Tuesday, February 8, 2011

Dari Tenang ke Merlimau



Oleh Dr.Siva

BERAKHIR sudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, kini masing-masing sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun barisan pembangkang akan menjadikan DUN Merlimau destinasi berikutnya.

Keputusan Tenang mengekalkan status quo kepada BN dengan kemenangan majoriti 3,707 undi berbanding 2,492 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008. Walaupun ramai menyatakan keyakinan BN akan menang selesa dan rata-rata membuat anggaran majoriti yang sama, namun apakah isyarat pengundi sebenarnya? Adakah kemenangan BN dan kekalahan Pas mempunyai nilai signifikan ke atas pola pengundian umum yang boleh digeneralisasikan di peringkat kebangsaan?

Ada juga sampai ke tahap mahu menyamakan mood Tenang dengan Pilihan Raya DUN Sarawak, walhal demografi dan geografi Sarawak jauh berbeza dengan Tenang. Kita tidak boleh menjadikannya sama dengan Sarawak kerana kerangka metodologi lain perlu digunapakai BN untuk kekal status quo di Sarawak.

Melihat pola pengundian di semua daerah mengundi, sudah pasti ia mempamerkan keputusan yang boleh berlaku di kawasan kubu kuat BN lain. Dengan peratusan keluar mengundi sekitar 67 peratus, Mohd. Azahar Ibrahim menang.

Ramai yang meneropong pola pengundian penduduk Cina kerana merasakan mereka menjadi penentu majoriti BN dalam PRK ini. Jangkaan bahawa sokongan pengundi Cina di bawah 30 peratus sebagaimana berlaku di Bukit Gantang, Bukit Selambau, Hulu Selangor dan Sibu tidak berlaku di Tenang. Barangkali sentimen pengundi Cina di Galas dengan sokongan 51 peratus dan Batu Sapi 65 peratus mempengaruhi trend di Tenang.

Berbanding dengan Labis Tengah yang sememangnya kawasan hitam BN, kawasan Labis Timor, Tenang Station dan Labis menampakkan perubahan signifikan. Hakikatnya, walaupun peningkatan sokongan pengundi Cina kecil, tetapi ia kekal penting sekali gus menstabilkan majoriti BN walaupun DAP berkeras menyatakan 70 peratus pengundi Cina menyokong calon Pas.

Adakah DAP khuatir stereotaip sebelum Mac 2008 akan menghantui mereka kerana parti itu sudah mula berasa liabiliti dengan kerjasama Pas, sebagaimana pasca PRU 1999 yang menyaksikan Pas bergantung kepada DAP untuk membolehkan pengundi bukan Melayu berpihak kepadanya selepas jentera MCA bergerak bersepadu untuk menggagalkan manipulasi DAP ke atas isu masyarakat Cina. Adakah ini punca sebenar penduduk Cina tidak keluar mengundi terutama pengundi atas pagar? Dua kategori pengundi yang membolehkan undi calon Pas meningkat dalam PRU ke-12 adalah pengundi atas pagar dan penyokong tegar BN yang melakukan undi protes dan ia tidak berlaku dalam PRK ini sehingga terhakisnya sokongan pengundi Melayu ke atas Pas.

Barangkali, mesej isu agama yang berbeza-beza daripada beberapa pemimpin Pas mengelirukan pengundi sehingga menimbulkan rasa curiga ke atas matlamat parti tersebut. Barisan pembangkang perlu sedar bahawa hanya sekadar bergantung kepada pengundi Cina tidak akan membantu untuk menang. Mereka juga memerlukan pengundi Melayu dan India di Tenang. Malangnya, kedua-dua kelompok ini tidak mempunyai sentimen kesetiaan tetap kepada barisan pembangkang. Faktor kesetiaan kepada BN boleh dijadikan punca kemenangan calon BN tetapi ia tidak boleh dianggap kekal dengan sendirinya oleh jentera BN.

Apakah yang boleh difahami daripada sentimen di Tenang. Pengundi mahu kepimpinan tahu kemahuan, keperluan dan pemikiran mereka. Klasifikasi pengundi yang berbeza menunjukkan masing-masing mempunyai kemahuan, keperluan dan cara pemikiran yang berlainan. Menyedari tiga elemen ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyusun strategi dengan pendekatan berbeza.

Pemimpin akar umbi yang aktif mendekati pengundi setempat, meningkatkan komunikasi politik dan menggunakan jaringan peringkat cawangan dari rumah ke rumah. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir yang kecewa, marah dan menyalurkan rasa tidak puas hati, akhirnya BN menang kerana perbezaan yang ketara diketepikan walaupun calon tidak memegang sebarang jawatan kepartian.

Begitu juga dengan meminimumkan penglibatan ‘orang luar’ yang kadangkala bersifat ‘lebih ligat Johornya’ daripada orang Johor sendiri sehingga memuakkan masyarakat tempatan. Walaupun pembunuhan karakter dilakukan, akhirnya ia berjaya diatasi oleh jentera BN kerana sokongan blogger dan media perdana serta alternatif dalam membuat pendedahan secara tersusun sehingga pembangkang bersifat defensif. Ia turut disokong oleh badan bukan kerajaan mesra BN yang memikul aspirasi mempromosi populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pelan transformasi beliau yang bertunjangkan konsep 1Malaysia.

