya lagi, Karpal tidak layak melabelkan pihak lain sebagai hipokrit kerana beliau ialah 'bapa segala hipokrit' kerana cuba menyembunyikan rahsia besar semata-mata untuk kepentingan politik DAP.

Turut memberi komen mengenai keengganan Karpal menjadi saksi itu ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Zulkifli yang pernah mewakili Anwar dalam kes liwat pertama dalam blognya pada 8 Januari lalu berkata, Karpal 'wajib' disapina sebagai saksi pendakwa raya dalam kes liwat kedua kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai aktiviti liwat Anwar dalam kes pertamanya.

Katanya, Pengerusi DAP itu juga boleh dikenakan tindakan menghina Parlimen sekiranya dalam keterangannya sebagai saksi nanti, beliau menafikan mempunyai bukti aktiviti liwat Anwar seperti yang didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.

Dalam pada itu, Choo Keong melalui entri terbaru dalam blognya http://weechookeong.wordpress.com bertajuk "Adakah ia seekor harimau dengan lidah bercabang" pula menggelar Karpal sebagai 'harimau pengecut' kerana tidak berani mempertahankan prinsip walaupun mempunyai bukti mengenai perlakuan seks songsang anak guamnya.

Katanya, Karpal juga sanggup membuat 'pusingan U' dengan mengeluar kenyataan seolah-olah 'bersetuju' dengan pendirian Dr. Mahathir pada 1997 yang menolak desakannya supaya Anwar disiasat.

Setelah diasak bertalu-talu, Karpal baru-baru ini menjelaskan keengganan beliau untuk menjadi saksi pendakwa dalam kes liwat kedua adalah kerana Anwar telah 'dibebaskan' oleh Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan kes liwatnya yang pertama.

Jawapan Karpal itu, kemudiannya ditempelak oleh Zahrain yang menyifatkan Pengerusi DAP berkenaan sebenarnya cuba mengelirukan rakyat. Jelas Zahrain, penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan bertarikh 2 September 2004 yang turut diterbitkan dalam Jurnal Undang-Undang Malaya (MLJ) mendedahkan bahawa memang terbukti berlaku aktiviti liwat tetapi Anwar 'dibebaskan' atas faktor teknikal.

Walaupun ditempelak, Karpal masih berdolak-dalik dengan memberikan alasan lain pada Ahad lalu, bahawa kes liwat kedua Anwar yang melibatkan Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada 2008 itu tidak berkaitan langsung dengan kenyataannya pada 1997. Katanya, kes liwat pertama yang melibatkan Azizan itu telah selesai dan pihak yang membuat desakan berkenaan tidak mempunyai asas dan tidak faham undang-undang.

Alasan demi alasan terus diberikan bagi mengelak menjadi saksi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]