Sunday, February 20, 2011

BN kenal pasti calon terbaik

BN kenal pasti calon terbaik
Oleh Amirullah Andi Nur dan Junita Mat Rasid

2011/02/20
MERLIMAU: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah hampir mengenal pasti calon sesuai untuk dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini, dan DUN Kerdau di Pahang, yang diadakan serentak pada 6 Mac ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, nama calon parti untuk DUN Merlimau akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri Rabu ini manakala kerusi DUN Kerdau, sehari sebelum itu.
“Saya sudah terima senarai nama itu (calon BN di DUN Merlimau). Sekarang ini hampir hampir dah (nak dikenal pasti). Kita tidak ada senarai pendek, ada tujuh nama saya terima... kita akan tengok mana sesuai.
“Saya juga sudah terima senarai calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Kerdau. Ia bakal diumumkan pada 22 Februari ini," katanya selepas meninjau Kampung Tersusun Lipat Kajang, dekat sini, petang semalam.

Terdahulu beliau merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Mendapat, mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya kecil BN bagi DUN Merlimau dan bersolat Zuhur di Masjid Cenderah, dekat sini.

Kekosongan DUN Merlimau susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu, manakala Kerdau membabitkan Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, pada 12 Februari.

Semalam, keluarga Allahyarham Mohamad Hidhir menerima bayaran ganjaran perkhidmatan (gratuiti) daripada kerajaan negeri berjumlah RM184,433.66 sebagai mengenang jasa dan bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 2004, yang diserahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam kepada balu Allahyarham, Datin Noor Azian Mohd Ali di kediamannya di Kampung Tersusun Lipat Kajang, dekat sini.
Mengulas lanjut, Najib berkata, BN tidak menghadapi sebarang masalah dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan diadakan serentak.

"Kita tak ada masalah, dulu kita pernah buat ketika pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Kelantan apabila diadakan serentak. BN mempunyai jentera yang menyeluruh dan kita boleh bertindak dalam beberapa kawasan... malah lagi banyak, kita boleh hadapi," katanya.

Di Pagoh, Muhyiddin berkata, BN akan memilih calon terbaik yang akan diumumkannya, bagi kerusi DUN Kerdau dan Merlimau nanti, dan secara kasarnya semua yang layak sudah ditapis dengan teliti oleh pihak bertanggungjawab di peringkat negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri.

“Kita juga sedang meneliti latar belakang calon dan akan mengumumkan calon yang kita yakin terbaik untuk memimpin kedua-dua DUN berkenaan," katanya selepas Majlis Penerimaan Sumbangan dan Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Parlimen Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di Pagoh semalam.

Beliau berkata, BN tidak menganggap kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak itu memberi kelebihan atau kekurangan kepada BN kerana apa yang penting ialah jentera pilihan raya sentiasa bersiap sedia dan digerakkan dengan rapi serta mengikut strategi yang diatur.

Mengenai keyakinan BN untuk mengekalkan kedua-dua kerusi itu, Muhyiddin berkata, sebagai parti yang bertanggungjawab dan menguasai kedua-dua DUN itu sejak dulu lagi, pihaknya mempunyai keyakinan bahawa BN dan UMNO tetap kukuh, malah kedua-dua bekas wakil rakyat di kawasan berkenaan juga sudah memberi perkhidmatan terbaik.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]