Isyarat pengundi adalah jelas iaitu menghormati dan mengiktiraf kemahuan, keperluan dan menyelami fikiran mereka. Walaupun PRK penuh dengan kaedah tersusun untuk menang persepsi pengundi melalui manipulasi, helah, pembohongan dan penipuan, namun pengundi mahu parti politik sedar dan menghormati mereka sebagai masyarakat setempat yang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang layak untuk menang dan itu juga berlaku di Tenang kali ini.

Setiap pilihan raya memerlukan pemahaman demografi dan geografinya, termasuk DUN Merlimau. Kubu kuat BN, Merlimau akan menjadi taruhan barisan pembangkang untuk mengurangkan majoriti BN. Pada waktu yang sama, setiap PRK membolehkan pembangkang menyusup masuk menyampaikan fahaman politik sebagai persediaan PRU ke-13 agar dapat terus mempertahankan sekurang-kurangnya penyokong tegar mereka.

Dalam PRU 2004, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan menang dengan majoriti 5,087 undi selepas mendapat 6,332 undi berbanding dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jayathas Sirkunavelu yang mendapat 1,245 undi. Dengan kadar peratusan keluar mengundi hampir sama iaitu 76.18 peratus berbanding dengan 76.62 peratus pada 2004, Mohamad Hidhir mendapat 4,981 undi berbanding dengan calon Pas, Jasme Tompang yang meraih 2,827 undi pada Mac 2008. Majoriti menurun sebanyak 2,933 undi kepada 2,154 undi pada Mac 2008. Malahan, sokongan kepada Mohamad Hidhir menurun sebanyak 27 peratus berbanding dengan peningkatan undi kepada calon Pas sebanyak 127 peratus. Adakah ini kelompok atas pagar dan pengundi protes Mac 2008 yang perlu dikenal pasti di Merlimau oleh BN untuk memenangi PRK Merlimau dengan mengumpul majoriti seperti pada tahun 2004 iaitu lebih 5,000 undi atau sandaran majoriti BN kali ini adalah sekitar 3,400 hingga 3,900 undi jika mengambil perkiraan politik semasa pasca 2008.

Kemenangan BN bergantung kepada calon dan jentera pilihan raya. Sudah pasti sesuatu boleh dipelajari daripada kemenangan di Bagan Pinang, Galas dan Tenang. Pemimpin akar umbi harus diberikan penghormatan oleh kepimpinan atasan dengan penyokong serta pemimpin luar berpegang kepada prinsip ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’, barulah kemahuan dan keperluan serta pemikiran pengundi Merlimau boleh difahami dan diamati.

Pada waktu yang sama, BN perlu membolosi kawasan ‘hitam’ sebagai satu ‘pasukan’ mantap kerana sekali lagi, PRK ini akan diwarnai dengan manipulasi dan helah serta kelicikan berpolitik. Kukuhkan hubungan dengan blogger dan media perdana serta alternatif. Apa yang berlaku di belakang tabir penting untuk dijadikan kayu ukur kemenangan kerana yang tersurat adalah sejarah pencapaian BN tetapi yang tersirat adalah kesetiaan kepada parti sebagaimana yang diterjemah di Tenang. Kemenangan dapat dikekalkan jika ada perubahan dan penambahbaikan secara berterusan dari parti mengikut keperluan dan tuntutan landskap politik semasa.

Sekali lagi, Muhyiddin bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam akan mengemudi jentera PRK Merlimau dan sekali lagi tokoh-tokoh besar barisan pembangkang akan berkampung di Merlimau. Pemimpin perlu tahu bila untuk berkomunikasi dan berhati-hati sebelum menyebarkannya melalui media. Keazaman dan motivasi meminta pengundi keluar mengundi tanpa mengira keselesaan sebagaimana di Tenang dan mengambil iktibar perang psikologi di Manek Urai boleh membantu kemenangan calon di Merlimau.

Isu kebangsaan, negeri dan lokal perlu ditangani dengan berhemah terutama dalam kalangan pengundi atas pagar. Tidak ada isu lokal yang ketara kerana kebanyakannya sudah dibantu oleh prestasi Mohamad Hidhir. Namun, isu kebangsaan seperti kenaikan harga barang, kesamarataan, rasuah, jenayah, kes sodomi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kematian Teoh Beng Hock akan terus dijaja. Merlimau boleh digunakan untuk mencari faktor ‘X’ yang dapat mengembalikan sokongan menyeluruh kepada BN.

Lahirkan ‘pasukan BN’ daripada dilabel cuba mencari sokongan mengikut latar belakang etnik dengan menggunakan pengaruh parti komponen semata-mata. Jika strategi tersusun, lancar dan licin dengan berpusat kepada pelbagai jentera yang kos efektif, Merlimau boleh dipertahankan oleh BN dengan kemenangan penuh bergaya.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]