Memilih calon boleh menang Oleh ZULKIFLEE BAKAR pengarang@utusan.com.my SEMUA ahli politik sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri bercita-cita menjadi wakil rakyat atau yang berhormat atau lebih tepat lagi bertanding dalam pilihan raya. Biarpun ada antara mereka baru setahun jagung dalam politik, tetapi mereka sudah ada impian menjadi wakil rakyat tanpa menilai sejauh manakah rakyat menerima mereka. Masalahnya, kelompok yang mempunyai cita-cita ini sentiasa sahaja merasakan mereka layak dan berhak dipilih oleh parti untuk bertanding. Pelbagai usaha mereka lakukan bagi menonjolkan diri manakala pemilihan parti di peringkat bahagian dijadikan platform utama bagi mengorak langkah bagi mencapai cita-cita mereka menjadi 'Yang Berhormat'. Kononnya dengan memegang jawatan di dalam parti, ia akan menjadi 'kad jaminan' bahawa merekalah paling layak menjadi calon berbanding dengan orang yang tidak berjawatan. Tetapi mereka terlupa senario politik negara sudah berubah. Memiliki jawatan dalam parti dan berasa popular melalui publisiti bukanlah bermaksud ia calon pilihan rakyat. Sebab itulah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi isyarat awal kepada mereka yang terlalu bercita-cita menjadi wakil rakyat bahawa parti itu mahu mengetengahkan mereka yang boleh menang sahaja dalam pilihan raya umum akan datang. Najib juga 'melenyapkan' angan-angan mereka yang berasa begitu berkuasa apabila mempunyai jawatan dalam parti dengan menegaskan, ''Pemilihan calon yang boleh menang itu tidak semestinya seseorang yang mempunyai kedudukan atau popular dalam parti, sebaliknya mereka yang diterima baik oleh rakyat secara keseluruhannya.'' Oleh itu kepada pemimpin-pemimpin BN di semua peringkat terutama dalam UMNO yang masih lagi merasakan jawatan dalam parti adalah 'tiket ekspres' untuk dipilih sebagai calon pilihan raya, lupakan sahaja hasrat itu. Kalau benar mereka pemimpin yang baik dan berkhidmat demi rakyat melalui perjuangan dalam BN, maka lupa dahulu soal akan dipilih sebagai calon atau tidak. Turunlah ke padang berbakti kepada rakyat, dampingi mereka setiap masa dan selesaikan masalah mereka. Jangan hanya muncul ketika musim pilihan raya, sedangkan pada waktu-waktu lain lebih banyak masa dihabiskan di luar kawasan. Populariti di kalangan rakyat adalah lebih penting berbanding dengan popular di dalam parti. Tiada gunanya kita hanya popular di dalam parti sedangkan apabila berakhirnya pilihan raya, rakyat menolak mentah-mentah. Berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Najib itu, maka semua pemimpin BN perlu bekerja bersungguh-sungguh meraih sokongan rakyat supaya apabila menjelang pilihan raya, nama mereka akan terpilih. Kriteria calon boleh menang itu adalah satu pendekatan yang akan menghapuskan perasaan kebal yang selama ini wujud di kalangan sesetengah pemimpin di peringkat bahagian. Selama ini, dalam beberapa pilihan raya kita sudah muak untuk mendengar ada di kalangan pemimpin bahagian tertentu merajuk atau berkecil hati kerana tidak terpilih. Puncanya kerana menganggap dia paling layak memandangkan dia ada jawatan. Tetapi soalnya yang akan mengundi ialah rakyat. Mereka lebih bijak menilai siapa yang paling layak menjadi wakil rakyat mereka. Oleh itu, dalam soal ini, Najib dan kepimpinan UMNO serta BN tidak perlu lagi mempunyai perasaan bimbang apatah lagi takut untuk membuat keputusan. Jika pucuk pimpinan parti merasakan ada calon lebih layak berbanding dengan pemimpin yang ada jawatan dalam parti, maka pilihlah calon yang tidak berjawatan