Saturday, February 12, 2011

BN janjikan calon terbaik di Merlimau

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan calon terbaik iaitu yang menepati kehendak rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac ini.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kehidupan rakyat terus terbela di samping mengekalkan prestasi kemenangan di DUN Tenang baru-baru ini.
Menurut Najib, Pilihan Raya Kecil DUN Tenang telah membuktikan bahawa faktor calon memainkan peranan yang amat penting dalam usaha memenangi hati rakyat selain mampu menghadapi serangan parti lawan.
"Jadi, pada pilihan raya kecil di Merlimau nanti, kita akan meletakkan calon berwibawa, disenangi rakyat dan tiada masalah peribadi.
"Selain calon, jentera juga telah digerakkan dan saya sendiri akan turun ke sana pada 19 Februari nanti. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pula akan turun pada 14 Februari ini.
"Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam khabarnya menghabiskan masa selama enam jam sehari di kawasan itu," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama Muhyiddin serta ketua-ketua parti komponen BN.
Dalam pada itu mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai pencapaian memberangsangkan BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang tersebut.
"Peningkatan majoriti sehingga 50 peratus dan kita percaya sekiranya tiada banjir, BN akan memperoleh majoriti lebih besar daripada 3,707 undi.
"Pilihan raya itu juga membuktikan pembangkang tidak dapat bertapak di Johor walaupun pemimpin-pemimpin besar mereka turut berkempen di sana," katanya.
Perdana Menteri juga berpuas hati dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Felda sama ada peneroka serta generasi kedua mereka, terhadap BN pada pilihan raya kecil tersebut.
"Buktinya warga Felda menyumbang 2,500 majoriti kemenangan BN di sana di sebalik tohmahan pembangkang kononnya Felda telah bankrap," katanya.
Beliau dalam perkembangan lain turut mengumumkan penganjuran konvensyen BN di negeri-negeri dan antaranya di Kuching Sarawak pada 5 Mac ini.
Ditanya adakah konvensyen itu menjadi isyarat Pilihan Raya Negeri Sarawak semakin hampir, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Kita perlu tanya Ketua Menteri. Beliau telah mendapat ilham (tarikh pilihan raya) atau tidak," ujarnya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]