Saturday, February 12, 2011

Loteri bebas dijual di Kota Bharu


Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

Seorang lelaki keluar dari sebuah kedai buku dan alat tulis setelah membeli tiket loteri di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 11 Feb. – Biar pun judi diharamkan di Kelantan sejajar konsep ‘Membangun Bersama Islam’ yang diamalkan oleh Kerajaan Pas negeri itu namun ia tetap berleluasa dan dijual secara terbuka terutama membabitkan loteri ‘Big Sweep’.

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) seolah-olah menutup sebelah mata kerana tiket loteri tersebut boleh dibeli dengan mudah di beberapa kedai buku dan alat tulis di sekitar bandar ini.

Begitu juga dengan empat nombor ekor, kaki judi boleh membelinya dengan mudah di kedai-kedai kopi dan ia sudah menjadi rahsia umum sejak 20 tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah kedai buku di sini baru-baru ini mendapati pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Gan tidak banyak bersoal-jawab ketika ditanya mengenai tiket loteri tersebut.

Gan berkata, dia telah menjual tiket loteri tersebut sejak puluhan tahun lalu dan tidak pernah dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa walaupun mengetahui ia melanggar peraturan.

“Jangan bimbang, tidak kena tangkap di sini, saya sudah lama jual loteri. MPKB-BRI tidak pernah datang sini buat pemeriksaan, nama saja undang-undang tapi tidak ada apa-apa.

“Ramai orang datang beli sini, Melayu pun ada, tidak jadi masalah kalau nak beli tiket loteri di sini,” katanya kepada wartawan yang berlagak seolah-olah mahu membeli loteri berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di sebuah kedai kopi mendapati kaki judi hanya menulis nombor di atas secebis kertas dan diberikan kepada peniaga atau pelayan bersama wang untuk membeli tiket judi empat nombor ekor.

Bagaimanapun, transaksi judi empat nombor ekor di kedai kopi itu agak sukar dikesan kerana ia hanya ditulis di atas cebisan kertas dan berasaskan prinsip saling mempercayai antara kaki judi dan pengendalinya.

Dalam pada itu Bendahari Pemuda UMNO negeri, Datuk Bazlan Baharuddin berkata, isu judi ‘haram’ yang berleluasa di negeri ini terutama di bandar ini bukan perkara baru dan ia sudah diketahui umum.

“Ini adalah rahsia umum dan semua orang tahu, tetapi mustahil MPKB-BRI tidak tahu ada premis yang menjual tiket loteri dan empat nombor ekor.

“Dahulu bising apabila ada cadangan judi bola tetapi sejak 20 tahun lalu, tiket loteri dan empat nombor ekor dijual depan batang hidung sendiri dibiarkan terus berleluasa. Adakah ini model kerajaan Islam yang ditunjukkan oleh Pas,” katanya.

Tambahnya, Pemuda UMNO negeri mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya membersihkan penjualan judi di negeri ini secepat mungkin bagi membuktikan bahawa mereka benar-benar menegakkan syiar Islam.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]