tersebut. Matlamat utama adalah untuk menang dalam pilihan raya. Sekarang bukanlah zaman untuk pujuk memujuk atau rajuk merajuk. Kalau ada pemimpin yang awal-awal lagi sudah melahirkan hasrat untuk tidak mahu bertanding dalam pilihan raya, maka hormatilah keputusan beliau. Begitu juga jika ada pemimpin yang dirasakan oleh pucuk pimpinan parti sudah sampai masanya berundur diri memandangkan populariti di kalangan rakyat semakin merudum, mereka juga perlu 'direhatkan'. Pilihan Raya Umum Ke-13 amat penting untuk survival politik BN. Ia bukanlah masa bagi menentukan karier politik sesiapa. Jika seseorang ahli politik itu masih diterima oleh rakyat, maka pilihlah dia tetapi kalau dia sudah ditolak oleh rakyat atau mempunyai persepsi tidak baik di kalangan rakyat, maka jangan perjudikan nasib parti dengan memilihnya sebagai calon dalam pilihan raya. Sejarah pilihan raya sudah membuktikan dengan pelbagai senario politik yang berlaku tidak boleh ada lagi tanggapan bahawa ada mana-mana kawasan yang selamat untuk mana-mana juga parti. Ada parti yang tewas di kubu kuat sendiri, malahan ada wakil rakyat yang berpenggal-penggal di sesuatu kawasan turut tewas akibat ditolak oleh rakyat. Justeru, jelaslah syarat calon yang diterima baik oleh rakyat secara keseluruhannya adalah syarat wajib dalam penentuan calon bagi BN selepas ini, tiada lagi kompromi apatah lagi pujuk memujuk. Jika seseorang ahli politik itu berdegar-degar bercakap dia berjuang untuk parti, bangsa dan agama maka sudah pastilah dia akan reda jika tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya. Dalam soal memilih calon yang diterima oleh rakyat pula, pucuk pimpinan seharusnya tidak seharusnya merujuk 100 peratus cadangan yang dikemukakan oleh bahagian. Malahan komponen BN juga harus menerima hakikat bahawa mereka tidak ada kuasa 100 peratus menentukan siapa calon yang mereka mahu. Jika calon yang mereka cadangkan dilihat tidak berupaya menang tetapi disenaraikan hanya kerana dia popular dalam parti, maka pucuk pimpinan BN berhak menolaknya. Atas sebab itu, input pihak ketiga atau berkecuali amat penting. Ia kerana pemilihan calon tidak boleh lagi berdasarkan kepada pilihan bahagian semata-mata. Apa yang lebih mustahak ialah penerimaan rakyat kerana merekalah yang akan mengundi. Jika calon yang dipilih oleh parti dilihat tidak sesuai dengan mereka, maka sudah pasti mereka menolak calon berkenaan, biarpun calon itu dilihat cukup popular di kalangan ahli parti. Selain itu, perlu juga ada keberanian untuk tidak menyenaraikan ahli politik yang berkali-kali bertanding dalam pilihan raya tetapi kalah hatta dalam kubu kuat pembangkang sekali pun. Dalam politik segala-galanya berkemungkinan, siapa tahu kalau muka baru dipilih ia mampu meranapkan kubu kuat pembangkang tersebut. Justeru sudah sampai masanya, semua ahli politik menerima syarat yang ditetapkan oleh Najib dengan hati terbuka. Apa yang beliau lakukan bukan sahaja demi kepentingan parti BN tetapi juga demi masa depan bangsa, agama dan negara. Ia kerana melalui penyenaraian calon yang diterima oleh rakyat sahaja, BN mampu mewujudkan satu barisan wakil rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen yang benar-benar mampu melaksanakan agenda untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Oleh itu, semua ahli politik di dalam BN perlu berjiwa besar dan bersedia berjuang dengan ikhlas, bukan semata-mata ingin menjadi wakil rakyat. |
Wednesday, January 19, 2011
ANGAN-ANGAN MENJADI YANG BERHORMAT
Label:
PRU 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment