Lapan pemimpin kanan pembangkang jadi jutawan segera IPOH 11 Feb. - Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Fauzi Muda mendedahkan terdapat lapan pemimpin kanan PKR, DAP dan Pas menjadi jutawan segera dalam tempoh 11 bulan pakatan pembangkang mentadbir Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008. Berikutan itu Fauzi, 51, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat apa didakwanya berlaku penyelewengan dan salah laku dalam kepimpinan kerajaan negeri ketika itu. Untuk tujuan itu, beliau menyerahkan nama lapan individu tersebut yang terkandung dalam laporannya kepada SPRM Perak di pejabat suruhanjaya itu di sini pada pukul 11 pagi ini. Bekas Ketua Pemuda PKR Cabang Ipoh Barat, V. Subramaniam yang menyertai Gerakan kelmarin turut menemani Fauzi membuat laporan tersebut. Fauzi ketika ditemui selepas itu memberitahu, sebelum memperoleh kuasa, lapan individu terbabit termasuk seorang wanita hidup susah ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta tidak mempunyai pekerjaan. "Tiba-tiba dalam tempoh 11 bulan pakatan pembangkang mentadbir Perak, lapan individu ini berjaya mengubah taraf dan gaya hidup. "Mereka mampu membeli rumah dan kereta mewah berharga ratusan ribu ringgit, membayar hutang dan mendapat rawatan di hospital swasta yang mahal. Dari mana datangnya sumber kewangan ini?" soalnya. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama lapan individu tersebut kerana telah membuat akujanji dengan SPRM agar tidak mengganggu siasatan. Menurut Fauzi, dakwaannya itu mempunyai asas kukuh dan bukannya berunsur fitnah atau dendam terhadap mereka. "Perkara ini bukan saya sahaja yang pertikai tetapi ramai ahli dan pimpinan PKR serta pakatan pembangkang di Perak marah dengan apa yang berlaku. "Saya akan mengemukakan segala bukti dan saksi yang diperlukan oleh SPRM bagi membantu siasatan," tegasnya. Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat itu berkata, rakyat perlu melihat betapa rakusnya kepimpinan pakatan pembangkang dalam tempoh sesingkat 11 bulan. Katanya, semasa berkuasa, pemimpin pakatan pembangkang sibuk berebut jawatan dalam syarikat kerajaan negeri, jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, berebut tanah serta balak dan bukannya membela nasib rakyat. "Alhamdulillah, 11 bulan sahaja mereka berkuasa di Perak, kalau tidak, saya yakin negeri ini akan hancur kerana tindakan perakus, perompak dan lanun ini," ujarnya. TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: |
Saturday, February 12, 2011
Lapan pemimpin kanan pembangkang jadi jutawan segera
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment