Saturday, January 29, 2011

TERKINI : PAS MUFLIS IDEA

Pas guna 'skrip lama'


Sebahagian penyokong Pas semasa hari penamaan calon di Labis, baru-baru ini.


Gendang perang Pilihan Raya Kecil (PRK) di N5 DUN Tenang dengan rasminya telah dipalu sebaik sahaja proses penamaan calon pada 22 Januari lalu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua parti Melayu terbesar di negara ini, UMNO yang mewakili parti kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang mewakili pakatan pembangkang. Secara tradisinya, kedua-dua parti Melayu ini menjadi musuh dalam gelanggang pertarungan politik demokrasi.
Pertarungan untuk menawan hati pengundi menerusi kempen, poster dan siri lawatan ke rumah-rumah pengundi masih giat dijalankan oleh kedua-dua parti yang bertanding. Pelbagai cara digunakan untuk memastikan calon yang bertanding menang pada hari pengundian esok, 30 Januari.
Seperti amalan biasa, sikap pembangkang yang memutarkan 'skrip lama' yang biasa mereka gunakan terutamanya apabila tiba musim pilihan raya berulang kembali di PRK DUN Tenang ini yakni memperalatkan agama untuk tujuan meraih sokongan politik. Sikap ini amatlah dikesalkan.
Menurut laporan media tempatan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin tidak mempunyai hak di sisi agama untuk mengatakan bahawa mengundi calon UMNO pada PRK DUN Tenang adalah haram. Selanjutnya Muhyiddin berkata, rakyat mempunyai hak untuk membuat keputusan bagi mengundi mana-mana parti pada PRK DUN Tenang.
Beliau juga mendedahkan bahawa Pas pernah mengeluarkan fatwa mengatakan haram wanita bertanding, tetapi Pas kini telah 'menelan' balik fatwa tersebut.
Mungkin generasi muda terutamanya pengundi baru belum pernah mendengar isu 'Undi UMNO berdosa, undi Pas dapat pahala'. Kenyataan penuh polemik sebegini bukanlah kenyataan pertama yang keluar dari mulut pemimpin Pas. Akhbar-akhbar utama sebelum ini pernah melaporkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam sejurus selepas proses penamaan calon PRK N11 DUN Permatang Pasir pada 17 Ogos 2009 lalu bahawa anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.
Tambah beliau lagi, Islam di bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Di dalam laporan itu juga, Nik Aziz dipetik sebagai berkata, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO. Semasa kempen PRK Manek Urai yang lalu pula, beliau juga pernah dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengumpamakan UMNO sebagai komunis dan sesat.
Terkini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua seperti mana dilaporkan akhbar, telah memberi salam dengan mengucapkan 'Assalamualaikum' ketika berceramah di pentas ceramah kempen Pas di Taman Gunung Emas dalam kawasan DUN Tenang. Persoalannya, adakah Pas merestui rakan pakatan pembangkangnya dengan membenarkan Tian Chua melafazkan ucapan salam itu atau mungkinkah Pas cuba membuktikan kepada pengundi di DUN Tenang bahawa Pas telah berjaya mempengaruhi rakan politiknya itu untuk lebih mendalami Islam.
Amalan melafazkan 'Assalamualaikum' yang bermaksud 'sejahtera ke atas kamu' adalah amalan sesama orang Islam bertujuan memohon kepada Allah supaya melimpahkan rahmat kesejahteraan kepada umat Islam satu sama lain.
Sebelum ini pun, ada pemimpin bukan Islam dari parti pembangkang menggunakan ayat suci al-Quran. Menurut laporan akhbar, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dari DAP telah menyelitkan bacaan ayat suci al-Quran ketika berceramah dalam kempen PRK Bukit Gantang dan Wong Kar Who, juga dari DAP pernah menyelitkan bacaan ayat al-Quran ketika membahas pembentangan Bajet 2009 negeri Perak.
Perkara yang sama berlaku semasa Kongres Nasional Tahunan PKR di Petaling Jaya pada tahun lalu apabila perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), K. Subramaniam membacakan tafsir daripada ayat 190 dan 191 Surah Ali Imran ketika beliau membahaskan ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari terakhir kongres tersebut.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed seperti mana yang dilaporkan akhbar ketika mengulas tindakan K.Subramaniam itu berkata, al-Quran merupakan kitab yang kesucian dan kehormatannya perlu dijaga dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya terutama untuk tujuan ceramah politik.
Selanjutnya beliau berkata, tidak salah sekiranya orang bukan Islam berhasrat mempelajari kitab suci umat Islam itu, tetapi ayat-ayat al-Quran tidak boleh digunakan dengan cara yang tidak betul sehingga boleh menimbulkan salah faham orang ramai.
Pas seharusnya peka dengan tindakan sekutunya dari pakatan pembangkang yang melibatkan perkara-perkara atau isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti orang Islam. Janganlah kerana inginkan kemenangan atau mendapat kuasa politik, Pas seakan-akan terlepas pandang isu ini.
Datuk Zainal Abidin Osman seperti yang dilaporkan akhbar ketika mengulas isu salam ini berkata, perbuatan Tian Chua itu jelas bermotifkan politik tanpa memikirkan perasaan penganut agama Islam. Selanjutnya beliau berkata, sekiranya perbuatan itu semata-mata untuk mendapat sokongan pengundi Melayu, maka perbuatan itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Justeru itu, semua pihak sewajarnya tidak mempolitikkan agama bagi kepentingan peribadi semata-mata, apatah lagi melibatkan orang-orang bukan Islam yang menggunakan dan mentafsirkan ayat-ayat suci al-Quran mengikut kefahaman masing-masing. Hormatilah sensitiviti umat Islam!
Nadzir Awang Ahmad @ Said
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi Mara Perlis

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]